Bangkit dari kekalahan - Kosmo Online



BUKAN tidak pernah kalah bahkan sejak dari bangku sekolah lagi, dia tidak pernah meraih tempat pertama. Setiap pertandingan nyanyian yang disertai tidak pernah dimenangi dan dalam program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) pula, Amylea Azizan, 22, sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

Bezanya banyak kekalahan yang dilalui tidak sama dengan kekalahan yang satu itu, yakni kalah di minggu kelapan ketika namanya dalam senarai lima teratas. Nyata One In A Million musim ketiga (OIAM3) satu dambaan yang maha besar buat gadis genit bernama Amylea itu.

Kering sudah air mata yang tumpah dan lebih seminggu selepas meratap kekesalan paling besar dalam sejarah hidupnya itu, Amylea bangkit semula. Katanya hidup mesti diteruskan.

"Ini hidup saya, kalau bukan saya usahakan sendiri, pada siapa yang harus saya harapkan? Syarikat rakaman dah 'bungkus' dan saya pula tiada tempat bernaung. Saya bebas sekarang dan banyak perkara yang harus saya buat dan semua kena bermula daripada kosong," kata Amylea mengesat pipinya.

Saat itu, kolam mata berlinang dan seakan-akan mahu melimpah. Disekatnya agar bukan emosi yang menguasai ruang kecil yang memisahkan temu bual ini dari kecoh suasana fotografi di studio bersebelahan.

Hari itu, Amylea tidak mahu bicara tentang kesedihan dan kekecewaan yang mahu dibingkiskan. Dia mahu peminat, keluarga dan sesiapa yang mengenali dirinya tahu bahawasanya langkah seorang penyanyi yang mahu dikenali sebagai 'singer song writer' itu tidak terhenti setakat tersingkirnya daripada OIAM3, baru-baru ini.

"Saya harap kerja kreatif saya akan bermula secepat mungkin walaupun fikiran saya adakalanya masih hilang arah. Saya tengah kumpul semangat bagaimana hendak hidup tanpa kelompok orang-orang yang benar-benar mahu kami (saya dan peserta OAIM lain) berjaya capai impian.

"Lima bulan bersama mereka, kehidupan itulah yang kuat memberi kesan kepada saya," kata Amylea terusik lagi dengan kenangan OIAM yang terpaksa ditinggalkan.

Menggagahkan dirinya agar menjadi orang positif, Amylea mahu rangka-rangka jalan seni tidak rapuh. Cuma yang merisaukan benak Amylea ketika ini hanyalah agenda promosi album sulungnya, Selepas Tiga yang langsung tidak menampakkan bayang.

Album berkenaan dipasarkan sejak Januari 2009 tetapi promosi terpaksa ditunda memandangkan tuan empunya badan 'tersekat' dalam OIAM3. Harapan untuk kerja-kerja promosi bersambung semula selepas komitmen bersama OIAM nampaknya tinggal omong kosong memandangkan Maestro Record sendiri sekadar tinggal nama.


MEREKA menjadikan pentas OIAM sebagai medan untuk memperkasakan semangat diri.


"Hancur rasanya hati saya. Setahu saya walaupun terbitan Maestro, album itu bawah edaran Warner Music. Jadi tiada masalah kalau promosi hendak dijalankan. Cuma tidak ada pihak yang boleh bawa ke depan perkara itu.

"Saya sendiri akan berbincang bersama bekas kakitangan Maestro dan perkara itu ada diusulkan kepada Monkey Bone. Tengoklah macam-mana tapi saya akan bertegas untuk album saya itu.

"Saya tak nak usaha tiga tahun untuk menyiapkan Selepas Tiga berakhir begitu saja. Saya yang rasa sakitnya sebab hampir semua keputusan sama ada mengenai konsep, pemilihan lagu dan fotografi kulit depan diputuskan oleh saya sendiri.

"Saya sayangkan album itu, saya tak nak ia berkubur. Masalahnya 'pasukan kecil' saya sendiri tak mampu nak uruskan perkara itu sedangkan saya difahamkan jualan Selepas Tiga berjalan dengan baik. Dalam simpanan saya ada, tapi tak cukup sebab saya juga jual di internet dan bawa ke show-show," jelas Amylea penuh harapan.

Dia juga berharap dan sangat mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi membentang jalan kepadanya demi kejayaan album sulungnya itu.

Selain terkandung lagu hit, Aku Sinderela yang dijadikan lagu tema drama bersiri Sinderela, album berkenaan turut mengisi lapan buah lagu hasil kolaborasi Amylea bersama komposer-komposer handalan seperti Pacai, Hazami, Joe Flizzoew, Audi Mok termasuk sebuah lagu karya Afdlin Shauki.
PENCAPAIANNYA membanggakan, tetapi Amylea belum ada rezeki untuk bergelar juara apabila sering tewas dalam pertandingan.

OIAM pertandingan terakhir

Menanyakan gadis kelahiran Pulau Mutiara itu tentang bersisakah lagi semangatnya untuk mencuba nasib dalam pertandingan nyanyian lain di masa akan datang, pantas dia menjawab: "Tidak. Cukuplah kali ini sebab saya dah jumpa impian dan 'buah hati' saya menerusi OIAM."

Memperkemaskan hujahnya, Amylea menambah: "Nak masuk pertandingan untuk apa lagi sebab saya dah dapat semua yang saya cari dalam OIAM.

"Walaupun tersingkir, saya patut bersyukur sebab diberi banyak peluang untuk kenal nama-nama hebat dalam industri macam Audi Mok, Aubrey Suwito dan ramai lagi, saya dah rasa pengalaman itu sedangkan ramai penyanyi lain yang teringin untuk kerja dengan mereka tetapi tak dapat peluang," katanya lagi.

Mengagumi OIAM sebagai pentas yang terlalu besar, bukan sekadar pencarian bakat tapi menggilap bakat untuk melangkah ke peringkat lebih jauh, Amylea bagaimanapun tidak menidakkan AF sebagai lubuk kelahirannya ke dunia nyanyian.

Katanya, AF itu asas, seperti sekolah rendah, manakala OIAM pula sekolah tinggi yang memberi input untuk seseorang itu jadi lebih baik dalam menggapai cita-cita.

"Tanpa AF saya takkan ada di sini, tapi masa dalam dan selepas AF saya tidak tahu apa-apa, saya lihat dan belajar daripada keadaan.
MAHU berjiwa lebih besar dan mendepani segala macam cabaran.

"Tapi bila masuk OIAM saya kena tahu apa yang saya nak. Di situ kami diajar kejar impian, kami diajar keluarkan apa yang kami mahukan bukan terima apa misi tenaga pengajar. Bila dah keluar, sebenarnya banyak benda yang bawa pulang," katanya.

Dalam perancangan, Amylea sedang mengumpul material terbarunya untuk dirakamkan ke dalam sebuah album. Selain dua buah lagu yang sudah pernah hinggap di telinga peminat iaitu Satu Dalam Sejuta yang pernah didendangkan dalam konsert minggu OAIM dan Aku Dan Mimpi (lagu tema drama bersiri Merah Putih), Amylea masih ada beberapa lagu yang ditulis sepanjang di OIAM.

"Saya tak nak tunggu lama. Saya nak sangat peminat melihat saya dengan pandangan berbeza. Saya nak dilihat sebagai satu jenama baru, Amylea yang baru.

"Kalau ada pihak yang betul-betul nak ambil saya sebagai artis mereka saya akan terima tapi kalau tiada, saya mampu bergerak sendiri," katanya penuh yakin.

Ternyata air mata Amylea sudah benar-benar kering. Selepas tiada harapan untuk menang RM1 juta di OIAM3, ia bagaikan terkubur menjadi baja yang meresap menyuburkan jiwanya.

Amylea Azizan, 22, tidak 'mati' dek tersingkir. Kudrat tulang-tulang kecilnya masih teguh dan semangatnya untuk terus menjulang bakat sebagai penyanyi dan komposer muda dalam industri muzik kembali menyala. Selepas menangis, Amylea menjadi si kecil yang begitu besar semangat dan cita-citanya.