Tak jemu kutip ilmu


Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my


Aku dan Mimpi lagu kisah cinta Amylea

Isnin Jun 15, 2009

"TERHENTI nafas dan degup jantungku, salahkah aku mencintaimu sepenuh hatiku, katakan sesuatu, jangan biarkan ku keliru, terus berlalu, tak daku menduga mengapa ini terjadi."

Mungkin ramai tidak tahu bait-bait lirik lagu Aku dan Mimpi, ciptaan dan nyanyian Amylea Azizan itu secara zahirnya menyulam kisah percintaan bekas peserta One In A Million (OIAM) musim ketiga itu.

Menurut Amylea, kisah percintaan itu akan dirakamkan dalam bentuk klip video.

"Lagu itu sebenarnya adalah kisah cinta sebenar Amylea. Ia memaparkan kekecewaan dengan seseorang yang telah lupa diri.

"Apa yang pasti, sesiapa sahaja akan lebih faham (kisah percintaan saya yang tidak berhasil) apabila menonton klip video tersebut," katanya.

Tutur Amylea, lagu tema drama Merah Puteh tersebut ialah metafora terbaik untuk mencurahkan kekecewaan dan kepasrahan yang terbuku dalam hatinya.

Kata Amylea, dia baru pulih dan "bernafas semula" daripada kisah cintanya yang tidak kesampaian.

"Saya dapat mengubat luka di hati kerana OIAM. Maklumlah saya betul-betul memberikan tumpuan sepenuhnya dalam OIAM. Sedikit-sebanyak membantu saya melupakan kekasih saya," katanya.

Jelas penyanyi dari Alor Setar itu, dia tidak tahu apa yang terjadi kerana lelaki pilihan hatinya itu menyepi tanpa sebarang bicara untuk memutuskan cinta. Oleh itu, katanya, dia masih tidak mengetahui punca perpisahan tersebut.

Ditanya sama ada lagu tersebut berjaya menyampaikan perasaan kecewanya kepada jejaka misteri tersebut, Amylea berkata, dia berasa bekas kekasihnya itu tidak akan mengingati percintaan mereka.

Namun, ujar gadis ini, itu semua tidak pernah membuatkannya serik untuk bercinta lagi. Dalam nada ceria, Amylea turut berbicara tentang kriteria-kriteria lelaki idamannya.

"Dia tidak semestinya berbakat dari segi nyanyian. Mungkin menarik jika lelaki tersebut mempunyai bakat dari segi masakan ataupun seni pertukangan dan juga seorang yang lucu.

"Walaubagaimanapun, dia perlu faham keseluruhan kerjaya saya. Saya letakkan kerjaya prioriti nombor satu dalam hidup saya sekarang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Amylea bakal mempromosikan album sulungnya, Selepas 3. Judul itu diberi nama sedemikian kerana album itu memakan tempoh masa tiga tahun.

Selain itu, Amylea sedang mengeluarkan lagu single dengan peserta OIAM3, Nine.

"Ia adalah satu kolaborasi yang sememangnya saya tunggu-tunggukan. Saya dah lama ingin berduet dengan Nine. Saya tidak tahu bila ia akan dikeluarkan," katanya.

Sumber : http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/6/15/mstar_hiburan/20090611204556&sec=mstar_hiburan

Bangkit dari kekalahan - Kosmo Online



BUKAN tidak pernah kalah bahkan sejak dari bangku sekolah lagi, dia tidak pernah meraih tempat pertama. Setiap pertandingan nyanyian yang disertai tidak pernah dimenangi dan dalam program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) pula, Amylea Azizan, 22, sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

Bezanya banyak kekalahan yang dilalui tidak sama dengan kekalahan yang satu itu, yakni kalah di minggu kelapan ketika namanya dalam senarai lima teratas. Nyata One In A Million musim ketiga (OIAM3) satu dambaan yang maha besar buat gadis genit bernama Amylea itu.

Kering sudah air mata yang tumpah dan lebih seminggu selepas meratap kekesalan paling besar dalam sejarah hidupnya itu, Amylea bangkit semula. Katanya hidup mesti diteruskan.

"Ini hidup saya, kalau bukan saya usahakan sendiri, pada siapa yang harus saya harapkan? Syarikat rakaman dah 'bungkus' dan saya pula tiada tempat bernaung. Saya bebas sekarang dan banyak perkara yang harus saya buat dan semua kena bermula daripada kosong," kata Amylea mengesat pipinya.

Saat itu, kolam mata berlinang dan seakan-akan mahu melimpah. Disekatnya agar bukan emosi yang menguasai ruang kecil yang memisahkan temu bual ini dari kecoh suasana fotografi di studio bersebelahan.

Hari itu, Amylea tidak mahu bicara tentang kesedihan dan kekecewaan yang mahu dibingkiskan. Dia mahu peminat, keluarga dan sesiapa yang mengenali dirinya tahu bahawasanya langkah seorang penyanyi yang mahu dikenali sebagai 'singer song writer' itu tidak terhenti setakat tersingkirnya daripada OIAM3, baru-baru ini.

"Saya harap kerja kreatif saya akan bermula secepat mungkin walaupun fikiran saya adakalanya masih hilang arah. Saya tengah kumpul semangat bagaimana hendak hidup tanpa kelompok orang-orang yang benar-benar mahu kami (saya dan peserta OAIM lain) berjaya capai impian.

"Lima bulan bersama mereka, kehidupan itulah yang kuat memberi kesan kepada saya," kata Amylea terusik lagi dengan kenangan OIAM yang terpaksa ditinggalkan.

Menggagahkan dirinya agar menjadi orang positif, Amylea mahu rangka-rangka jalan seni tidak rapuh. Cuma yang merisaukan benak Amylea ketika ini hanyalah agenda promosi album sulungnya, Selepas Tiga yang langsung tidak menampakkan bayang.

Album berkenaan dipasarkan sejak Januari 2009 tetapi promosi terpaksa ditunda memandangkan tuan empunya badan 'tersekat' dalam OIAM3. Harapan untuk kerja-kerja promosi bersambung semula selepas komitmen bersama OIAM nampaknya tinggal omong kosong memandangkan Maestro Record sendiri sekadar tinggal nama.


MEREKA menjadikan pentas OIAM sebagai medan untuk memperkasakan semangat diri.


"Hancur rasanya hati saya. Setahu saya walaupun terbitan Maestro, album itu bawah edaran Warner Music. Jadi tiada masalah kalau promosi hendak dijalankan. Cuma tidak ada pihak yang boleh bawa ke depan perkara itu.

"Saya sendiri akan berbincang bersama bekas kakitangan Maestro dan perkara itu ada diusulkan kepada Monkey Bone. Tengoklah macam-mana tapi saya akan bertegas untuk album saya itu.

"Saya tak nak usaha tiga tahun untuk menyiapkan Selepas Tiga berakhir begitu saja. Saya yang rasa sakitnya sebab hampir semua keputusan sama ada mengenai konsep, pemilihan lagu dan fotografi kulit depan diputuskan oleh saya sendiri.

"Saya sayangkan album itu, saya tak nak ia berkubur. Masalahnya 'pasukan kecil' saya sendiri tak mampu nak uruskan perkara itu sedangkan saya difahamkan jualan Selepas Tiga berjalan dengan baik. Dalam simpanan saya ada, tapi tak cukup sebab saya juga jual di internet dan bawa ke show-show," jelas Amylea penuh harapan.

Dia juga berharap dan sangat mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi membentang jalan kepadanya demi kejayaan album sulungnya itu.

Selain terkandung lagu hit, Aku Sinderela yang dijadikan lagu tema drama bersiri Sinderela, album berkenaan turut mengisi lapan buah lagu hasil kolaborasi Amylea bersama komposer-komposer handalan seperti Pacai, Hazami, Joe Flizzoew, Audi Mok termasuk sebuah lagu karya Afdlin Shauki.
PENCAPAIANNYA membanggakan, tetapi Amylea belum ada rezeki untuk bergelar juara apabila sering tewas dalam pertandingan.

OIAM pertandingan terakhir

Menanyakan gadis kelahiran Pulau Mutiara itu tentang bersisakah lagi semangatnya untuk mencuba nasib dalam pertandingan nyanyian lain di masa akan datang, pantas dia menjawab: "Tidak. Cukuplah kali ini sebab saya dah jumpa impian dan 'buah hati' saya menerusi OIAM."

Memperkemaskan hujahnya, Amylea menambah: "Nak masuk pertandingan untuk apa lagi sebab saya dah dapat semua yang saya cari dalam OIAM.

"Walaupun tersingkir, saya patut bersyukur sebab diberi banyak peluang untuk kenal nama-nama hebat dalam industri macam Audi Mok, Aubrey Suwito dan ramai lagi, saya dah rasa pengalaman itu sedangkan ramai penyanyi lain yang teringin untuk kerja dengan mereka tetapi tak dapat peluang," katanya lagi.

Mengagumi OIAM sebagai pentas yang terlalu besar, bukan sekadar pencarian bakat tapi menggilap bakat untuk melangkah ke peringkat lebih jauh, Amylea bagaimanapun tidak menidakkan AF sebagai lubuk kelahirannya ke dunia nyanyian.

Katanya, AF itu asas, seperti sekolah rendah, manakala OIAM pula sekolah tinggi yang memberi input untuk seseorang itu jadi lebih baik dalam menggapai cita-cita.

"Tanpa AF saya takkan ada di sini, tapi masa dalam dan selepas AF saya tidak tahu apa-apa, saya lihat dan belajar daripada keadaan.
MAHU berjiwa lebih besar dan mendepani segala macam cabaran.

"Tapi bila masuk OIAM saya kena tahu apa yang saya nak. Di situ kami diajar kejar impian, kami diajar keluarkan apa yang kami mahukan bukan terima apa misi tenaga pengajar. Bila dah keluar, sebenarnya banyak benda yang bawa pulang," katanya.

Dalam perancangan, Amylea sedang mengumpul material terbarunya untuk dirakamkan ke dalam sebuah album. Selain dua buah lagu yang sudah pernah hinggap di telinga peminat iaitu Satu Dalam Sejuta yang pernah didendangkan dalam konsert minggu OAIM dan Aku Dan Mimpi (lagu tema drama bersiri Merah Putih), Amylea masih ada beberapa lagu yang ditulis sepanjang di OIAM.

"Saya tak nak tunggu lama. Saya nak sangat peminat melihat saya dengan pandangan berbeza. Saya nak dilihat sebagai satu jenama baru, Amylea yang baru.

"Kalau ada pihak yang betul-betul nak ambil saya sebagai artis mereka saya akan terima tapi kalau tiada, saya mampu bergerak sendiri," katanya penuh yakin.

Ternyata air mata Amylea sudah benar-benar kering. Selepas tiada harapan untuk menang RM1 juta di OIAM3, ia bagaikan terkubur menjadi baja yang meresap menyuburkan jiwanya.

Amylea Azizan, 22, tidak 'mati' dek tersingkir. Kudrat tulang-tulang kecilnya masih teguh dan semangatnya untuk terus menjulang bakat sebagai penyanyi dan komposer muda dalam industri muzik kembali menyala. Selepas menangis, Amylea menjadi si kecil yang begitu besar semangat dan cita-citanya.

"Macam dah lemah lutut" - Amylea

Oleh AU YEONG HOW - Mstar Online


Amy akui lututnya tiba-tiba menjadi lemah selepas mengetahui dirinya tersingkir. - foto BRIAN MOH/The Star

PERSEMBAHAN pada setiap minggu dalam One In A Million musim ke-3 sebelum ini hanya diperuntukkan beberapa minit saja kepada para peserta. Justeru, apabila pertandingan minggu lalu bertemakan "In Concert", Amylea Azizan (Amy), 22, akui begitu teruja.

Ini kerana penyanyi yang juga penggubah lagu ini begitu ingin menyajikan konsertnya yang pertama kepada ibu bapa, saudara-mara, kawan-kawan dan para peminatnya selama ini.

"Saya dah buat banyak arrangement dengan medley tiga lagu yang bertemakan `Growing into my music'. I always wanted to do show to Malaysians selama ini. Sebab sebelum ini, kita dapat dua minit sahaja.

"Tapi, performance ala-konsert ini membolehkan kita membuat persembahan kita sendiri. Itu yang membuatkan hati saya hancur luluh. Sangat terkilan. Macam dah lemah lutut.

"Jika penyingkiran ini diumumkan di akhir persembahan, saya pasti boleh terima asalkan saya dapat buat persembahan itu," katanya penuh emosi pada sidang akhbar selepas persembahan OIAM Top 4 berakhir, Jumaat lalu.

Minggu lalu, sekiranya tidak tersingkir, Amy sepatutnya mendendangkan medley Yesterday Once More (Carpenters), Fallin' (Alicia Keys) dan Love Song (Sarah Bareilles).

Petunjuk

Menurut Amy, terdapat hikmah di sebalik kekalahannya itu. "Ia seolah-olah satu petunjuk daripada Tuhan kepada saya betapa passionatenya saya dalam bidang muzik.

"Sebelum ini, saya tak rasa ada fire burning untuk naik ke pentas untuk buat persembahan," katanya.

Ketika diajukan persoalan sama ada dia meramalkan penyingkiran itu, katanya, dia sebenarnya telah bersedia untuk menerima segala keputusan.

"Di peringkat ini, Amy memang dah bersedia tapi tak sehebat macam ini sebab saya rasa kalau saya masih kekal, saya akan membuat persembahan terbaik kerana saya telah mencurahkan banyak usaha dalam persembahan malam ini.

"Saya memang nak lakukan yang terbaik. Tuhan sahaja yang tahu," katanya.

Hasrat tidak kesampaian

Hakikatnya, jika ditakdirkan beliau menang, Amy menyimpan hasrat untuk menggunakan wang kemenangan sebanyak RM1 juta itu untuk menghasilkan lebih banyak artis.

Katanya, tujuannya menyertai dan jika boleh, menjuarai OIAM itu bukan untuk dirinya seorang semata-mata, tetapi dikongsi bersama ramai berbakat di luar.

"Itulah harapan saya apabila menjejakkan kaki keluar dari OIAM nanti sebagai seorang juara. Saya ingin berkongsi mereka yang berbakat besar dalam bidang muzik. Sama muda dengan saya. Sama-sama ada wawasan.

"Tetapi kami tidak mendapat pengiktirafan dan peluang sewajarnya selain wang untuk merealisasikan cita-cita kami. Oleh itu, saya kecewa kerana gagal mencapai cita-cita saya. Suatu hari nanti, ia bakal berlaku... Insya-Allah," katanya.

Lebih mengecewakannya, Amy berkata, dia berasa telah menghampakan ayah yang datang memberikan sokongan setiap minggu, saudara mara, kawan-kawan dan para peminatnya.

"Hampir 50 orang datang ke sini hanya untuk melihat saya tersingkir. Sangat sedih," akuinya.

Pun begitu, Amy berasa gembira kerana lagu nyanyiannya, Aku dan Mimpi menjadi lagu tema untuk drama Merah Puteh di stesen tempatan.

Juara OIAM pilihan Amy


Mengenai juara pilihan hatinya, Amy tidak ragu-ragu memilih Tomok kerana penyanyi itu mempunyai azam setinggi dirinya.

Ini kerana, katanya, dia rapat dengannya dan mengetahui dia memang layak untuk memenangi RM1 juta tersebut.

Kejutan OIAM3 : Amylea tersingkir



Hasrat Amylea untuk mempersembahkan `konsert' miliknya di OIAM tidak kesampaian. -foto MSTAR

SHAH ALAM: Perjalanan Amylea Azizan ke peringkat akhir One In A Million (OIAM) musim 3 terkandas semalam apabila tersingkir oleh undian para penonton.

Keputusan undian minggu kelapan yang dibacakan hos rancangan, Awal Ashaari dan Marion Caunter dan disiarkan 8TV secara langsung dari Sri Pentas 2 itu ternyata mengejutkan para penonton.

Menurut Amylea, dia berasa terkejut berbaur terkilan kerana tidak dapat mempersembahkan `konsert' khas kepada saudara-mara, kenalan dan para penyokongnya.

"Saya tidak akan berasa begini jika keputusan ini diketahui di akhir persembahan saya," katanya dalam nada sebak.

Untuk minggu kesembilan OIAM, tema pertandingan ialah "In Concert" yang membenarkan para peserta OIAM merencanakan konsertnya sendiri.

Amylea sepatutnya mendendangkan adunan tiga lagu Yesterday Once More nyanyian Carpenters, Fallin' (Alicia Keys) dan Love Song (Sarah Bareilles).

Bagaimanapun, Amylea dibenarkan melakukan persembahan terakhirnya hanya menerusi lagu I'm Yours oleh penyanyi antarabangsa terkenal, Jason Mraz.

Keputusan malam tadi adalah berdasarkan 100 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) selepas imuniti ditarik balik pada minggu ketujuh.

Sumber : mstar.com.my

OIAM3: Amylea Terkilan




Saat bila Awal mengucapkan tahniah pada Nine, GUA terfikir, ‘Jahatnya Awal ni, ucap tahniah pada Nine kerana tersingkir.’ Malah bila Marion mengumumkan Amylea peserta yang terkeluar minggu ini, GUA masih lagi tidak percaya dengan keputusan undian.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Amylea ternyata tergamam dengan keputusan penonton sehingga terpaksa di papah Marion. Menyanyikan lagu terakhirnya “I’m Yours”, lagu asal Jason Mraz, sempat lagi dia meminta maaf kepada para peminat.

“Ada terasa nak pengsan di atas pentas tadi tapi malulah,” kata Amylea. “Setiap minggu, memang saya ada rasa yang saya akan terkeluar. Tapi perasaan itu tak sehebat malam ini.”

Ceritanya, perkara yang menyebabkan dia “sangat-sangat terkilan” adalah tidak berpeluang membuat persembahan yang telah disediakan untuk tema minggu ini, ‘In Concert’. Bukannya kerana dia kalah “kerana sesiapa pun boleh kalah dan itu satu realiti pertandingan yang tidak boleh diubah”.

Seluruh ahli keluarga (biasanya, hanya ayahnya yang akan hadir) dan saudara-mara, sahabat-handai hadir malam ini untuk melihatnya membuat persembahan. “Sebaliknya, mereka datang untuk melihat saya tersingkir.” Tambahnya, jika dikekalkan malam ini, persembahan yang bakal disajikan adalah yang terbaik darinya.

“I put a lot of effort into it dan semuanya dirancangkan sendiri seperti arrangement … Kebiasaannya kami cuma diberi dua minit untuk membuat persembahan tetapi kali ini kami mempunyai empat minit dan saya ingin menunjukkan kepada Malaysia cara saya membuat persembahan.

“Saya betul-betul nak perform. Semua kelemahan saya sebelum ini saya kumpulkan dan saya go through every detail dan hasilnya adalah persembahan ini. Malah saya sendiri pun rasa ini bakal menjadi persembahan terbaik saya. (Paul Moss yang sempat melihat sesi latihan Amylea juga merasakan ia amat bagus.)

"Jika penyingkiran dilakukan di akhir rancangan selepas saya membuat persembahan, tidak akan saya merasa begini. Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasa. Rasanya macam ditipu promoter. Kata nak buat konsert tapi ... Nasib baik saya ada rekod. Sekurang-kurangnya dapat saya letak di YouTube.”

Dedah Amylea lagi, duit kemenangan RM1juta itu sepatutnya digunakan untuk membiayai pembelajarannya di sekolah muzik terkenal, Berklee College of Music di Amerika.

“Apa yang saya pelajari akan dimanfaatkan kepada artis-artis lain. Hasrat saya untuk kongsikan duit itu dengan penyanyi-penyanyi muda dan mereka yang berbakat dalam bidang muzik. Penyertaan saya di dalam OIAM bukan untuk menjadi terkenal. Kalau itu tujuan saya, baik saya cipta saja kontroversi. Saya kecewa kerana gagal merealisasikan impian saya itu. Tapi, sekurang-kurangnya, lagu saya “Aku Dan Mimpi” dimainkan di dalam drama ‘Merah Putih’.

“Itu adalah karya terakhir saya sebelum memasuki OIAM. Sepanjang lima bulan saya disini, saya tidak dapat berjumpa keluarga, tak buat show … Saya banyak berkorban tapi saya bukan lah pulang dengan tangan kosong. Pengalaman yang saya perolehi di OIAM susah untuk digambarkan dengan kata-kata.

“Masa saya keluar Akademi Fantasia dulu, saya masih terasa kosong. Tapi Tuhan menunjukkan kali ini bila saya terkeluar baru saya faham sejauh mana passion saya di dalam bidang muzik. Tak pernah saya terasa begini, berkobar-kobar semangat saya nak naik pentas dan membuat persembahan, bagaimana pentas itu kepunyaan saya. Barulah saya sedar pentas itu adalah hidup saya.”

Memilih Tomok sebagai calonnya untuk menjuarai musim ketiga OIAM, Amylea berharap penyingkirannya bukan disebabkan statusnya sebagai artis. Kerana menurutnya, jika dibandingkan, Esther lebih berpengalaman darinya dalam bidang ini kerana sudah mula menyanyi sejak dia berumur dalam lingkungan 16 tahun padahal Amylea mula menyanyi pada usia 19 tahun.

“Saya tahu ramai yang menyangka saya tahu banyak perkara tentang muzik tetapi saya tidak tahu-menahu apa-apa pun. Kebolehan saya bermain gitar hanya kerana saya belajar chords-nya.”

Ditanya jika ada apa-apa yang akan dibuat berlainan jika diberi peluang mengulangi pertandingan ini semula, katanya, “Kesemuanya sebab saya tidak berpuas hati dengan apa yang telah saya lakukan.”

Tentang perancangannya selepas ini, Amylea memberitahu dia ingin berehat seketika sebelum membuat sebarang rancangan, lebih-lebih lagi bila syarikat pengurusannya, Maestro, sudah tiada lagi.

Jangan lupa untuk berchatting dengan Amylea pada hari Isnin depan, bersamaan 20 April, jam 2 petang di OIAM Star Chat melalui www.guamuzik.com.my.

Sumber : Laman Web Rasmi Gua.com.my

Imuniti ditarik balik - Kejutan OIAM minggu ke-7


Oleh AU YEONG HOW
Isnin April 6, 2009


PERASAAN `terkejut, terharu, tergamam dan teruja' jelas terbaur ketika menyaksikan program realiti One In A Million (OIAM) minggu lepas.

Terkejut kerana Rizu tersingkir - setakat ini, peserta lelaki pertama mengundurkan diri dalam pertandingan itu. Semua penonton tampaknya kelu lidah.


Amylea bercucuran air mata mengenangkan `adik tersayangnya', Rizu tersingkir

Terharu apabila melihat Rizu mengesat linangan air mata yang membasahi pipi Amylea ketika dia membuat persembahan terakhir dalam OIAM musim ketiga.

Sebabnya, menurut Amylea, dia `sayang Rizu sangat-sangat' bagaikan adiknya.

Seterusnya, para penonton tergamam sebentar kerana para juri, Syafinaz Selamat dan Paul Moss mengumumkan imuniti ditarik balik sepenuhnya selepas ini.

Oleh itu, para penonton sahaja berhak mengundi peserta masuk atau keluar daripada OIAM, 100 peratus. Para peserta tidak berpeluang untuk mendapat pengecualian daripada proses undian orang ramai.

TERUJA

Selepas itu, persembahan `meletup' Tomok, Amylea dan Esther cukup mengujakan semua pihak. Syafinaz dan Moss terang-terang mengakui sukar memilih peserta terbaik pada malam itu.

"Boleh tak lebih daripada satu pemenang untuk tahun ini, kerana anda semua hebat belaka," komen juri, Syafinaz Selamat sejurus Esther menghabiskan persembahannya yang hebat itu.

Esther merupakan penyanyi ketiga pada malam itu selepas Tomok dan Amylea mengambil giliran masing-masing menghidangkan pertunjukan memberangsangkan.

PEMBUKA TIRAI

Mengimbau persembahan menarik Tomok itu, sebelum lagu diputarkan, penyanyi itu bergaya dengan memegang payung. Payung?

Yalah... gaya itu secocok dengan lagu Umbrella, bagai peribahasa yang berbunyi: 'Cepu dengan tudungnya'.

Bagaimanapun, dia tidak meniru bulat-bulat artis lagu tersebut, Rihanna, tetapi mengikut stail dan nyanyiannya sendiri.

Apabila payung dilepaskan daripada genggaman tangannya, Tomok membuktikan dia layak digelar bintang handalan. Dia pandai mencetuskan suatu kelainan bagi setiap persembahannya.

Dia melompat-lompat dari pentas ke bawah untuk `berkomunikasi' dengan penonton di studio. Cara dia memutar mikrofon di celah-celah jari-jemarinya benar-benar mempesonakan!

"You're already a star. Of course, you can't be Rihanna, you're a guy. We want you to be original. What's going to happen next? You really surprise us if you are not in the final," kata Moss.

Syafinaz pula menyatakan, persembahan Tomok pada setiap minggu membawa keseronokan bukan sahaja kepada dirinya, tetapi semua penonton.

"Setiap minggu, saya akan menantikan apa-apa yang baru daripada anda. Voice control is at the best. Cuma perlu berhati-hati dengan pronunciation," tambah juri yang jelita itu.

KESINAMBUNGAN

Seterusnya, kerancakan program itu diteruskan oleh Amylea yang membawakan lagu Somewhere Only We Know nyanyian artis Keane.



Penampilannya kali ini lebih berbeza - berambut kerinting. Apa yang tidak berbeza, Amylea tetap hebat sebagai seorang penyanyi dan penghibur.

Naik-turun pentas menandakan partisipasinya dengan penonton terjalin. Jika persembahan Amylea kurang menyengat minggu sebelumnya, dia menakjubkan semua pihak pada minggu lalu.

Entah persembahan Amylea itu adalah `ole-ole' untuk perpisahan Rizu sebagai tanda dia "sayang Rizu sangat-sangat".

Apa pun, dia telah berjaya menawan hati para juri. Syafinaz menyifatkan penyanyi dari Alor Setar itu sebagai penyanyi yang cerdik.

"You show us that you're a brilliant musician. Anda begitu yakin menghiburkan para hadirin. You sang well. Jika Moss katakan Tomok layak, maka anda juga patut layak berada di pusingan akhir," ramal Syafinaz.

Moss yang mengakui Amylea menyanyi dengan begitu baik berkata: "You sang greatly. And you let your voice soar".

Isnin Mac 30, 2009 - Mstar Online





Amylea menyanyi lagunya, Satu Dalam Sejuta pada OIAM minggu lepas

Dalam pada itu, Amylea mendapat pujian daripada Francissa and Syafinaz kecuali Moss yang berasa persembahannya barangkali membosankan malam itu.

Kedua-dua juri perempuan itu berasa Amylea mempunyai vokal yang unik dan Syafinaz berkata, Amylea semakin cantik dari sehari ke sehari.

Sementara itu, Nine, 27, gagal mengulangi persembahan cemerlang pada minggu sebelumnya sehingga Syafinaz menyifatkan suaranya seksi pada minggu tersebut.

Kali ini, Syafinaz berpendapat, nyanyian Nine itu hilang intonasi dan `terlalu mengganggu'.

Turut mengulas persembahan Nine, Moss memberitahu: "Voice disappears.... key song, intensity... something vocally missing".

Secara keseluruhannya, masing-masing telah cuba menjadikan lagu dendangan mereka dinyanyikan mengikut stail tersendiri. Mereka juga telah keluar dari kepompong yang selesa untuk mencetuskan kelainan dalam persembahan mereka.

Hanya Esther dan Tomok, menurut para juri, benar-benar mewarnai malam tersebut dengan persembahan vokal menarik, artistik dan kreatif.

Mengenai Esther yang berharap setanding penyanyi antarabangsa Mariah Carey suatu hari nanti, Syafinaz berkata, Esther memiliki kelebihan dan kebolehan mencantikkan lagu.

Mengenai Tomok, Moss berkata, "Taking risk is a strategy. You can mix and match brilliantly. Really. You can turn it 180 degree yet retain the melody".

Antara mereka berdua, Tomok diberikan imuniti, Fify tersingkir.

TIMBUL persoalan sama ada Aweera menyanyi atau hanya senandungkan lagu Enter Sandman dalam persembahannya di One In A Million (OIAM) minggu lepas sehingga juri Syafinaz mengakui dia lebih menghayati lagu band yang melatari penyanyi bergenre rock itu.

"Aweera tidak menyanyi tetapi menjerit-jerit. Saya lebih menghayati lagu band kat belakang," komen Syafinaz sejujur-jujurnya ketika ditanya hos mengenai persembahan penyanyi berusia 18 tahun itu.

Katanya, maklum balasnya mengenai pembawaan lagu itu adalah berbelah bagi walaupun ia jelas memiliki elemen rock sebanyak 80 peratus.

Cuba membaca minda penyanyi itu, Syafinaz terus bertanya, "Adakah Aweera memilih lagu tersebut kerana tidak perlu menyanyi?"

Ini ditambah pula pendapat ikhlas seorang juri tetap, Paul Moss bahawa Aweera sebenarnya lebih kepada `humming (senandung)' daripada menyanyi.

Memang benar, lebih kuat muzik daripada kumpulan sokongan berbanding kelantangan suara peserta OIAM itu sendiri. Amat mengecewakan lontaran vokal itu berakhir tidak sehebat aksi persembahannya terutama pada babak-babak awal.

Di awal persembahan, Aweera bertopi koboi sambil tangannya memegang gitar. Dia berseluarkan jeans serta memakai T-shirt berwarna hitam.

Gaya koboi tersebut jelas menepati imej rocker yang cuba ditonjolkan oleh Aweera kepada para penonton selama ini.

Dia memiliki segala-gala `ramuan serta resipi' penyanyi rocker di atas pentas. Boleh dikatakan pakejnya pada malam itu paling menyerlah berbanding peserta-peserta lain.

Kehadiran Aweera di pentas begitu terasa! Jika OIAM dinilai dari aspek aura penyanyi atas pentas, pada pendapat penulis, Aweera sudah mendapat skor sembilan daripada 10 markah.

Apabila tirai persembahan dibuka, Aweera bagai dirasuk roh penyanyi utama rock untuk kumpulan pemuzik antarabangsa Korn bernama Jonathan Davis.

Terkinja-kinja dan berpusing-pusing di setiap ceruk pentas. Rambutnya pula habis kusut-masai dek terayun-ayun ke kiri, kanan, atas dan bawah.

Juri undangan, Francissca Peter yang terhibur berkata: "He is so hot rocking. You are hot with or without guitar.. You run around the stage".

Terkenangkan Aweera mirip penyanyi antarabangsa itu yang menggegarkan konsert Festival Muzik Antarabangsa Sunburst Kuala Lumpur 2009, baru-baru ini.

Kenapa? Terlalu "bising" sehingga tidak dapat mendengar sepatah daripada lirik lagunya. Mungkin muzik kumpulannya terlalu tinggi sehinggakan menenggelamkan suaranya.

Selain itu, suara garaunya langsung tidak membantu kejelasan bunyi.

Ataupun, mungkin wartawan ini yang sememangnya bukan peminat lagu rock dikira gagal menghayati lagu nyanyian asal artis Metallica itu yang didendangkan rocker dari Perlis tersebut.

Itulah cubaan berani salah seorang peserta OIAM yang cuba mencari suara identiti milik mereka. Bukankah slogan OIAM ialah Find Your Own Voice?

Hakikatnya, Aweera seperti mana Rizu menyanyikan lagu bertajuk Naluri Lelaki yang dipopularkan Samson (Naluri Lelaki - Samson), Simon (Eternity - Robbie Williams), Amylea (Satu Dalam Sejuta - Amylea) dan Nine (Nakal - Gigi) telah melakukan yang terbaik pada Jumaat lalu tetapi "ada yang tak kena" dengan nyanyian mereka.

Rizu, 19, misalnya dengan vokal tinggi melampiaskan suara lelaki macho tetapi Moss menyifatkan pembawaan lagu Rizu sebagai `tiada klimaks, tiada ekspresi wajah, tiada ciri-ciri pada suara' dan tiada apa-apa secara total.

Penyanyi berasal dari Kuala Lumpur itu bagaimanapun mempunyai `wow' sendiri dan dilihat dapat berkomunikasi baik dengan penonton.

Sementara itu, Simon, 25, pula telah berusaha berhubung dengan audiens tetapi penampilannya tanpa gitar menyebabkan kelibatnya atas pentas sedikit kaku.

Penyanyi yang menjadikan Jon Bon Jovi sebagai idolanya itu sebenarnya cuba menyuntik faktor X (daya tarikan) pada setiap minggu dia bertanding di OIAM.

Sekelumit nasihat Syafinaz kepada Simon: "Kalau tak tonjolkan X-factors, macam wall paper sahaja. Biasa saja. Tapi Simon dah cuba".

Francissca Peter mengkehendaki Simon mengawal pentas untuk berjaya dalam pertandingan itu.

SOSEH SOSEH: Juri perlu profesional, peserta usah putus asa


Ketika menonton program realiti TV yang diadakan pada setiap minggu, SS tertarik untuk mendengar apa komen juri terhadap peserta. SS sebenarnya lebih suka jika ada juri yang berani beri kritikan pedas kepada peserta supaya ada perkembangan dan perubahan pada persembahan akan datang.

Program realiti One In A Million antara program yang hangat diperkatakan apabila ada peserta yang dinilai pada mata penonton berbakat, tetapi tersingkir jua akibat SMS penonton.

SS bukan mahu salahkan penonton yang sokong tanpa mengundi, tetapi SS ingin kongsi pandangan dengan penyanyi Amylea yang turut bertanding dalam program itu.

Sejak minggu pertama hingga kelima, SS lihat Amylea sebenarnya mempunyai bakat menyanyi dengan cara sendiri. Walaupun dia pernah ditegur pengkritik program itu kerana keliru antara konsep persembahan yang ingin ditonjolkan setiap minggu, dia tetap mempunyai kesungguhan untuk memberikan persembahan terbaik.

Namun, SS kasihan pula apabila nasib Amylea sering dikritik juri yang mencari kelemahannya. Minggu lalu, persembahan Amylea dengan lagu Jason Mraz, I'm Yours dikatakan seorang juri tidak mempunyai kelainan pada persembahan.

SS tertanya juga apa kelainan yang dimaksudkan juri itu kerana berbanding peserta lain, ada juga yang tidak beri kelainan, tetapi dapat pujian juri pula. SS bukan peminat fanatik Amylea tetapi SS cuba beri pandangan sepatutnya juri lebih tulus dalam beri kritikan.

Ada rakan SS berpandangan, juri ini seperti tidak suka dengan persembahan peserta yang nyanyi lagu Melayu walaupun berusaha menyampaikannya sebaik mungkin.

SS tidak tahu sama ada benar atau tidak kata rakan SS itu tetapi SS percaya juri mempunyai alasan sendiri dalam menentukan setiap keputusannya. SS harap juri lebih profesional dalam menilai bakat peserta dan peserta jangan putus asa beri persembahan terbaik yang mempunyai kelainan.

Harian Metro

oleh ahmadeLrafaei@hmetro.com

Giliran Amylea Mendapat Imuniti

by Li Ee Kee | Gua.com.my



Nyaris-nyaris disingkirkan dari pertandingan One In A Million, namun kesudahannya berakhir dengan begitu sempurna sekali buat anak kelahiran Alor Setar ini.

Dendangan lagu ciptaannya sendiri, “Akan Tiba” yang ditulis dan diterbitkan untuk Alif OIAM musim pertama, sambil memetik gitar yang lebih besar darinya, dirasakan Paul Moss dan Syafinaz sebagai persembahan yang paling menyerlah malam tadi, sekaligus menjadikan Amylea penerima imuniti untuk minggu ini.

Persembahan malam tadi adalah kali pertama Amylea memberanikan diri untuk tampil ke depan dengan memainkan gitarnya. Sebelum ini, dirasakan dirinya tidak mampu memainkan instrumen tersebut.

“I never thought I could play sebab jari saya sakit dan gitar itu sebenarnya berat dan dengan ketinggian saya, posisi gitar itu perlu diletakkan lebih rendah dari biasa.”

Bukan seorang yang mudah mengalah, Amylea telah menghabiskan masa setiap hari untuk melatih dirinya memegang dan memainkan gitar walaupun jari dan bahunya sakit. Tetapi nampaknya, kesakitan itu berbaloi juga akhirnya.

Bila diumumkan bersama Ayu dan Pija sebagai berada di Bottom 3, Tuhan saja yang tahu apa yang dirasainya. Namun, Amylea melihatnya sebagai rangsangan untuk berusaha dengan lebih kuat lagi.

Ketika di Akademi Fantasia dulu, Amylea juga sering mendapati dirinya di tangga bawah.

“Masa itu, Amylea masih ada berusaha tetapi tanpa ilmu. Di sini, Amylea usaha dengan ilmu. Dan kali ini, tekanannya lebih tinggi bila berada di Bottom 3.”

Sumber : GUA.COM.MY

Komen kasar tapi jujur

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my



Kesilapan sama masih dilakukan, misalnya pemilihan lagu tidak tepat dan di luar kemampuan vokal mereka termasuk masalah nyanyian sumbang. Malah difahamkan, ramai peserta kurang sihat mungkin disebabkan perubahan cuaca.

Berasa hampa dengan keadaan itu, akhirnya perkataan 'menyalak' terpacul dari mulut juri tetap wanita, One In A Million (OIAM) musim ke-3, Syafinaz Selamat, sewaktu memberi komen terhadap persembahan Aweera, yang membawakan lagu She's Gone dipopularkan Steel Heart.

Dalam program yang disiarkan secara langsung di 8TV dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu, Syafinaz mengatakan rock gergaji elektrik Aweera tidak berfungsi.

"Saya tahu matlamat anda mahu menyanyi nada paling tinggi tetapi apa yang anda lakukan bukan menyanyi, menjerit pun tidak, mungkin menyalak!" katanya.

Meskipun kenyataan Syafinaz ada benarnya berdasarkan persembahan Aweera yang sumbang, namun segelintir penonton terutama peminat Aweera beranggapan kenyataan yang dilemparkan itu agak kasar dan keterlaluan.

Sejurus selepas Syafinaz menyebut perkataan itu, penonton di studio saling berpandangan dan terkejut. Bahkan laman online OIAM mula dihujani pelbagai kritikan serta komen daripada penonton dan peminat.

Menjelaskan hal ini, Syafinaz yang ditemui pada majlis sidang media sejurus selepas konsert berakhir berkata, komen itu dibuat bukan secara membabi buta sebaliknya perlu jujur kerana itulah yang dirasakan ketika menyaksikan persembahan Aweera.

"Saya minta maaf pada mereka yang tersinggung. Komen pada malam ini mungkin agak kasar bagi sesetengah pihak yang mendengarnya. Apa yang dikatakan itu bukan kerana mahu menjatuhkan mereka atau ada perasaan dengki. Sedikit pun tidak malah kerana sayangkan setiap peserta, saya harus jujur kerana tahu mereka ada potensi.

"Minggu lepas, kami dapat maklum balas penonton yang memuji kumpulan peserta kali ini yang semuanya boleh menyanyi. Alih-alih minggu ini mereka tidak buat dengan baik.

"Menyalak, kenyataan itu kerana saya tidak jangkakan persembahan peserta yang bagus minggu lalu akan seteruk ini. Minggu lepas kami (juri) puji macam nak rak, minggu ini persembahan mereka mengecewakan," katanya.


Syafinaz yang juga Pensyarah Vokal dan Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, turut diminta menjelaskan punca yang mendorong 'kegagalan' persembahan peserta malam itu.

"Sama ada peserta lelaki atau perempuan, kebanyakannya membuat pilihan lagu tidak tepat, tidak menarik, tidak relevan dan tidak melambangkan diri mereka serta di luar kemampuan vokal mereka.

"Saya tidak faham kenapa harus lakukan perkara yang kita tidak mampu. Masalah ini ada kaitan dengan aduan yang kami dengar dari pihak Aubrey Suwito yang maklumkan ada peserta lebih gemar meminta pandangan keluarga sehingga membelakangkan peranan pengarah muzik.

"Saya percaya OIAM menyediakan tenaga pengajar yang terbaik dan berpengalaman malah ilmu daripada mereka inilah yang sepatutnya peserta rebut. Namun, apabila pandangan pengarah muzik sendiri tak mahu dengar, maka timbullah masalah seperti kita saksikan di pentas.

"Bukan tidak boleh minta pandangan keluarga. Kalau ibu bapa berpengalaman luas dalam bidang muzik macam juri jemputan, Salamiah Hassan, tidak mengapalah. Peserta tidak boleh leka kerana ini adalah pertandingan. Setiap kali menyanyi pemilihan lagu kena tepat," katanya.

Aweera atau nama sebenarnya, Nasharul Aweera Noriyissham, 18, ketika ditanya apakah perasaannya tatkala mendengar komen Syafinaz yang menyamakan nyanyian seperti menyalak, mengakui dirinya tidak sihat sejak dua hari lalu.

"Mulanya diserang demam sehingga kerongkong saya berdarah. Mengenai komen itu, saya tidak tahu nak kata macam mana," katanya dengan wajah penuh kecewa.

Bagaimanapun, Syafinaz sudah mengingatkan peserta sejak minggu lepas lagi supaya menjaga kesihatan mereka. Katanya, ini pertandingan takkan setiap kali perlu beri alasan sakit dan peserta harus tahu peminat tidak mahu dengar alasan.

Sementara itu seorang lagi juri tetap, Paul Moss, berkata, persembahan minggu ini dan sebelumnya tidak banyak beza kerana masih ada menyanyi sumbang, tetapi ada beberapa peserta berjaya dengan persembahan mereka walaupun terpaksa mengambil risiko.

"Saya suka persembahan Fify malam ini yang membawa penonton melihat sudut berbeza yang ada pada dirinya. Pilihan lagu yang tepat disuntik idea muzik menarik sehinggalah penampilannya malam ini bertentangan personaliti Fify yang sebenar.

"Selepas ini, saya juga mahu melihat lebih ramai peserta mempertaruhkan lagu mereka sendiri sebagaimana dilakukan Amylea. Tindakan itu cukup bijak sekali gus menonjolkan kebolehan lain yang dimiliki mereka," katanya.

Amylea yang juga Bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) turut merampas imuniti daripada teman sebiliknya, Esther yang muncul sebagai peserta pertama menerima kelebihan itu pada konsert pertama dan secara automatik menyelamatkannya daripada sebarang penyingkiran.

"Sewaktu pengacara mengumumkan nama berada di 'bottom 3' seawal rancangan tadi saya berasa agak tertekan dan sedih kerana saya enggan pulang. Justeru apabila diberikan imuniti ini saya rasa lega walaupun tidak menjangkakan sama sekali," katanya.

Jika ia malam paling menggembirakan Amylea, namun sebaliknya buat Nurhidayu Md Tekhary (Ayu), 20, yang berasal dari Muar, Johor apabila diumumkan pengacara, Awal dan Marion Counter sebagai peserta yang tidak berkesempatan meneruskan perjuangan minggu itu.

Belum pun sempat mengembalikan kepercayaan penonton di konsert minggu kedua menerusi persembahannya dengan lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi (Mulan Jameela), Ayu terlebih dulu disingkirkan, gara-gara kegagalan persembahannya minggu lalu menerusi lagu Matahari (Agnes Monica).

Ayu bukan hanya agal menambat undian penonton bahkan, Paul Moss sendiri meramalkan namanya salah seorang daripada empat peserta yang akan pulang malam itu.

"Saya sudah jangka akan tersingkir dan akuinya persembahan minggu lalu tidak memuaskan. Saya sudah bersedia walaupun tidak nafikan kecewa dan sedih tetapi tidaklah mahu menangis sampai pengsan.

"Tersingkir bukan titik noktah perjuangan saya, banyak peluang yang terbentang dan kita kena rajin mencarinya. Rancangan saya selepas ini adalah bergerak bersama band saya," katanya.

Daripada 11 peserta yang meneruskan perjuangan, hanya tiga berjaya memberi persembahan membanggakan. Selain mengambil risiko keluar dari zon selesa mereka pada malam bertemakan 'Memori Tercipta' itu yang turut menampilkan penyanyi senior, Salamiah Hassan sebagai juri jemputan.

Mereka adalah Fify yang menyampaikan lagu Tidak Tercapai Akalmu dipopularkan Elyana, Simon (Knocking On Heavens Door/Guns N' Roses) dan Amylea dengan lagu ciptaannya sendiri, Akan Tiba dipopularkan oleh Alif (OIAM musim pertama).

Diselubungi perasaan sedih akibat penyingkiran Ayu, persembahan pemenang imuniti minggu lepas, Esther yang membawakan lagu Mengenangmu (Kerispatih) terganggu sekali gus menyebabkan persembahan kurang mendapat pujian berbanding sebelumnya.

Nine yang juga vokalis kumpulan Coco turut menghampakan juri serta peminat menerusi lagu yang dipertaruhkan, Berita Dari Rantau (Alleycats). Peserta lain, Anith (Rindu/Hetty Koes Endang), Rizu (My Way/Frank Sinatra), Han (Getaran Jiwa/P Ramlee), Tomok (Rahsia Pohon Cemara/Exist) dan Pija (Since You've Been Gone/Kelly Clarkson) yang menampilkan persembahan cukup makan.

SUMBER

'Macam anjing menyalak'

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


JURI kecewa dengan persembahan pelajar terutama dari segi pemilihan lagu.


BARU minggu kedua ditayangkan kepada penonton, program realiti One In A Million sudah mula mencipta kontroversi apabila salah seorang juri, Syafinaz Selamat melemparkan kritikan yang agak keras kepada seorang peserta iaitu Aweera.

Sebaik saja peserta yang berasal dari Perlis itu selesai menyanyikan lagu She’s Gone, Syafinaz mengkritik cara nyanyiannya itu seperti anjing menyalak.


Selama ini, baik Syafinaz ataupun Paul Moss, mereka sudah berdepan dengan pelbagai ragam dan kerenah peserta sama ada sewaktu sesi uji bakat ataupun pertandingan sebenar.

Mereka juga mungkin sudah lali dengan corak nyanyian yang berbeza-beza tapi malam itu penyanyi yang pernah popular dengan lagi Ingin Bersamamu naik hantu dan meradang sehingga terlanjur mengeluarkan komen yang kurang enak didengar penonton serta boleh melemahkan semangat peserta.

Difahamkan, akibat kritikan spontan itu, Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham terduduk. Walaupun sewaktu sidang media kemudian, Aweera hanya memberikan alasan kurang sihat kerana demam dan tekak berdarah yang menyebabkan persembahannya kurang memuaskan, namun daripada raut wajahnya yang murung itu jelas menunjukkan dia sebenarnya terluka dengan kritikan keras itu.

Mengulas lanjut kata-kata pedasnya itu, Syafinaz berkata, dia tidak berniat untuk menyakitkan hati peserta berkenaan apabila menyamakan nyanyiannya seperti salakan namun sebagai orang yang berpengalaman dalam bidang nyanyian, teknik yang digunakan Aweera adalah salah dan nyanyiannya memang menyakitkan telinga.

“Kalau dalam bahasa Inggeris barking, dalam Bahasa Melayu, maksudnya menyalak. Itulah yang saya dapat rasakan nyanyian Aweera malam ini. Awal-awal nyanyian lagi sudah sumbang. Banyak masalah pitching.

“Saya minta maaf andai kritikan itu agak kasar tapi kalau kita tak cakap dengan cara begitu, mereka ini sudah hendak faham. Terus terang, saya tak puas hati dengan persembahan kebanyakan persembahan peserta malam ini,” tegas Syafinaz dalam nada kecewa.

Tegasnya, kelemahan paling ketara di kalangan peserta kali ini adalah kebanyakan dari mereka masih menghadapi masalah untuk memilih lagu.

“Macam minggu ini, walaupun tema yang diketengahkan adalah memori tercipta di mana setiap dari mereka perlu menyanyikan lagu yang mampu mengembalikan nostalgia dalam diri mereka tetapi biarlah lagu itu bersesuaian dan mampu mencabar kebolehan mereka.

“Ini tidak, mereka lebih senang merujuk ibu dan bapa mereka mengenai lagu apakah yang ingin dinyanyikan berbanding merujuknya kepada pengarah muzik iaitu Aubrey Suwito. Aubrey sendiri meluahkan kepada kami mengenai kedegilan mereka ini,” luah juri tinggi lampai ini.

Begitupun, pendapat Syafinaz itu disangkal Nine, peserta yang sudah dua kali mendapat komen yang serupa iaitu tidak mampu membuat pilihan lagu dengan baik.

“Apabila juri memberikan komen sedemikian, kami sendiri keliru sebenarnya. Kami hanya menyanyikan lagu yang bertepatan dengan tema yang diberi dan kebetulan lagu yang kami pilih itu mempunyai memori tersendiri jadi lagu itulah yang kami nyanyikan,” jelas Nine yang disifatkan Syafinaz sebagai sering berada dalam zon selamat dan tidak berani mencabar kemampuan diri sendiri.

Mengenai ada cadangan daripada penonton yang meminta supaya menghapuskan sistem imuniti, kedua-dua juri nyata tidak bersetuju dengan perkara itu.

“Dalam program ini, biasanya kita hanya boleh memberi komen tetapi keputusan dibuat penonton. Jadi dengan adanya imuniti ini, secara tidak langsung kita menunjukkan kepada mereka siapakah peserta yang terbaik berdasarkan penilaian juri sendiri,” jelasnya sambil memberitahu hanya seorang peserta yang menunjukkan persembahan terbaik saja yang layak dianugerahkan dengan imuniti.

Ayu peserta pertama tersingkir

PAUL Moss menyifatkan penyanyi dari Muar, Johor ini sebagai seorang yang mempunyai potensi besar dalam bidang nyanyian. Namun, apabila jari menjadi juri, malam Jumaat lalu menyaksikan Nurhidayu Md Tekhary atau Ayu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada program realiti itu apabila undian SMS dan talian tetap penonton tidak memihak padanya.

Nampaknya lagu Matahari nyanyiannya masih belum dapat menambat hati peminat walaupun dia berusaha sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik.

“Saya akur dengan keputusan ini. Walau apapun, perjuangan akan diteruskan dan saya percaya rezeki itu ada di mana-mana,”ujar Ayu yang kelihatan cukup tenang.

Selain Ayu, berada di tempat tiga ke bawah seperti yang diumumkan pengacara Awal Ashaari dan Marion Caunter adalah Amylea dan Pija.

Pada acara yang dipancarkan secara langsung menerusi saluran 8TV itu, penyingkiran Ayu sekali gus memberi peluang kepada 11 lagi peserta yang tinggal untuk misi bergelar juara OIAM 3. Mereka adalah Pija, Tomok, Han, Rizu, Nine, Amylea, Simon, Esther, Aweera, Anith dan Fify.

Jika minggu lalu Esther diberikan imuniti sebagai habuan persembahannya yang berjaya memikat hati juri, namun kali ini, keistimewaan itu menjadi milik Amylea, yang memukau penonton dengan persembahan bersahaja dan memetik gitar ketika menyampaikan lagu ciptaannya sendiri berjudul Akan Tiba.

SUMBER

OIAM: Prestasi merudum

Hiburan »
Isnin Mac 2, 2009
Oleh WAHIDA ASRANI

Syafinaz anggap peserta 'menyalak'

PADA episod pembukaan minggu lepas, peserta-peserta One In A Million musim kedua (OIAM) menerima pujian cukup hebat daripada dua juri tetap program itu, Syafinaz Selamat dan Paul Moss. Tetapi entah mengapa, Jumaat lalu, prestasi hampir kesemua peserta nampaknya jatuh 'merudum' dan ternyata cukup menghampakan pihak juri.

Tidak tahu di mana silapnya, namun tema 'memori tercipta' yang dipilih dimana setiap peserta perlu menyanyikan lagu yang mampu mengimbau semula memori indah masing-masing nampaknya mengundang 'tragedi' terhadap beberapa peserta.


Lebih memeranjatkan apabila Syafinaz turut mengeluarkan perkataan 'menyalak' terhadap salah seorang peserta iaitu Aweera yang gagal menyampaikan lagu She's Gone dendangan Steel Heart dengan baik.

"Itu bukan menyanyi...menjerit pun bukan. Ia kedengaran seperti menyalak," komen Syafinaz sebaik peserta yang berimejkan rock itu selesai melakukan persembahannya.


Mungkin kedengaran agak kasar, apatah lagi peserta itu dikatakan kurang sihat dan mengalami pendarahan tekak, namun Syafinaz yang ditemui sejurus berakhirnya persembahan minggu kedua OIAM yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam itu, akui perkataan tersebut terpacul gara-gara cukup kecewa melihat rata-rata persembahan yang gagal dilakukan dengan baik.

"Bukan hanya Aweera, tetapi saya amat kecewa dengan kebanyakan peserta malam ini. Minggu lepas kami memuji mereka bagai nak rak, tetapi minggu ini saya tidak faham kenapa prestasi menurun?


"Saya akui, mungkin kritikan saya agak kasar terhadap Aweera. Tetapi sejujurnya, saya lihat dia bukan menyanyi, tetapi memang seperti menyalak. Saya minta maaf jika ada yang tersinggung, tetapi itulah yang saya rasa.

"Saya sedar perlunya cakap berlapik, tetapi adakalanya orang tidak faham apa yang kita cuba sampaikan. Saya harap ini akan dapat mencabar peserta agar terus berusaha untuk memberikan yang terbaik.


"Ini adalah pertandingan. Kamu tidak boleh beri alasan kepada penonton bahawa kamu sedang sakit. Saya faham manusia memang akan sakit, tetapi kamu kena ingat yang kamu sedang menyertai pertandingan, jadi kenalah jaga kesihatan," kata Syafinaz dalam nada kecewa.

Sebelas peserta yang masih kekal telah menyampaikan lagu yang mempunyai kenangan tersendiri di dalam hidup mereka. Norhidayu Md.Tekhary atau Ayu bagaimanapun gagal menyertai 11 rakannya itu setelah diumumkan tersingkir di awal program kerana gagal meraih undian secukupnya daripada penonton berdasarkan persembahannya pada minggu lalu.


Turut berada di tiga tangga terbawah pada awal program itu ialah Amylea dan Pija.


Amylea menerima imuniti pada minggu ini daripada pihak juri

Namun, Amylea bangkit pada persembahan baru-baru ini setelah terselamat daripada penyingkiran menerusi lagu ciptaannya sendiri, Akan Datang yang mana naib juara Akademi Fantasia musim ketiga ini turut menerima imuniti daripada juri tetap serta seorang juri jemputan iaitu penyanyi Salamiah Hassan.


Imuniti itu secara automatik melayakkan Amylea untuk terus beraksi di minggu seterusnya serta tidak perlu melalui proses undian daripada penonton.

Selain Amylea, turut menampilkan persembahan yang baik ialah Simon, Esther dan Fify. Masing-masing menyampaikan lagu Knocking On Heavens Door, Mengenangmu dan Tak Tercapai Akalmu.


Turut memberikan persembahan yang tidak menghampakan ialah Han, Rizu, Anith, Tomok dan Pija. Tetapi tidak seperti minggu lalu, peserta-peserta ini kurang menyerlah gara-gara lagu yang dilihat kurang sesuai dibawakan oleh mereka meskipun masing-masing tidak dinafikan mempunyai mutu vokal yang cukup hebat.

Aweera dan vokalis kumpulan Coco, Nine nampaknya gagal mempamerkan persembahan yang baik pada malam itu. Aweera, peserta yang mengenengahkan genre rock ini seperti hilang 'punca' tatkala menyampaikan lagu She's Gone.


Apa yang jelas kedengaran hanyalah 'jeritan' rock, tetapi nampaknya masih tidak 'menjadi' sehingga membuatkan Syafinaz meluahkan perkataan 'menyalak', sebagai menjelaskan cara nyanyiannya itu.

Begitu juga yang terjadi pada Nine yang dilihat terus mempamerkan persembahan yang menghampakan sejak minggu lalu. Dari segi vokal, Nine tidak menghadapi banyak masalah, tetapi minggu ini, persembahan peserta ini semakin 'teruk', lebih-lebih lagi dengan pemilihan lagunya yang dianggap juri adalah salah.


Mengulas lanjut tentang penurunan prestasi peserta minggu ini, kata Syafinaz, selain kesilapan memilih lagu yang tidak relevan, menarik, tepat dan tidak melambangkan identiti masing-masing, ia juga dilihat berpunca dari sikap sesetengah peserta yang lebih gemar merujuk kepada keluarga masing-masing dalam pemilihan lagu, berbanding pemuzik-pemuzik profesional program itu.

"Dari 'feedback' yang saya dapat, ramai peserta lebih suka merujuk kepada keluarga mereka.


"Tidak salah untuk mereka berbuat demikian, tetapi di dalam program ini kita mempunyai pemuzik yang bagus seperti Aubrey Suwito yang mana mereka lebih tahu untuk cari halatuju peserta-peserta ini," luah Syafinaz.

Dia bagaimanapun menyangkal bahawa tema lagu minggu ini yang menjadi punca utama membawa kepada kemerosotan prestasi peserta.


"Saya rasa tidak ada masalah dengan tema yang diletakkan minggu ini asalkan mereka pandai memilih lagu. Sebenarnya, lagu yang mereka pilih itu perlulah melambangkan diri masing-masing.

"Memang benar lagu yang mereka sampaikan itu mungkin ada memori tersendiri. Tetapi sepanjang 18 hingga 20 tahun mereka hidup, takkan hanya itu saja lagu yang ada memberikan memori kepada mereka? Pasti ada banyak lagi memori dan sepatutnya lagu itu dapat disesuaikan dengan diri mereka," kata Syafinaz lagi.


Disebabkan persembahan rata-rata peserta yang kurang memberangsangkan minggu ini, ada juga pihak yang merasakan sistem imuniti patut dihapuskan, berdasarkan komen yang diberikan oleh penonton secara online. Namun, idea itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Paul Moss.

"Setakat ini, saya rasa masih ada peserta yang layak untuk menerima imuniti. Jadi, saya rasakan sistem imuniti ini tidak patut dihapuskan," kata Paul.


Syafinaz bagaimanapun tidak menafikan, imuniti mungkin tidak akan diberikan jika persembahan peserta pada minggu-minggu seterusnya masih di tahap yang tidak memuaskan.

"Tidak mustahil pada minggu tertentu kita tidak berikan imuniti, andai kata tiada peserta pun yang mempamerkan persembahan yang bagus," tutur Syafinaz.

Sumber

OIAM 3: Ayu peserta pertama tersingkir

HiburaN
Sabtu Februari 28, 2009
Oleh WAHIDA ASRANI



Ayu gagal mara ke minggu seterusnya apabila menjadi mangsa penyingkiran pertama OIAM


[SEMASA] SHAH ALAM: Impian Norhidayu Md.Tekhary atau Ayu untuk meneruskan perjuangan di dalam One In A Million musim kedua (OIAM) akhirnya berkecai apabila dia menjadi peserta pertama tersingkir dari program realiti popular itu yang berlangsung di Sri Pentas 2, di sini, malam tadi.


Persembahannya pada minggu lalu ternyata gagal meraih undian secukupnya daripada penonton untuk memastikan dirinya terus kekal di dalam program itu.

Ayu diumumkan tersingkir sebelum bermulanya persembahan minggu kedua itu yang mana penyingkiran tersebut sekaligus turut melenyapkan hasrat peserta berusia 20 tahun itu untuk merangkul wang kemenangan RM1 juta.


Ditemui sejurus berakhirnya program itu, Ayu akui persembahannya minggu lepas kurang memberangsangkan setelah mendengar komen yang diberikan oleh juri-juri profesional.

"Awal-awal lagi saya memang sudah bersedia andai kata tersingkir. Tambahan pula, minggu lalu saya akui persembahan saya kurang memuaskan dan telah menghampakan pihak juri.


"Tetapi, saya tidak mahu menganggap penyingkiran ini sebagai penamat terhadap cita-cita saya untuk meneruskan perjalanan seni yang baru bermula. Mungkin rezeki saya ada di luar sana," ujar Ayu yang aktif menyanyi bersama band bapanya.

OIAM musim baru ini masih mengekalkan Syafinaz Selamat dan Paul Moss sebagai juri tetap manakala penyanyi Salamiah Hassan pula telah diundang sebagai juri jemputan.


Dengan penyingkiran Ayu, maka 11 peserta yang berjaya meneruskan persembahan pada minggu ini ialah penyanyi kelahiran Akademi Fantasia, Amylea; juara Mentor musim pertama, Pija; Penyanyi Baru Terbaik AIM 2006, Rizu; finalis suara Emas Bintang RTM 2007, Han; vokalis kumpulan New Boyz, Tomok, vokalis kumpulan Coco, Nine serta lima peserta bukan artis iaitu Anith, Aweera, Esther, Simon dan Fify.

Amylea turut menerima imuniti daripada pihak juri berdasarkan persembahan menarik yang dilakukannya malam tadi.


Imuniti itu secara automatik melayakkan Amylea untuk terus beraksi di minggu seterusnya serta tidak perlu melalui proses undian daripada penonton.

-------------->>>
Sumber :

OIAM3: 'Pembukaan' yang meyakinkan


Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

SEJAK diperkenalkan pada tahun 2006, rancangan realiti popular One In A Million (OIAM) semakin mendapat tempat di kalangan para penonton setia 8TV serta para peminat muzik tempatan.

Apatah lagi, saban tahun program yang menawarkan ganjaran bernilai RM1 juta itu semakin terpahat sebagai jenama program yang melahirkan bakat-bakat baru yang tidak kurang hebatnya di pentas seni hiburan tempatan.

Melangkah ke musim yang ketiga, siapakah di antara 12 peserta yang bakal menyusul dua juara OIAM musim terdahulu iaitu Suki (musim pertama) dan Ayu (musim lalu) sebagai 'jutawan segera'?.

Segalanya terletak di tangan para peminat OIAM sendiri dalam menentukan 'produk' juara yang pilihan mereka yang bagaimana bagi menampung 'kekosongan' seni hiburan tempatan.

Konsert pertama OIAM musim ketiga (OIAM3) yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam minggu lalu ternyata mampu memberi input yang memberangsangkan di kalangan para peminat rancangan itu.

Ini kerana, rata-rata pesertanya berjaya memberi persembahan yang mampu mencuri tumpuan bukan sahaja penonton tetapi juga juri tetap rancangan itu Syafinaz Selamat dan Paul Moss.

Menurut Syafinaz, dia berasa seronok kerana pada musim kali ini OIAM mempunyai barisan peserta yang begitu kuat.

"Secara keseluruhan, saya suka persembahan para peserta pada minggu ini. Cuma ada beberapa peserta yang masih belum menunjukkan kebolehan sebenar mereka.

"Bagaimanapun, 90 peratus peserta mempersembahkan persembahan yang baik. Namun, tengok ada lagi di kalangan peserta yang belum berani menonjolkan kemampuan sebenar mereka.

"Apa yang saya harapkan untuk minggu depan ialah persembahan yang lebih mengghairahkan lagi dari para peserta," kata guru vokal dan penyanyi terkenal itu lagi.

Melihatkan persembahan para peserta pada konsert minggu pertama itu, ternyata masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

Apatah lagi, separuh daripada peserta untuk musim kali ini terdiri daripada barisan artis yang telah berpengalaman membuat persembahan pentas.

Mereka ialah Pija yang mempersembahkan lagu dari Meet Uncle Hussain, Lagu Untukmu, Amylea (Aku Skandal, Hujan), Han (Menjaga Hati, Yovie Nuno), Nine (Cinta Ini Membunuhku, D'Masiv), dipopularkan oleh M. Nasir, Juwita Citra Terindah.

Enam lagi peserta ialah Esther yang menyanyikan lagu dendangan Leona Lewis, Better In Time, Simon (Home, Daughtry), Fify (If I Were A Boy, Beyonce), Anith (That's What You Get, Paramore), Aweera (Aku Dah Bosan, Amy Search) dan Ayu (Matahari Ku, Agnes Monica).

Imuniti kejutan untuk OIAM3

Menariknya, pada tahun ini OIAM membuat kejutan dengan memperkenalkan 'perlindungan' atau imuniti yang memberi kuasa kepada barisan juri untuk memilih peserta yang membuat persembahan terbaik pada setiap minggu.

'Perlindungan' tersebut membolehkan peserta yang terpilih terus kekal untuk beraksi ke minggu seterusnya tanpa boleh diundi keluar.

Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar ketika ditemui memberitahu, kejutan yang diberikan itu bagaimanapun telah mula dirancang sejak OIAM musim lalu lagi.

"Selain meningkatkan 'drama' dalam OIAM kali ini, ia akan membuatkan orang-orang di luar sana tertanya-tanya tentang imuniti yang diberikan.

"Apabila orang ramai mula bercakap tentang OIAM dan imuniti, secara tidak langsung peminat di luar sana dapat tahu apa yang pihak juri mahukan," katanya.

Untuk persembahan minggu lalu, Esther berjaya mencuri tumpuan juri sehingga membolehkannya mendapat 'hak' perlindungan tersebut.

Bercerita tentang pemilihan tersebut, menurut Paul, Esther berjaya memberikan persembahan yang lebih baik berbanding 11 peserta lain.

Malah, menurut Syafinaz, dia begitu menyukai suara yang dimiliki oleh peserta dari Kota Kinabalu, Sabah itu.

Seperti Paul, ujar Shafinaz dia turut merasai apa yang cuba disampaikan oleh peserta dari Sabah itu dalam nyanyiannya.

Ditanya tentang saingan terdekat Esther pada minggu lalu, kedua-dua juri menyatakan bahawa Pija yang tampil berkeyakinan di atas pentas adalah antara pesaing terdekat Esther dalam merebut 'hak' imuniti pada minggu lalu.

Sementara itu, Esther ketika ditemui mengakui, terkejut menerima 'keistimewaan' yang diberikan, oleh barisan juri.

"Rasa seperti dalam pertandingan Survivor pula. Saya memang tak sangka boleh terpilih sebab bagi saya semua peserta juga bagus dan hebat-hebat belaka," katanya.

-------------->>>
SUMBER :

HIP - Penangan Esther OIAM3


Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my



PERSEMBAHAN pembukaan 12 finalis OIAM 3 dengan penuh gaya dan bertenaga. Gambar kecil, kiri, Esther yang digeruni 11 peserta lain.


Gadis kelahiran Kota Kinabalu digeruni peserta lain One In A Million musim ketiga kerana diberi imuniti

BELUM panas lagi! Demikian gambaran suhu persembahan konsert pertama One In A Million (OIAM) musim ketiga di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Jumaat lalu. Bagaimanapun, ia tidaklah hingga sampai ke tahap membosankan atau mengecewakan.

Dua belas peserta dipilih ibarat memulakan senaman memanaskan badan dan meregangkan otot dengan memilih genre lagu kegemaran.


Seperti dijangka, penyingkiran awal juga tidak terjadi sebaliknya kejutan memberikan imuniti kepada peserta paling terbaik membuat persembahan pada setiap konsert dianggap antara ramuan baru program realiti yang sudah bersiaran tiga musim ini di 8TV.

Esther, peserta kelahiran Kota Kinabalu yang pernah mengikuti uji bakat sebuah program realiti di sebuah stesen TV berbayar ini menjadi calon pertama diberikan imuniti.

Mendendangkan lagu Better In Time yang dipopularkan Leona Lewis, vokal serak-serak basah Esther yang persis Azharina memukau pandangan dua pengkritik tetap pertandingan ini, Syafinaz Selamat dan Paul Moss. Pujian melambung yang diterima peserta berusia 21 tahun ini daripada kedua pengkritik terbabit ternyata cukup munasabah.

Menurut Esther, dia amat terkejut dengan keputusan ini, malah pemberian imuniti itu membuatkannya seolah-olah berada dalam program tersohor, Survivor. Tidak menidakkan keupayaan 11 peserta lain, Esther yang dianggap antara saingan terdekat peserta lain ini percaya yang dia layak untuk berada di pentas OIAM 3. Kemenangan imuniti ini, sekali gus memberikan kuasa pengecualian kepadanya untuk tidak diundi peminat dan tiada penyingkiran berlaku terhadapnya sehingga minggu seterusnya.

“Saya tidak boleh memberitahu sebab apa saya layak menerima imuniti ini. Mungkin jawapan ini terletak kepada Paul Moss dan Syafinaz Selamat yang menilai saya. Syukur, selama tiga tahun mencuri peluang menyertai pertandingan nyanyian, akhirnya usaha saya ini memberi impak untuk saya tentukan hala tuju selepas ini. Terima kasih kepada OIAM 3 yang nampak bakat saya.

“Bagaimanapun, saya percaya kepada persaingan sihat dan 11 peserta yang lain juga mempunyai kehebatan masing-masing. Mereka bagus-bagus belaka, hinggakan saya tidak boleh menggambarkan keistimewaan itu. Saya juga tidak berasakan yang saya sudah cukup baik,” katanya sambil berseloroh memberitahu mungkin dia menerima imuniti disebabkan kuat berpeluh.

Bagi pengkritik yang dianggap bermulut laser, Paul Moss, dia dan Syafinaz sepakat memilih Esther kerana kemampuan penyanyi genit itu menyampaikan lagu dengan penuh perasaan dan baik. Malah, katanya lagi, ada beberapa peserta lagi yang turut membuat persembahan baik cuma tidak sebagus Esther.

“Saya gembira 12 peserta ini mempunyai ciri berbeza dan tidak seperti program realiti lain. Esther memberikan corak persembahan lain dan sesuatu yang ekstra di atas pentas. Oleh itu, dia mampu pergi jauh dan menerima ganjaran imuniti,” katanya ringkas.

Mengakui pendapat sama ialah Syafinaz Selamat. Penyanyi yang terkenal dengan vokal soprano dan klasik ini berpuas hati dengan mutu persembahan diberikan 12 peserta. Menurut Syafinaz, Pija antara saingan terdekat yang dianggap mampu menerima imuniti, cuma kelebihan faktor X terarah kepada Esther.

“Saya gembira dengan persembahan mereka dan hampir 90 peratus memberikan yang terbaik. Selebihnya, ada juga yang saya agak kurang berpuas hati kerana yakin mereka mampu membuat lebih baik daripada minggu pertama. Ada peserta yang gementar hingga menjejaskan fokus untuk memberikan persembahan habis-habisan. Apa yang saya boleh katakan, mereka adalah calon yang terbaik pada musim ini.

“Esther mempunyai tona suara sangat baik dan saya suka. Ada sesuatu padanya dan kualiti suaranya patut dipuji. Dia cantik dan sangat bersemangat, malah mempunyai perasaan sewaktu menyanyi hingga mampu membuatkan orang yang menonton akan tersentuh. Kalau tak ada Esther, maka laluan mudah untuk Pija menerima imuniti ini,” katanya.

Imuniti mampu bangkit elemen drama

PERTAMA kali diperkenalkan pada musim ini, penggunaan terma imuniti mempunyai alasan konkrit kenapa ia diwujudkan. Kata Ahmad Izham Omar selaku Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, ia sepatutnya sudah mula dipraktikkan sejak musim kedua namun atas beberapa sebab ia tidak mampu direalisasikan.

Selain elemen kejutan yang cukup sinonim dengan program realiti sebegini, katanya, imuniti mampu membangkitkan elemen drama dalam usaha menarik perhatian penonton.

“Apabila ada drama, lebih ramai orang akan tertanya-tanya dan bercerita mengenainya. Secara tidak langsung, program ini akan mula disedari dan diperkatakan. Jika sebelum ini pengkritik mempunyai komen positif dan negatif terhadap peserta, namun kita sendiri tidak tahu siapakah yang terbaik di antara semua yang ada. Lalu, imuniti ini jelas akan menunjukkan siapakah peserta khusus yang layak diberi perhatian mengikut komen pengkritik,” katanya yang turut menyertai sidang media selepas berakhirnya konsert pertama.

Imuniti memberi isyarat awal untuk peserta terus memberikan persembahan memberangsangkan. Impaknya cukup tinggi kerana semangat bersaing akan terus ada dalam usaha untuk kekal dan merebut ganjaran RM1 juta kepada mereka yang layak.

Menurut Aweera, peserta musim ini yang memperjuangkan rock kapak dan 1980-an, dia dan rakan lain tidak menafikan kemantapan vokal Esther dan digeruni.

Persembahan jejaka berusia 18 tahun ini menerusi lagu Aku Dah Bosan nyanyian asal Amy Search masih pada tahap yang boleh dibanggakan. Kecomelan Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham ini mungkin ada nilai tambah untuk terus menarik perhatian pengundi wanita.

Bagi Amylea yang pernah mendapat tempat kedua di Akademi Fantasia musim ketiga pula, dia juga bersetuju dengan rakan lain mengenai aura vokal yang ada pada Esther. Katanya lagi, suara Esther jarang ada di Malaysia.

“Kita tidak boleh berdengki dengan menidakkan bakat Esther kerana harus diakui dia memang berbakat besar dan penyanyi sepertinya memang amat diperlukan bagi mengisi ruang industri kita. Saya juga dengan hati terbuka bersedia untuk memberikan lagu ciptaan sendiri untuk dinyanyikannya,” kata Amylea yang menyanyikan lagu Aku Skandal, lagu asal nyanyian kumpulan Hujan.

Hakikatnya, Amylea kini semakin matang dan sudah mula tahu apa yang ingin dicapainya dalam dunia seni. Baru saja melahirkan album sulung, Amylea nampak lebih jelas hala tujunya berbanding dulu. Persembahannya pada tahap yang tidak mengecewakan Begitu juga dengan peserta golongan artis lain seperti Pija, Tomok, Nine, Han dan Rizu.

Juara Mentor musim pertama Pija dianggap berada di dalam zon selesa kerana penyanyi genit kelahiran Kota Kinabalu ini cukup berbakat besar. Bimbang juga tahap keyakinan berlebihan peserta ini menjadi faktor yang mungkin boleh melemahkannya. Mendendangkan lagu popular, Lagu Untukmu nyanyian kumpulan Meet Uncle Hussain, Pija agak terkejut apabila diberitahu yang dia adalah calon terdekat Esther untuk memenangi imuniti.

“Saya tidak sangka bersaing rapat dengan Esther. Menariknya kami dari negeri sama dan apa-apapun saya tidak boleh selesa kerana minggu mendatang terlalu mencabar buat diri saya dan rakan lain,” katanya ringkas.

----------------------->>>>
SUMBER

Paul Moss 'tahu' memuji - Kosmo 23.2.09

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com


LAMA dan baru. Barisan 12 finalis yang dikatakan memiliki peluang yang sama rata dalam meneruskan perjuangan sehingga ke penghujung OIAM3.


JARANG mendengar komen positif daripada pengkritik popular Paul Moss, sepanjang mengkritik bersama Syafinaz Selamat bagi dua musim One In A Million (OIAM) terdahulu mahupun Malaysian Idol.

Paul menyifatkan 12 finalis untuk OIAM musim ketiga yang memulakan konsertnya pada malam Sabtu lalu adalah peserta yang terbaik berbanding musim-musim sebelumnya.

Malah, bagi Paul, mereka yang terpilih ini mempunyai identiti vokal dan mampu mengeluarkan 'jenama' tersendiri.

Secara kebetulan pula, 12 finalis ini terdiri daripada enam peserta di kalangan artis iaitu Amylea AF3, Tomok (New Boyz), Pija, Nine (Coco)serta Rizu dan selebihnya adalah muka baru iaitu, Simon, Esther, Aweera, Anith, Ayu, Han dan Fify.

Kesemua mereka dilihat sama sahaja pada mata Paul dan Syafinaz yang juga terbabit menyenarai pendek nama mereka daripada 80 orang peserta peringkat awal.

Uniknya bagi OIAM3, tidak ada langsung jurang antara artis dan muka-muka baru. Paling jelas, mereka memahami konsep program ini untuk menonjolkan bakat mereka.

"Kalau anda nak tahu, saya berpuas hati dengan 12 finalis musim ini. Mereka ada keunikan suara dan stail tersendiri. Saya begitu kagum dengan mereka.

"Tak dapat nak dielak, mereka akan disingkirkan satu demi satu setiap minggu. Tetapi mereka akan keluar dengan peluang yang besar dalam karier nyanyian.

"Susah untuk saya katakan siapa yang mungkin bakal bergelar juara kerana ia perlu melihat dari segi aspek persembahan konsert mingguan serta sistem pesanan ringkas (SMS) penonton.

"Kerana di akhir rancangan, kita tak tahu kejutan yang akan diterima nanti. Lagipun tak adil rasanya jika saya namakan peserta-peserta yang bagus kerana mereka ada kelemahan dan kehebatan masing-masing," katanya selepas sidang media finalis OIAM3 di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi Syafinaz pula, memilih 12 finalis ini bukanlah mudah kerana banyak yang perlu dinilai sebelum memilih.

"Sepanjang pemilihan mereka, bermulalah dari Top 80 hinggalah ke Top 12, kami menilai dengan begitu terperinci. Takut kalau kami terlepas pandang.

"Alhamdulillah, apa yang kami pilih adalah terbaik antara semua. Masing-masing ada cara pembawakan muzik yang tersendiri.

"Saya harap mereka akan membuat yang terbaik di konsert nanti," katanya.

Sementara itu, menemu bual penyanyi yang pernah memenangi anugerah Artis Harapan pada Anugerah Industri Muzik 2006, Ridzuan atau nama gelaran barunya dalam OIAM3, Rizu, harapannya begitu tinggi untuk memenangi pertandingan ini.

Melalui OIAM3, dirinya mahu dikenali semula seperti mana dia bermula menjadi penyanyi enam tahun yang lalu.

"Selepas menang AIM, memang ada undangan persembahan, tetapi semua itu hanya sementara sahaja. Jadi, bila ada peluang, saya akan gunakan sebaik yang mungkin untuk menaikkan nama saya semula.



AWAL dan Marion bakal bergandingan tenaga sebagai hos bersama OIAM3.


"Banyak yang saya belajar melalui program ini kerana kami sudah dilatih selama sebulan sebelum konsert. Penonton juga akan nampak perbezaan nyanyian saya yang ketara berbanding dahulu. Saya akan lebih ketengahkan genre pop R&B dan Blues kerana inilah stail diri saya yang sebenar," katanya.

Bagi peserta dari negeri di bawah bayu, Esther, keunikan suaranya cukup menyenangkan juri sehingga berjaya membawa dirinya ke tahap Top 12.

Cuma, imej yang dibawa Esther sering dikritik Paul. Pernah sekali pada awal ujibakat, Paul mengatakan fesyen yang dikenakan Esther menampakkan dirinya lebih tua dari usianya yang sebenar.

"Masa tu saya terasa hati sikit, tapi menganggap ia satu kritikan membina dan saya perlu mengubah penampilan saya. Selamatlah, kami disediakan dengan perunding imej, Peter Lam, untuk mengubah penampilan saya," katanya yang menggemari penyanyi Etta James.

Jika mendengar suaranya ketika menyanyikan lagu Melayu, pasti ramai yang tidak sedar, lagu yang dinyanyikan itu adalah peserta berbangsa India, Simon.


ADAKAH Amylea bakal menebus kekalahannya pada Akademi Fantasia 3 menerusi OIAM3?

Sama dengan peserta-peserta lain, harapannya juga tinggi untuk menjuarai pertandingan ini.

"Saya harap dapat menjadi dua finalis akhir, itu pun sudah memadai. Tahun lalu, saya juga menyertai OIAM2 tetapi cuma bertahan hingga ke Top 20. Semua ini gara-gara kesilapan saya dari segi pemilihan lagu.

"Untuk tahun ini pula, saya tak mahu kesilapan berulang lagi dan mahu lebih berhati-hati.

"Inilah peluang saya untuk melebarkan sayap dalam mengejar cita-cita saya untuk menjadi seorang penyanyi," katanya peserta kelahiran Penang ini.

------------------>>>
Sumber :

Apa Kata Top 12 OIAM




Amylea
“I really want to win this so bad. Saya sudah fokuskan sepenuh hati, minda dan jiwa dalam pertandingan ini,” luah gadis 22 tahun ini. Dedahnya, duit RM1juta itu akan digunakan untuk membuka studio rakamannya sendiri. Dan seperti Tomok, melihat OIAM sebagai platform untuk memperbaiki diri dalam bidang muzik.

Jelasnya, ‘Akademi Fantasia’ (AF) hanya menyediakan latihan asas, sesuai sekali dengan dirinya ketika itu yang hanya berusia 19 tahun, baru bermula nak menyanyi dan memerlukan bimbingan dan ajaran. Selepas berakhirnya AF, tidak terlintas di fikirannya untuk memasuki pertandingan nyanyian realiti lain. Baginya, AF yang pertama dan terakhir.

“Tapi saya mula malas dan terlalu berpuas hati dengan diri sendiri. Selepas iklan untuk uji bakat OIAM keluar, ibu menasihati saya untuk mencuba. And I’m glad I listened to her. Setelah melalui pelbagai ujian yang disediakan, jujur saya katakan ini satu pertandingan yang patut saya sertai untuk menguji kemampuan dan kebolehan saya. Saya ingin nak tahu apa yang akan terjadi pada saya selepas OIAM nanti, menang atau kalah.”

Pada hari ujibakat, Amylea memberitahu dia ke lokasi membawa harapan dan impiannya. Dia begitu gementar sekali, kalahkan masa dia di AF.

“Saya memang betul-betul nak masuk, harap sangat,” ceritanya. Walaupun ia bermaksud menangguhkan promosi untuk album pertamanya ‘3’ yang telah diriliskan pada 26 Dis lalu. Peminat masih boleh mendapatkan album tersebut di www.amylea.com.my.

Bagi mereka yang berfikiran sebagai finalis yang lebih berpengalaman berbanding enam peserta Top 12 yang lain, Amylea mempunyai kelebihan, itu tidak semestinya. Kata Amylea, Paul Moss dan Syafinaz inginkan sesuatu yang lebih darinya, yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini. Ditambah pula persaingan tahun ini memang hebat.

Berkenaan reaksi negatif penonton terhadap para artis yang memasuki OIAM, kata Amylea dia belum lagi di tahap kejayaan Dayang Nurfaizah atau Sarah Raisuddin, namun gembira mempunyai peminat yang sentiasa menyokongnya. Dia berharap OIAM dapat membantunya mencapai sukses seperti yang dikecapi Dayang dan Sarah.

---------------->>>
SUMKBER DARI