Sinar baru untuk artis muda



Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

Amylea lega album siap 6.3.2008

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


Gadis kelahiran Langkawi, Kedah itu mengakui kesabarannya dalam
menghasilkan buah tangan pertama itu semakin mendapat pulangan
yang memberangsangkan.



“Saya bertuah kerana akhirnya dapat menyiapkan album pertama ini.
Walaupun agak lambat selepas membabitkan diri sepenuhnya dalam
bidang seni suara. Biarpun masa diperuntukkan agak panjang, saya
tetap puas kerana dapat menghasilkannya mengikut kemahuan
sendiri.



“Saya diberi kepercayaan penuh pihak pengurusan rakaman
(Maestro) menerbitkan lagu daripada konsep, kulit album dan
pemilihan lagu. Saya langsung tidak berasakan tempoh tiga tahun
itu lama memandangkan keutamaan saya adalah kepada kualiti lagu
yang diterbitkan.



“Banyak hikmahnya di sebalik semua itu, sama ada dari segi lagu
mahupun vokal saya. Berapa lama seseorang penyanyi itu mengambil
masa untuk melahirkan album bukanlah satu masalah. Saya
mempelajari banyak perkara terutama cara menyanyi dengan betul.


“Pelbagai pengalaman baru yang saya kutip dalam jangka waktu itu.
Ini baru permulaan bagi karier nyanyian saya. Semoga peminat dan
penggiat industri hiburan dapat menerima kehadiran saya dalam
industri ini,” katanya.



Dia yang semakin popular dengan Aku Sindarela iaitu lagu tema
drama bersiri, Sindarela yang disiarkan menerusi slot Lestary
setiap Selasa jam 9 malam di TV3, menaruh keyakinan kepada album
yang akan dilancarkan tidak lama lagi.



“Jika tiada aral, mengikut perancangan syarikat rakaman album
berkenaan akan dilancarkan pada 4 April depan. Album berkonsep
pop, rock dan balada itu menampilkan lapan lagu ciptaan komposer
ternama tempatan seperti, Hazami Facai, Afdlin Shauki, Azlan Abu
Hassan dan Joe Flizzow.



“Lagu Aku Sindarela pula mengetengahkan komposer, Raja Farouk
turut diterbitkan saya sendiri,” kata anak gadis yang dikenali
dengan imej berambut kerinting itu.



Mengenai aktiviti terbarunya, Amylea berkata program Geopark
Mempesona Bersama Selebriti di Pulau Langkawi yang dijadualkan
berlangsung esok hingga 9 Mac ini serentak dengan Pilihan Raya
2008 ditangguhkan kepada 11 hingga 13 April ini



Program anjuran AFC Event & Management (kelab peminat, Amylea FC
) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), dan
Global Air Malaysia sebagai penerbangan rasmi adalah aktiviti
memperkenalkan destinasi menarik di pulau legenda itu di samping
beramah mesra bersama peminat setianya.



Bahang pilihan raya turut dirasai Amylea apabila turut ‘turun
padang’ membantu keluarga yang juga aktif dalam politik dan ahli
Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir
dalam kempen kali ini.



Selain penyokong kuat Barisan Nasional, dia juga membantu Puteri
Umno berkempen.



Turut serta dalam aktiviti berkempen itu, pelakon dan pelawak
veteran, Datuk Aziz Sattar, Datuk Jalaluddin Hasan, Kuswadinata
dan penyanyi dangdut, Sheeda.