Amylea bukan Fantasia

myMetro Rap
Amylea bukan fantasia
Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my





KETIKA menyertai Akademi Fantasia lebih tiga tahun lalu, Amylea Azizan menyifatkan dirinya ibarat tin kosong. Meskipun berpengalaman menyanyi di hotel, ia belum cukup untuk dijadikan kayu pengukur bakat sebenarnya.


Biarpun hadiah utama bukan menjadi miliknya, gelanggang tumpuan rakyat Malaysia itu membuka mata gadis genit ini terhadap beberapa perkara, terutama hala tuju dan impian hidupnya.

Akui Amylea, bukan kemenangan yang diburu ketika itu, sebaliknya mahu menggali ilmu sebanyak mungkin daripada tenaga pengajar berpengalaman dan mempersiapkan diri dengan harapan dapat mengubah nasib keluarganya.

“Proses pembelajaran tidak berakhir di pentas akademi. Selepas tamat program, saya masih mengikuti kelas bimbingan cikgu Siti Hajar, Linda Jasmin dan beberapa komposer tanah air. Saya percaya jika mahu berjaya dalam bidang ini, kita perlu bekerja keras dan mengisi ilmu di dada sebanyak mungkin.

“Jujur, saya sedikitpun tidak ralat apabila Mawi bergelar juara AF3. Bagi saya, dia memang layak dan itu bukan rezeki saya dan rakan lain.

“Lagipun, pada waktu itu saya berusia 19 tahun. Dalam umur semuda itu, saya belum pandai bergaul dan kalaupun menang pasti sukar menerima perubahan drastik yang bakal berlaku dalam hidup. Bayangkan, selepas keluar daripada akademi, saya termenung selama tiga bulan di rumah kerana tidak tahu menyesuaikan diri dengan perhatian diberi masyarakat,” katanya ketika bertandang ke Metro Ahad, baru-baru ini.

Bagaimanapun, keadaan kini jauh berbeza. Seiring peningkatan usianya, Amylea yang muncul dengan album sulung berjudul Selepas 3, Disember lalu, semakin peka dengan persekitaran. Paling penting, dia lebih bersedia dan tahu apa perlu dilakukan.

“Mungkin kerana saya ada ramai kenalan selepas berpindah bersama keluarga ke ibu kota, lebih tiga tahun lalu. Saya tidak kekok lagi dan boleh berkomunikasi dengan sesiapa saja. Undangan persembahan yang tidak pernah putus juga menjadikan saya lebih yakin diri,” katanya yang semakin bijak menyusun bicara.

Anak jati Alor Star, Kedah ini tidak membataskan bakatnya sebagai penyanyi semata-mata, sebaliknya turut berkebolehan mencipta lagu dan lirik.

Bakat ini terbukti apabila dia diberi kepercayaan menghasilkan lagu tema untuk siri Sindarella dan Rona Roni Makaroni, lakonan Sharifah Amani, Bront Palarae serta Isma Yusoof.

Berbicara lanjut kecenderungan itu, Amylea berkata, dia mengimpikan gelaran pengarah muzik, malah dalam waktu terdekat ingin memiliki studio sendiri bagi membolehkannya lebih kreatif dan efisyen dalam merealisasikan cita-citanya.

“Sudah lama saya minat menulis lagu, tapi kurang keyakinan diri. Isma Yusoof orang pertama mendengar lagu hasil ciptaan saya dan dia meyakinkan saya yang saya boleh pergi jauh dalam bidang ini. Dialah pemangkin semangat saya, malah kami selalu berkongsi idea.

“Selepas didorong Isma, saya menyambut tawaran pengarah siri Sindarella untuk menghasilkan lagu tema dan menyanyikannya. Tak sangka lagu itu mendapat perhatian ramai dan ia membuka jalan kepada saya untuk lebih serius mencipta lagu.

“Keyakinan semakin bertambah bila saya diberi peluang sekali lagi menghasilkan lagu tema untuk drama Rona Roni Makaroni yang dinyanyikan oleh Aliff (OIAM). Saya sangat teruja dan gembira bila lagu ciptaan saya disiarkan di televisyen dan radio.

“Kini saya rancak menghasilkan lagu untuk beberapa teman artis, termasuk lagu tema untuk siri Merah Putih arahan Isma Yussof dan lagu yang bakal dimuatkan dalam album solo Aliff yang dijangka selesai rakaman April depan,” katanya yang turut mendapat sokongan penuh komposer terkenal, Audi Mok.

Mengulas lanjut impiannya menubuhkan studio, Amylea berkata, modal menjadi penghalang dan kerana itu dia merangka beberapa strategi bagi memastikan harapan itu tidak berkubur begitu saja, termasuk mencuba nasib dengan menyertai pertandingan nyanyian, One In A Million (OIAM) musim ketiga.

Selain Amylea, penyanyi Tomok, Pija, Rehana atau Han, Ridzuan (Rezu) dan Nine Coco turut terpilih sebagai peserta musim baru OIAM.

“Saya memerlukan sokongan OIAM untuk membolehkan saya membuka studio. Terus-teras, hati saya meronta-ronta setiap kali melihat rakan ada studio sendiri. Dalam fikiran, saya ada lakaran bagaimana susun atur studio saya nanti, malah sudah ada nama.

“Selama ini kerja saya sangat terbatas kerana peralatan tidak cukup. Saya merakam ilham melalui telefon dan perakam suara, kemudian rakan membantu menyusun semula lagu.

“Dengan adanya studio, saya yakin akan lebih kreatif, malah kerja pasti lebih mudah. Saya bercita-cita tinggi, kalau boleh pada usia 27 tahun karier saya sebagai penyanyi, penulis lirik dan penggubah lagu sudah stabil.

“Alhamdulillah, baru-baru ini saya menandatangani kontrak sebagai penulis lirik Re lay Publishing milik Audi Mok. Harap-harap kontrak ini membuka lebih peluang kepada saya untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Beralih topik peribadi, Amylea mengakui dirinya agak konservatif. Tanpa berahsia, dia meluahkan impian mendirikan rumah tangga dalam usia muda. Ia turut menjadi penyebab mengapa dia mahu mempercepatkan proses penubuhan studio.

“Walaupun nampak moden, saya konservatif orangnya. Soal jodoh, saya serahkan bulat-bulat kepada ibu dan ayah. Siapapun pilihan mereka akan saya terima, insya-Allah.

“Rupa paras bukan ukuran kerana yang lebih penting, ibu bapa saya suka dengannya dan dia menyayangi orang tua saya seperti ibu bapa kandungnya.

“Bila bergelar isteri, saya akan buat kerja dari rumah. Sebab itu saya mahu bina studio dalam rumah, sambil bekerja dapat melihat perkembangan anak depan mata.

“Jika ada artis mahukan lagu dari saya, mereka boleh datang ke rumah untuk rakam lagu. Cara ini lebih mudah dan selesa bagi saya,” katanya yang gemar menghabiskan masa senggang dengan bermain futsal.



Profil

NAMA: Amylea Azizan

UMUR: 22 tahun

ASAL: Alor Star, Kedah

MUZIK KEGEMARAN: R&B, country dan pop rock

HOBI: Mencipta lagu, bermain futsal dan menghabiskan masa bersama ibu bapa

IDOLA: Afdlin Shauki, Alicia Keys, Michael Jackson dan Hujan

PERSONALITI: Penyayang, jujur, bekerja keras, kelakar dan konservatif

ALBUM: Selepas 3


Sumber Dari

0 comments: