'Macam anjing menyalak'

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


JURI kecewa dengan persembahan pelajar terutama dari segi pemilihan lagu.


BARU minggu kedua ditayangkan kepada penonton, program realiti One In A Million sudah mula mencipta kontroversi apabila salah seorang juri, Syafinaz Selamat melemparkan kritikan yang agak keras kepada seorang peserta iaitu Aweera.

Sebaik saja peserta yang berasal dari Perlis itu selesai menyanyikan lagu She’s Gone, Syafinaz mengkritik cara nyanyiannya itu seperti anjing menyalak.


Selama ini, baik Syafinaz ataupun Paul Moss, mereka sudah berdepan dengan pelbagai ragam dan kerenah peserta sama ada sewaktu sesi uji bakat ataupun pertandingan sebenar.

Mereka juga mungkin sudah lali dengan corak nyanyian yang berbeza-beza tapi malam itu penyanyi yang pernah popular dengan lagi Ingin Bersamamu naik hantu dan meradang sehingga terlanjur mengeluarkan komen yang kurang enak didengar penonton serta boleh melemahkan semangat peserta.

Difahamkan, akibat kritikan spontan itu, Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham terduduk. Walaupun sewaktu sidang media kemudian, Aweera hanya memberikan alasan kurang sihat kerana demam dan tekak berdarah yang menyebabkan persembahannya kurang memuaskan, namun daripada raut wajahnya yang murung itu jelas menunjukkan dia sebenarnya terluka dengan kritikan keras itu.

Mengulas lanjut kata-kata pedasnya itu, Syafinaz berkata, dia tidak berniat untuk menyakitkan hati peserta berkenaan apabila menyamakan nyanyiannya seperti salakan namun sebagai orang yang berpengalaman dalam bidang nyanyian, teknik yang digunakan Aweera adalah salah dan nyanyiannya memang menyakitkan telinga.

“Kalau dalam bahasa Inggeris barking, dalam Bahasa Melayu, maksudnya menyalak. Itulah yang saya dapat rasakan nyanyian Aweera malam ini. Awal-awal nyanyian lagi sudah sumbang. Banyak masalah pitching.

“Saya minta maaf andai kritikan itu agak kasar tapi kalau kita tak cakap dengan cara begitu, mereka ini sudah hendak faham. Terus terang, saya tak puas hati dengan persembahan kebanyakan persembahan peserta malam ini,” tegas Syafinaz dalam nada kecewa.

Tegasnya, kelemahan paling ketara di kalangan peserta kali ini adalah kebanyakan dari mereka masih menghadapi masalah untuk memilih lagu.

“Macam minggu ini, walaupun tema yang diketengahkan adalah memori tercipta di mana setiap dari mereka perlu menyanyikan lagu yang mampu mengembalikan nostalgia dalam diri mereka tetapi biarlah lagu itu bersesuaian dan mampu mencabar kebolehan mereka.

“Ini tidak, mereka lebih senang merujuk ibu dan bapa mereka mengenai lagu apakah yang ingin dinyanyikan berbanding merujuknya kepada pengarah muzik iaitu Aubrey Suwito. Aubrey sendiri meluahkan kepada kami mengenai kedegilan mereka ini,” luah juri tinggi lampai ini.

Begitupun, pendapat Syafinaz itu disangkal Nine, peserta yang sudah dua kali mendapat komen yang serupa iaitu tidak mampu membuat pilihan lagu dengan baik.

“Apabila juri memberikan komen sedemikian, kami sendiri keliru sebenarnya. Kami hanya menyanyikan lagu yang bertepatan dengan tema yang diberi dan kebetulan lagu yang kami pilih itu mempunyai memori tersendiri jadi lagu itulah yang kami nyanyikan,” jelas Nine yang disifatkan Syafinaz sebagai sering berada dalam zon selamat dan tidak berani mencabar kemampuan diri sendiri.

Mengenai ada cadangan daripada penonton yang meminta supaya menghapuskan sistem imuniti, kedua-dua juri nyata tidak bersetuju dengan perkara itu.

“Dalam program ini, biasanya kita hanya boleh memberi komen tetapi keputusan dibuat penonton. Jadi dengan adanya imuniti ini, secara tidak langsung kita menunjukkan kepada mereka siapakah peserta yang terbaik berdasarkan penilaian juri sendiri,” jelasnya sambil memberitahu hanya seorang peserta yang menunjukkan persembahan terbaik saja yang layak dianugerahkan dengan imuniti.

Ayu peserta pertama tersingkir

PAUL Moss menyifatkan penyanyi dari Muar, Johor ini sebagai seorang yang mempunyai potensi besar dalam bidang nyanyian. Namun, apabila jari menjadi juri, malam Jumaat lalu menyaksikan Nurhidayu Md Tekhary atau Ayu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada program realiti itu apabila undian SMS dan talian tetap penonton tidak memihak padanya.

Nampaknya lagu Matahari nyanyiannya masih belum dapat menambat hati peminat walaupun dia berusaha sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik.

“Saya akur dengan keputusan ini. Walau apapun, perjuangan akan diteruskan dan saya percaya rezeki itu ada di mana-mana,”ujar Ayu yang kelihatan cukup tenang.

Selain Ayu, berada di tempat tiga ke bawah seperti yang diumumkan pengacara Awal Ashaari dan Marion Caunter adalah Amylea dan Pija.

Pada acara yang dipancarkan secara langsung menerusi saluran 8TV itu, penyingkiran Ayu sekali gus memberi peluang kepada 11 lagi peserta yang tinggal untuk misi bergelar juara OIAM 3. Mereka adalah Pija, Tomok, Han, Rizu, Nine, Amylea, Simon, Esther, Aweera, Anith dan Fify.

Jika minggu lalu Esther diberikan imuniti sebagai habuan persembahannya yang berjaya memikat hati juri, namun kali ini, keistimewaan itu menjadi milik Amylea, yang memukau penonton dengan persembahan bersahaja dan memetik gitar ketika menyampaikan lagu ciptaannya sendiri berjudul Akan Tiba.

SUMBER

0 comments: