Selepas 3 pertaruhan Amylea


Selepas 3 pertaruhan Amylea
Oleh: SHAZRYN MOHD. FAIZAL


AKHIRNYA, penantian gadis hitam manis ini untuk memiliki albumnya sendiri bakal terlaksana apabila albumnya yang berjudul Selepas 3 bakal berada di pasaran menjelang akhir tahun ini.
Malah, dia begitu teruja apabila diajak bercerita tentang album sulungnya itu. Bukan itu sahaja, malah, dia juga memberi peluang kepada penulis untuk mendengar lagu-lagu yang dimuatkan dalam albumnya kelak.

“Sememangnya, saya sudah tidak sabar lagi untuk menunggu reaksi daripada peminat apabila Selepas 3 berada di pasaran kelak. Saya amat berpuas hati dengan hasilnya dan saya percaya, album sulung ini akan memuaskan hati peminat yang terus menyokong saya sejak Akademi Fantasia 3 (AF3) hingga kini,” jelas Amylea sewaktu ditemui baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Amylea turut memberitahu dia kini dalam proses akhir untuk menyiapkan album sulungnya itu.

“Saya rasa bersyukur kerana pihak pengurusan Maestro Records memberi peluang dan kebebasan kepada saya untuk mencorakkan sendiri serta menentukan hala tuju perjalanan album saya.

“Malah, saya rasa sangat bertuah kerana mereka menerima idea saya untuk album sulung ini. Itu membuatkan saya rasa teruja dengan kelahiran album ini,” kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini lagi.

Apabila ditanya mengapa, Selepas 3 yang dipilih sebagai tajuk albumnya, Amylea menjelaskan angka 3 itu memberikan maksud yang mendalam buat dirinya.

“Saya memilih Selepas 3 kerana ia melambangkan usia saya dalam bidang seni dan juga selepas tiga tahun, barulah impian saya direalisasikan.

“Kalau orang bertanyakan kepada saya, tidakkah terlalu lambat untuk saya mengeluarkan album berbanding kawan-kawan AF3 yang lain seperti Mawi dan Felix, saya memandang perkara itu sebagai satu yang positif.

“Lagipun, saya faham dengan situasi Maestro yang perlu menjaga ramai artis dan saya perlulah menunggu giliran untuk merakamkan album. Saya percaya jika kita terus bersabar, kita akan nampak hasilnya dan dengan kelahiran album ini, itulah hasilnya,” jelasnya yang cukup popular dengan lagu keramatnya, Ku Berserah.

Malah, single terbarunya berjudul Andai, ciptaan komposer dan penyanyi berbakat besar, Hazami, kini sudah pun berkumandang di corong-corong radio dan mula mendapat perhatian.
Amylea turut menjelaskan albumnya itu nanti turut mendapat sentuhan komposer-komposer seperti Afdlin Shauki, Azlan Abu Hassan, Pacai dan seorang komposer dari Australia yang masih lagi dirahsiakan namanya.

“Menariknya, untuk lagu ciptaan Azlan Abu Hassan iaitu Ku Temui, saya berpeluang berkolaborasi dengan finalis AF2, Kaer yang menyumbang bakatnya dengan menulis lirik lagu berkenaan.

“Semuanya bermula apabila kami bertemu di konsert akhir AF5 dan kami sama-sama duduk berbincang untuk menghasilkan liriknya. Sebaik sahaja mendengar lagu dari Azlan, dia pun mendapat idea untuk menghasilkan liriknya. Saya akui, saya amat menyukai lagu Ku Temui itu dan percaya peminat pun begitu juga,” jelas pemenang tempat ketiga AF3 ini lagi.
Untuk menjadi anak seni yang berjaya bukanlah mudah seperti yang disangka. Ia memerlukan pengorbanan serta semangat yang kuat menghadapi dunia seni yang penuh pancaroba ini.
“Saya mahu menjadi seorang penyanyi yang diterima ramai. Sebab itu, saya berusaha memantapkan diri dengan menyertai kelas vokal bersama Cikgu Syafi dan juga kelas tarian bersama Cikgu Linda Jasmine,” katanya.

Amylea AF3 protege Dr Luv (Mstar 4-10-07)


Amylea AF3 protege Dr Luv

04-10-2007 11:11:43 AM

Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

SEJAK bergelar artis selama tiga tahun ini hasil merangkul tempat ketiga dalam rancangan realiti Akademi Fantasia 3, Amylea Azizan kini mempunyai misi baru yang berkait dengan bidang motivasi.

"Sekarang saya banyak menolong Dr. Luv mengelolakan kelab motivasi yang baru ditubuhkan dan akan dilancarkan selepas Raya nanti.

Amylea kendali kelab motivasi Dr. Luv MC Club (Foto The Star oleh Kamarul Ariffin) "Sebelum kelab ini ditubuhkan, Amylea selalu mengikuti program motivasi. Program ini bukan sekadar diisi dengan program ceramah, malah ada aktiviti lain iaitu tarian dan futsal.

"Semasa mengendalikan kelab tu, Amylea berkongsi pengalaman dan berbual dengan remaja. Pada setiap Isnin, saya terlibat secara serius dengan futsal tournament kecil di Ampang Sport's Planet kerana ia merupakan contoh sukan yang baik untuk remaja," cerita Amylea yang rancak mengendalikan Dr. Luv MC Club.

Kelab yang terletak di Maju Junction itu dimiliki oleh Dr. Azahari yang merupakan guru motivasi Amylea ketika menyertai rancangan 'AF3' dahulu.

Menurut anak kelahiran Kedah ini, beliau banyak mempraktikkan ilmu yang dipelajari ketika mendiami banglo bersama guru-guru AF3 semasa memberikan motivasi kepada kanak-kanak dan remaja.

"Saya menjadikan Dr. Luv sebagai mentor dan amat menghormatinya sejak dahulu lagi. Selain itu, saya jadikan idea dan ilmu yang diberikan oleh Dr. Luv serta melalui kelas Cikgu Marlia untuk saya turunkan pada peserta kelab.

"Selain menjadikan guru-guru tersebut sebagai inspirasi, saya meminta tolong daripada tiga orang rakan sebagai rujukan bagi mengelakkan saya daripada memberikan maklumat yang melulu.

"Saya juga ada ajar mereka membuat koreografi sambil merehatkan diri dan mereka cepat belajar.

"Banyak faedah lagi yang akan dapat seperti kad 'privileges' untuk mendapat diskaun apabila mengikuti 'tournament' paintball dan futsal," kata Amylea yang menjadikan aktiviti tersebut sebagai pendapatan sampingan selain hobi di waktu lapang.

Amylea muncul dengan album 'Selepas 3' pada hujung tahun ini

Album pertama hujung tahun ini

Album pertama Amylea berjudul 'Selepas 3' dijangka siap untuk diedarkan sebelum hujung November depan.

Kenapa 'Selepas 3'?
"Selepas bergelar pemenang ketiga bagi rancangan 'AF3' dan bergelar penyanyi selama tiga tahun, maka album ini diberi tajuk sedemikian," jelas Amylea.

"Baru 80 peratus yang siap dirakam di mana tiga buah lagu lagi akan menyambung proses rakaman selepas raya nanti.

"Lima buah lagu sudah direkod dan semua lagu berkonsepkan R&B dan balada.

"Semuanya berjalan dengan lancar tetapi banyak kena tangguh kerana sukar untuk serasikan masa komposer dan Amylea.

Walau terpaksa menunggu dalam masa yang lama untuk melahirkan sebuah album, Amylea akui berpuas hati dengan album yang bakal siap tidak lama lagi.

"Amylea berpuas hati kerana mendapat lagu-lagu yang best dan saya melibatkan diri sepenuhnya dalam pembikinan album ini dari segi penciptaan kulit album dan sebagainya.

"Ia memang amat bermakna buat saya dan terima kasih kepada Astro kerana percaya dengan pilihan saya,"ujar gadis kecil molek yang meminati Alicia Keys, Afdlin Shauki dan Ronaldinio.