Paul Moss 'tahu' memuji - Kosmo 23.2.09

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com


LAMA dan baru. Barisan 12 finalis yang dikatakan memiliki peluang yang sama rata dalam meneruskan perjuangan sehingga ke penghujung OIAM3.


JARANG mendengar komen positif daripada pengkritik popular Paul Moss, sepanjang mengkritik bersama Syafinaz Selamat bagi dua musim One In A Million (OIAM) terdahulu mahupun Malaysian Idol.

Paul menyifatkan 12 finalis untuk OIAM musim ketiga yang memulakan konsertnya pada malam Sabtu lalu adalah peserta yang terbaik berbanding musim-musim sebelumnya.

Malah, bagi Paul, mereka yang terpilih ini mempunyai identiti vokal dan mampu mengeluarkan 'jenama' tersendiri.

Secara kebetulan pula, 12 finalis ini terdiri daripada enam peserta di kalangan artis iaitu Amylea AF3, Tomok (New Boyz), Pija, Nine (Coco)serta Rizu dan selebihnya adalah muka baru iaitu, Simon, Esther, Aweera, Anith, Ayu, Han dan Fify.

Kesemua mereka dilihat sama sahaja pada mata Paul dan Syafinaz yang juga terbabit menyenarai pendek nama mereka daripada 80 orang peserta peringkat awal.

Uniknya bagi OIAM3, tidak ada langsung jurang antara artis dan muka-muka baru. Paling jelas, mereka memahami konsep program ini untuk menonjolkan bakat mereka.

"Kalau anda nak tahu, saya berpuas hati dengan 12 finalis musim ini. Mereka ada keunikan suara dan stail tersendiri. Saya begitu kagum dengan mereka.

"Tak dapat nak dielak, mereka akan disingkirkan satu demi satu setiap minggu. Tetapi mereka akan keluar dengan peluang yang besar dalam karier nyanyian.

"Susah untuk saya katakan siapa yang mungkin bakal bergelar juara kerana ia perlu melihat dari segi aspek persembahan konsert mingguan serta sistem pesanan ringkas (SMS) penonton.

"Kerana di akhir rancangan, kita tak tahu kejutan yang akan diterima nanti. Lagipun tak adil rasanya jika saya namakan peserta-peserta yang bagus kerana mereka ada kelemahan dan kehebatan masing-masing," katanya selepas sidang media finalis OIAM3 di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi Syafinaz pula, memilih 12 finalis ini bukanlah mudah kerana banyak yang perlu dinilai sebelum memilih.

"Sepanjang pemilihan mereka, bermulalah dari Top 80 hinggalah ke Top 12, kami menilai dengan begitu terperinci. Takut kalau kami terlepas pandang.

"Alhamdulillah, apa yang kami pilih adalah terbaik antara semua. Masing-masing ada cara pembawakan muzik yang tersendiri.

"Saya harap mereka akan membuat yang terbaik di konsert nanti," katanya.

Sementara itu, menemu bual penyanyi yang pernah memenangi anugerah Artis Harapan pada Anugerah Industri Muzik 2006, Ridzuan atau nama gelaran barunya dalam OIAM3, Rizu, harapannya begitu tinggi untuk memenangi pertandingan ini.

Melalui OIAM3, dirinya mahu dikenali semula seperti mana dia bermula menjadi penyanyi enam tahun yang lalu.

"Selepas menang AIM, memang ada undangan persembahan, tetapi semua itu hanya sementara sahaja. Jadi, bila ada peluang, saya akan gunakan sebaik yang mungkin untuk menaikkan nama saya semula.



AWAL dan Marion bakal bergandingan tenaga sebagai hos bersama OIAM3.


"Banyak yang saya belajar melalui program ini kerana kami sudah dilatih selama sebulan sebelum konsert. Penonton juga akan nampak perbezaan nyanyian saya yang ketara berbanding dahulu. Saya akan lebih ketengahkan genre pop R&B dan Blues kerana inilah stail diri saya yang sebenar," katanya.

Bagi peserta dari negeri di bawah bayu, Esther, keunikan suaranya cukup menyenangkan juri sehingga berjaya membawa dirinya ke tahap Top 12.

Cuma, imej yang dibawa Esther sering dikritik Paul. Pernah sekali pada awal ujibakat, Paul mengatakan fesyen yang dikenakan Esther menampakkan dirinya lebih tua dari usianya yang sebenar.

"Masa tu saya terasa hati sikit, tapi menganggap ia satu kritikan membina dan saya perlu mengubah penampilan saya. Selamatlah, kami disediakan dengan perunding imej, Peter Lam, untuk mengubah penampilan saya," katanya yang menggemari penyanyi Etta James.

Jika mendengar suaranya ketika menyanyikan lagu Melayu, pasti ramai yang tidak sedar, lagu yang dinyanyikan itu adalah peserta berbangsa India, Simon.


ADAKAH Amylea bakal menebus kekalahannya pada Akademi Fantasia 3 menerusi OIAM3?

Sama dengan peserta-peserta lain, harapannya juga tinggi untuk menjuarai pertandingan ini.

"Saya harap dapat menjadi dua finalis akhir, itu pun sudah memadai. Tahun lalu, saya juga menyertai OIAM2 tetapi cuma bertahan hingga ke Top 20. Semua ini gara-gara kesilapan saya dari segi pemilihan lagu.

"Untuk tahun ini pula, saya tak mahu kesilapan berulang lagi dan mahu lebih berhati-hati.

"Inilah peluang saya untuk melebarkan sayap dalam mengejar cita-cita saya untuk menjadi seorang penyanyi," katanya peserta kelahiran Penang ini.

------------------>>>
Sumber :

0 comments: