Tak jemu kutip ilmu


Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my


Aku dan Mimpi lagu kisah cinta Amylea

Isnin Jun 15, 2009

"TERHENTI nafas dan degup jantungku, salahkah aku mencintaimu sepenuh hatiku, katakan sesuatu, jangan biarkan ku keliru, terus berlalu, tak daku menduga mengapa ini terjadi."

Mungkin ramai tidak tahu bait-bait lirik lagu Aku dan Mimpi, ciptaan dan nyanyian Amylea Azizan itu secara zahirnya menyulam kisah percintaan bekas peserta One In A Million (OIAM) musim ketiga itu.

Menurut Amylea, kisah percintaan itu akan dirakamkan dalam bentuk klip video.

"Lagu itu sebenarnya adalah kisah cinta sebenar Amylea. Ia memaparkan kekecewaan dengan seseorang yang telah lupa diri.

"Apa yang pasti, sesiapa sahaja akan lebih faham (kisah percintaan saya yang tidak berhasil) apabila menonton klip video tersebut," katanya.

Tutur Amylea, lagu tema drama Merah Puteh tersebut ialah metafora terbaik untuk mencurahkan kekecewaan dan kepasrahan yang terbuku dalam hatinya.

Kata Amylea, dia baru pulih dan "bernafas semula" daripada kisah cintanya yang tidak kesampaian.

"Saya dapat mengubat luka di hati kerana OIAM. Maklumlah saya betul-betul memberikan tumpuan sepenuhnya dalam OIAM. Sedikit-sebanyak membantu saya melupakan kekasih saya," katanya.

Jelas penyanyi dari Alor Setar itu, dia tidak tahu apa yang terjadi kerana lelaki pilihan hatinya itu menyepi tanpa sebarang bicara untuk memutuskan cinta. Oleh itu, katanya, dia masih tidak mengetahui punca perpisahan tersebut.

Ditanya sama ada lagu tersebut berjaya menyampaikan perasaan kecewanya kepada jejaka misteri tersebut, Amylea berkata, dia berasa bekas kekasihnya itu tidak akan mengingati percintaan mereka.

Namun, ujar gadis ini, itu semua tidak pernah membuatkannya serik untuk bercinta lagi. Dalam nada ceria, Amylea turut berbicara tentang kriteria-kriteria lelaki idamannya.

"Dia tidak semestinya berbakat dari segi nyanyian. Mungkin menarik jika lelaki tersebut mempunyai bakat dari segi masakan ataupun seni pertukangan dan juga seorang yang lucu.

"Walaubagaimanapun, dia perlu faham keseluruhan kerjaya saya. Saya letakkan kerjaya prioriti nombor satu dalam hidup saya sekarang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Amylea bakal mempromosikan album sulungnya, Selepas 3. Judul itu diberi nama sedemikian kerana album itu memakan tempoh masa tiga tahun.

Selain itu, Amylea sedang mengeluarkan lagu single dengan peserta OIAM3, Nine.

"Ia adalah satu kolaborasi yang sememangnya saya tunggu-tunggukan. Saya dah lama ingin berduet dengan Nine. Saya tidak tahu bila ia akan dikeluarkan," katanya.

Sumber : http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/15/mstar_hiburan/20090611204556&sec=mstar_hiburan

Bangkit dari kekalahan - Kosmo Online



BUKAN tidak pernah kalah bahkan sejak dari bangku sekolah lagi, dia tidak pernah meraih tempat pertama. Setiap pertandingan nyanyian yang disertai tidak pernah dimenangi dan dalam program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) pula, Amylea Azizan, 22, sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

Bezanya banyak kekalahan yang dilalui tidak sama dengan kekalahan yang satu itu, yakni kalah di minggu kelapan ketika namanya dalam senarai lima teratas. Nyata One In A Million musim ketiga (OIAM3) satu dambaan yang maha besar buat gadis genit bernama Amylea itu.

Kering sudah air mata yang tumpah dan lebih seminggu selepas meratap kekesalan paling besar dalam sejarah hidupnya itu, Amylea bangkit semula. Katanya hidup mesti diteruskan.

"Ini hidup saya, kalau bukan saya usahakan sendiri, pada siapa yang harus saya harapkan? Syarikat rakaman dah 'bungkus' dan saya pula tiada tempat bernaung. Saya bebas sekarang dan banyak perkara yang harus saya buat dan semua kena bermula daripada kosong," kata Amylea mengesat pipinya.

Saat itu, kolam mata berlinang dan seakan-akan mahu melimpah. Disekatnya agar bukan emosi yang menguasai ruang kecil yang memisahkan temu bual ini dari kecoh suasana fotografi di studio bersebelahan.

Hari itu, Amylea tidak mahu bicara tentang kesedihan dan kekecewaan yang mahu dibingkiskan. Dia mahu peminat, keluarga dan sesiapa yang mengenali dirinya tahu bahawasanya langkah seorang penyanyi yang mahu dikenali sebagai 'singer song writer' itu tidak terhenti setakat tersingkirnya daripada OIAM3, baru-baru ini.

"Saya harap kerja kreatif saya akan bermula secepat mungkin walaupun fikiran saya adakalanya masih hilang arah. Saya tengah kumpul semangat bagaimana hendak hidup tanpa kelompok orang-orang yang benar-benar mahu kami (saya dan peserta OAIM lain) berjaya capai impian.

"Lima bulan bersama mereka, kehidupan itulah yang kuat memberi kesan kepada saya," kata Amylea terusik lagi dengan kenangan OIAM yang terpaksa ditinggalkan.

Menggagahkan dirinya agar menjadi orang positif, Amylea mahu rangka-rangka jalan seni tidak rapuh. Cuma yang merisaukan benak Amylea ketika ini hanyalah agenda promosi album sulungnya, Selepas Tiga yang langsung tidak menampakkan bayang.

Album berkenaan dipasarkan sejak Januari 2009 tetapi promosi terpaksa ditunda memandangkan tuan empunya badan 'tersekat' dalam OIAM3. Harapan untuk kerja-kerja promosi bersambung semula selepas komitmen bersama OIAM nampaknya tinggal omong kosong memandangkan Maestro Record sendiri sekadar tinggal nama.


MEREKA menjadikan pentas OIAM sebagai medan untuk memperkasakan semangat diri.


"Hancur rasanya hati saya. Setahu saya walaupun terbitan Maestro, album itu bawah edaran Warner Music. Jadi tiada masalah kalau promosi hendak dijalankan. Cuma tidak ada pihak yang boleh bawa ke depan perkara itu.

"Saya sendiri akan berbincang bersama bekas kakitangan Maestro dan perkara itu ada diusulkan kepada Monkey Bone. Tengoklah macam-mana tapi saya akan bertegas untuk album saya itu.

"Saya tak nak usaha tiga tahun untuk menyiapkan Selepas Tiga berakhir begitu saja. Saya yang rasa sakitnya sebab hampir semua keputusan sama ada mengenai konsep, pemilihan lagu dan fotografi kulit depan diputuskan oleh saya sendiri.

"Saya sayangkan album itu, saya tak nak ia berkubur. Masalahnya 'pasukan kecil' saya sendiri tak mampu nak uruskan perkara itu sedangkan saya difahamkan jualan Selepas Tiga berjalan dengan baik. Dalam simpanan saya ada, tapi tak cukup sebab saya juga jual di internet dan bawa ke show-show," jelas Amylea penuh harapan.

Dia juga berharap dan sangat mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi membentang jalan kepadanya demi kejayaan album sulungnya itu.

Selain terkandung lagu hit, Aku Sinderela yang dijadikan lagu tema drama bersiri Sinderela, album berkenaan turut mengisi lapan buah lagu hasil kolaborasi Amylea bersama komposer-komposer handalan seperti Pacai, Hazami, Joe Flizzoew, Audi Mok termasuk sebuah lagu karya Afdlin Shauki.
PENCAPAIANNYA membanggakan, tetapi Amylea belum ada rezeki untuk bergelar juara apabila sering tewas dalam pertandingan.

OIAM pertandingan terakhir

Menanyakan gadis kelahiran Pulau Mutiara itu tentang bersisakah lagi semangatnya untuk mencuba nasib dalam pertandingan nyanyian lain di masa akan datang, pantas dia menjawab: "Tidak. Cukuplah kali ini sebab saya dah jumpa impian dan 'buah hati' saya menerusi OIAM."

Memperkemaskan hujahnya, Amylea menambah: "Nak masuk pertandingan untuk apa lagi sebab saya dah dapat semua yang saya cari dalam OIAM.

"Walaupun tersingkir, saya patut bersyukur sebab diberi banyak peluang untuk kenal nama-nama hebat dalam industri macam Audi Mok, Aubrey Suwito dan ramai lagi, saya dah rasa pengalaman itu sedangkan ramai penyanyi lain yang teringin untuk kerja dengan mereka tetapi tak dapat peluang," katanya lagi.

Mengagumi OIAM sebagai pentas yang terlalu besar, bukan sekadar pencarian bakat tapi menggilap bakat untuk melangkah ke peringkat lebih jauh, Amylea bagaimanapun tidak menidakkan AF sebagai lubuk kelahirannya ke dunia nyanyian.

Katanya, AF itu asas, seperti sekolah rendah, manakala OIAM pula sekolah tinggi yang memberi input untuk seseorang itu jadi lebih baik dalam menggapai cita-cita.

"Tanpa AF saya takkan ada di sini, tapi masa dalam dan selepas AF saya tidak tahu apa-apa, saya lihat dan belajar daripada keadaan.
MAHU berjiwa lebih besar dan mendepani segala macam cabaran.

"Tapi bila masuk OIAM saya kena tahu apa yang saya nak. Di situ kami diajar kejar impian, kami diajar keluarkan apa yang kami mahukan bukan terima apa misi tenaga pengajar. Bila dah keluar, sebenarnya banyak benda yang bawa pulang," katanya.

Dalam perancangan, Amylea sedang mengumpul material terbarunya untuk dirakamkan ke dalam sebuah album. Selain dua buah lagu yang sudah pernah hinggap di telinga peminat iaitu Satu Dalam Sejuta yang pernah didendangkan dalam konsert minggu OAIM dan Aku Dan Mimpi (lagu tema drama bersiri Merah Putih), Amylea masih ada beberapa lagu yang ditulis sepanjang di OIAM.

"Saya tak nak tunggu lama. Saya nak sangat peminat melihat saya dengan pandangan berbeza. Saya nak dilihat sebagai satu jenama baru, Amylea yang baru.

"Kalau ada pihak yang betul-betul nak ambil saya sebagai artis mereka saya akan terima tapi kalau tiada, saya mampu bergerak sendiri," katanya penuh yakin.

Ternyata air mata Amylea sudah benar-benar kering. Selepas tiada harapan untuk menang RM1 juta di OIAM3, ia bagaikan terkubur menjadi baja yang meresap menyuburkan jiwanya.

Amylea Azizan, 22, tidak 'mati' dek tersingkir. Kudrat tulang-tulang kecilnya masih teguh dan semangatnya untuk terus menjulang bakat sebagai penyanyi dan komposer muda dalam industri muzik kembali menyala. Selepas menangis, Amylea menjadi si kecil yang begitu besar semangat dan cita-citanya.

"Macam dah lemah lutut" - Amylea

Oleh AU YEONG HOW - Mstar Online


Amy akui lututnya tiba-tiba menjadi lemah selepas mengetahui dirinya tersingkir. - foto BRIAN MOH/The Star

PERSEMBAHAN pada setiap minggu dalam One In A Million musim ke-3 sebelum ini hanya diperuntukkan beberapa minit saja kepada para peserta. Justeru, apabila pertandingan minggu lalu bertemakan "In Concert", Amylea Azizan (Amy), 22, akui begitu teruja.

Ini kerana penyanyi yang juga penggubah lagu ini begitu ingin menyajikan konsertnya yang pertama kepada ibu bapa, saudara-mara, kawan-kawan dan para peminatnya selama ini.

"Saya dah buat banyak arrangement dengan medley tiga lagu yang bertemakan `Growing into my music'. I always wanted to do show to Malaysians selama ini. Sebab sebelum ini, kita dapat dua minit sahaja.

"Tapi, performance ala-konsert ini membolehkan kita membuat persembahan kita sendiri. Itu yang membuatkan hati saya hancur luluh. Sangat terkilan. Macam dah lemah lutut.

"Jika penyingkiran ini diumumkan di akhir persembahan, saya pasti boleh terima asalkan saya dapat buat persembahan itu," katanya penuh emosi pada sidang akhbar selepas persembahan OIAM Top 4 berakhir, Jumaat lalu.

Minggu lalu, sekiranya tidak tersingkir, Amy sepatutnya mendendangkan medley Yesterday Once More (Carpenters), Fallin' (Alicia Keys) dan Love Song (Sarah Bareilles).

Petunjuk

Menurut Amy, terdapat hikmah di sebalik kekalahannya itu. "Ia seolah-olah satu petunjuk daripada Tuhan kepada saya betapa passionatenya saya dalam bidang muzik.

"Sebelum ini, saya tak rasa ada fire burning untuk naik ke pentas untuk buat persembahan," katanya.

Ketika diajukan persoalan sama ada dia meramalkan penyingkiran itu, katanya, dia sebenarnya telah bersedia untuk menerima segala keputusan.

"Di peringkat ini, Amy memang dah bersedia tapi tak sehebat macam ini sebab saya rasa kalau saya masih kekal, saya akan membuat persembahan terbaik kerana saya telah mencurahkan banyak usaha dalam persembahan malam ini.

"Saya memang nak lakukan yang terbaik. Tuhan sahaja yang tahu," katanya.

Hasrat tidak kesampaian

Hakikatnya, jika ditakdirkan beliau menang, Amy menyimpan hasrat untuk menggunakan wang kemenangan sebanyak RM1 juta itu untuk menghasilkan lebih banyak artis.

Katanya, tujuannya menyertai dan jika boleh, menjuarai OIAM itu bukan untuk dirinya seorang semata-mata, tetapi dikongsi bersama ramai berbakat di luar.

"Itulah harapan saya apabila menjejakkan kaki keluar dari OIAM nanti sebagai seorang juara. Saya ingin berkongsi mereka yang berbakat besar dalam bidang muzik. Sama muda dengan saya. Sama-sama ada wawasan.

"Tetapi kami tidak mendapat pengiktirafan dan peluang sewajarnya selain wang untuk merealisasikan cita-cita kami. Oleh itu, saya kecewa kerana gagal mencapai cita-cita saya. Suatu hari nanti, ia bakal berlaku... Insya-Allah," katanya.

Lebih mengecewakannya, Amy berkata, dia berasa telah menghampakan ayah yang datang memberikan sokongan setiap minggu, saudara mara, kawan-kawan dan para peminatnya.

"Hampir 50 orang datang ke sini hanya untuk melihat saya tersingkir. Sangat sedih," akuinya.

Pun begitu, Amy berasa gembira kerana lagu nyanyiannya, Aku dan Mimpi menjadi lagu tema untuk drama Merah Puteh di stesen tempatan.

Juara OIAM pilihan Amy


Mengenai juara pilihan hatinya, Amy tidak ragu-ragu memilih Tomok kerana penyanyi itu mempunyai azam setinggi dirinya.

Ini kerana, katanya, dia rapat dengannya dan mengetahui dia memang layak untuk memenangi RM1 juta tersebut.

Kejutan OIAM3 : Amylea tersingkir



Hasrat Amylea untuk mempersembahkan `konsert' miliknya di OIAM tidak kesampaian. -foto MSTAR

SHAH ALAM: Perjalanan Amylea Azizan ke peringkat akhir One In A Million (OIAM) musim 3 terkandas semalam apabila tersingkir oleh undian para penonton.

Keputusan undian minggu kelapan yang dibacakan hos rancangan, Awal Ashaari dan Marion Caunter dan disiarkan 8TV secara langsung dari Sri Pentas 2 itu ternyata mengejutkan para penonton.

Menurut Amylea, dia berasa terkejut berbaur terkilan kerana tidak dapat mempersembahkan `konsert' khas kepada saudara-mara, kenalan dan para penyokongnya.

"Saya tidak akan berasa begini jika keputusan ini diketahui di akhir persembahan saya," katanya dalam nada sebak.

Untuk minggu kesembilan OIAM, tema pertandingan ialah "In Concert" yang membenarkan para peserta OIAM merencanakan konsertnya sendiri.

Amylea sepatutnya mendendangkan adunan tiga lagu Yesterday Once More nyanyian Carpenters, Fallin' (Alicia Keys) dan Love Song (Sarah Bareilles).

Bagaimanapun, Amylea dibenarkan melakukan persembahan terakhirnya hanya menerusi lagu I'm Yours oleh penyanyi antarabangsa terkenal, Jason Mraz.

Keputusan malam tadi adalah berdasarkan 100 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) selepas imuniti ditarik balik pada minggu ketujuh.

Sumber : mstar.com.my