Amylea ajak rakan artis berkampung di Langkawi - BHarian 29.01.08



Oleh Rozdan Mazalan

Lada, Langkawi Geopark serta Global Air setuju taja Geopark Mempesona Bersama Selebriti NIATNYA untuk menabur budi di tanah kelahiran sendiri bakal tercapai apabila Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Langkawi Geopark serta Global Air bersetuju untuk menaja program Geopark Mempesona Bersama Selebriti.


Idea ini timbul sendiri daripada anak kelahiran Kedah yang di besarkan di Pulau Lagenda, Amylea Azizan yang sejak dulu lagi sudah memasang impian untuk mengajak rakan artis bercuti sambil menikmati panorama indah di Pulau Langkawi menerusi program yang dirancang.


“Semasa saya mula memasuki program realiti suatu masa dulu lagi saya tidak putus-putus menceritakan keistimewaan yang terdapat di Pulau Langkawi kepada rakan-rakan dengan harapan suatu masa nanti impian saya untuk membawa mereka melawat negeri kelahiran saya tercapai.


“Alhamdulillah apabila perbincangan bersama pihak penaja mendapat persetujuan saya bersyukur sangat kerana impian saya bakal terlaksana. Ini juga adalah projek terbesar bersama Fan Club saya.


“Aktiviti terakhir saya bersama Fan Club adalah pada Ogos tahun lalu dan berharap program ini juga bukan hanya untuk Fan Club saya malah semua artis yang mempunyai Fan Club turut boleh sertai.


“Sehingga kini saya sudah menerima lebih kurang 12 artis yang bersetuju untuk menyertai program ini tidak termasuk Fan Cub mereka. Kita jangka lebih ramai lagi artis yang akan turut serta dalam program ini.


Antara mereka yang sudah memberikan jawapan seperti Fazli Zainal, Datuk Aziz Sattar, Mila, Noni, Zainal Alam Kadir dan Syawal,” katanya pada majlis sidang media yang diadakan baru-baru ini.


Turut hadir Pengurus Besar Lada, Datuk Kamarulzaman Abdul Ghani dan Presiden Amylea.fc, Mohd Rafe Ghazali. Pelbagai aktiviti dirancang bersama ahli kelab peminat bagi tujuan mengeratkan hubungan sesama yang tidak pernah jemu menyokong artis kesayangan mereka.


“Program yang dirancang bersama ahli kelab selain melawat tempat menarik di Langkawi, kita turut mengadakan pelbagai aktiviti santai yang mampu mengeratkan hubungan bersama ahli kelab peminat. Antaranya aktiviti yang akan bermula 7 hingga 9 Mac ini ialah program splash with celebrities seperti pukul bantal, panjat tiang licin, bola sepak pantai, rakit pelampung, tarik tali, istana pasir, tarian limbo rock dan banyak lagi.



“Peserta juga akan dibawa mengelilingi kesemua pulau di Pulau Langkawi. Sasaran kami adalah untuk memperkenalkan Langkawi Geopark bukan hanya tertumpu kepada pengkaji geologi malahan lebih luas dengan membabitkan artis.” katanya.


Menurut Amylea, pihaknya menetapkan seramai 150 orang termasuk artis akan mengikuti program bersamanya.


Mereka yang berminat untuk menyertai program ini hanya dikenakan bayaran sebanyak RM450 bagi semua ahli kelab peminat dan artis dikecualikan daripada bayaran.


Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Aemin 016-3762330, Iesya 012-3223805 atau layari laman web www.amylea.com.my.

Amylea Promo Geopark - My Metro 28.01.08





Oleh Wan Asrudi Wan Hasanwanasr@hmetro.com.my
Rap

PELBAGAI program dan aktiviti menjadi pilihan artis tempatan mendekatkan diri dengan peminat sekali gus melonjakkan nama mereka dalam industri hiburan.

Tidak terkecuali pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia (AF3), Amylea Azizan, 21, yang turut memeriahkan program Geopark Mempesona Bersama Selebriti di Pulau Langkawi pada 7 hingga 9 Mac ini.
Program anjuran ProcamActiv8 dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), kelab peminat, Amylea FC dan Global Air Malaysia sebagai penerbangan rasmi dipenuhi pelbagai aktiviti riadah dan hiburan yang pasti meninggalkan memori indah bagi peserta.
Amylea, gadis kelahiran Langkawi, Kedah yang dikenali dengan imej berambut kerinting berkata program berkenaan bertujuan menghargai sokongan peminat di samping aktiviti masyarakat program berkenaan dapat mewujudkan kesedaran keindahan alam yang terdapat di pulau bersejarah itu.
“Program ini juga menghargai sokongan peminat yang tidak berbelah bagi. Selain itu, ia sebagai bukti kampung halaman tetap menjadi destinasi pilihan untuk membawa sekumpulan peminat artis tanah air mengunjungi beberapa destinasi menarik di sini.
“Sejajar dengan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), program ini sebagai landasan terbaik kepada orang ramai mengenali lebih dekat Langkawi Geopark.
“Ia pertama kali diiktiraf di persada antarabangsa oleh Unesco sebagai taman geologi dunia ke-52 dan pertama seumpamanya di Asia Tenggara,” katanya.Katanya, pelbagai aktiviti menarik membabitkan peminat, masyarakat dan pihak media turut dirancang penganjur di samping melawat beberapa lokasi menarik di pulau berkenaan.
“Peserta akan dibawa mengelilingi pulau di sekitar Geopark antaranya The Machinchang Cambrian Geoforest Park berhampiran Langkawi Cable Car, The Kilim Karst Geoforest Park di Sungai Kilim dan melawat Pulau Tuba.“Selain destinasi menarik seperti The Dayang Bunting Marble Geoforest Park yang terletak di Pulau Dayang Bunting juga mempunyai sejarah dan tarikan tersendiri,” katanya.

Acara lain yang turut diadakan menerusi program itu membina istana pasir bertema Langkawi Geopark, tradisional sampan, tarian limbo rock, pukul bantal, panjat tiang licin, bola sepak pantai, rakit pelampung manakala bagi wanita tarik tali, rakit pelampung, bola jaring dan memancing daun cempedak.

Mereka yang berminat menyertai program berkenaan sila hubungi Aemin 016-3762330, Iesya O12-3223805 atau layari laman web www.amylea.com.my.
Emel Artikel Cetak Artikel

Amylea balas budi warga Langkawi!




Amylea balas budi warga Langkawi!
26-01-2008 11:32:23 AM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

INILAH masanya penyanyi Amylea Azizan yang dibesarkan di Langkawi untuk membalas dan membuktikan kepada warga Pulau Lagenda itu dengan membawa sekumpulan kecil peminat-peminat rangkaian kelab peminat artis tanah air, rakan-rakan artis dan media bersantai sambil beriadah di sana dalam bulan Mac ini.

Program yang dinamakan Geopark Mempesona With Celebrities ini dianjurkan oleh kelab peminat penyanyi kecil molek ini, AFC Event and Management dibantu oleh ProcamActive8.

Kesinambungan dari Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Kedah 2008, mereka juga berhasrat untuk mengeratkan silaturahim sesama rakan-rakan artis dan ahli kelab yang lain disamping mendekatkan lagi antara peminat dan artis berkenaan.

Selain Amylea, antara 20 orang artis yang turut menyertai program selama tiga hari dua malam ini adalah penyanyi Fazli Zainal, Mila AF5, Noni AF5 dan pelakon Datuk Aziz Sattar.

Menurut Amylea, setakat ini beliau hanya menerima persetujuan daripada beberapa orang rakan artis yang ingin turut serta dalam program ini.

"Penyertaan tidak terhad kepada mana-mana artis dan kelab peminat. Kelab peminat yang artisnya tidak turut serta boleh juga mengikuti.

"Yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM450 seorang di mana mereka akan ditempat di sebuah hotel lengkap dengan makan dan minum termasuk goody bag.

"Penyertaan hanya dibuka kepada 80 orang yang mendaftar. Jadi, siapa
cepat, dia dapat," kata Amylea.

Bercerita tentang aktiviti yang bakal dijalankan nanti, Amylea menyatakan banyak program menarik yang telah diatur melibatkan artis dan peminat yang dinamakan Acara Splash With Celebrities seperti pukul bantal, panjat tiang licin, bola sepak pantai dan rakit pelampung bagi kategori lelaki.

Manakala wanita pula berpeluang menyertai acara tarik tali, rakit pelampung, bola jaring dan memancing daun cempedak.

Terdapat juga tiga kategori terbuka iaitu istana pasir bertemakan Langkawi Geopark, sampan tradisional (tarik tali sampan) dan tarian limbo rock.

"Banyak acara sebenarnya. Yang paling utama adalah program Geopark Tour With Celebrities di mana semua artis serta ahli kelab peminat yang terlibat akan dibawa melawat tempat-tempat yang berkaitan dengan Langkawi Geopark.

"Artis-artis yang terlibat akan dijadikan IKON dalam media elektronik kepada tempat-tempat yang melibatkan Langkawi Geopark.

"Cadangan tempat untuk dilawati adalah The Manchinchang Cambrian Geoforest Park (Kereta Kabel Langkawi), The Kilim Karst Geoforest Park (Sungai Kilim), The Dayang Bunting Marble Geoforest Park (Pulau Dayang Bunting) dan Pulau Tuba.

"Pada hari pertama, majlis makan malam perasmian akan dihadiri oleh Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dato' Kamarulzaman Abd. Ghani, Pengarah Urusan Global Air, dan wakil penaja," ujar peminat Alicia Keys dan Afdlin Shauki ini.

Bukan itu sahaja, pada malam kedua mereka akan menyertai makan malam Geopark Celebrities Back To School di mana artis dan peminat dikehendaki mengikut tema memakai pakaian seragam sekolah.

"Antara persembahan yang dijangka menarik perhatian semua adalah tiru gaya artis oleh peminat, sketsa bertemakan Langkawi Geopark dan berbalas pantun secara spontan," tambah Amylea yang bakal muncul menyanyikan lagu tema Akulah Cinderella dalam drama rantaian slot Lestari Sindarela terbitan Radius One bermula 5 Februari ini.

Apabila ditanyakan motif beliau ingin membuat program sedemikian, lantas beliau menyatakan keinginan itu sudah terbit sejak tiga tahun lalu cuma baru sekarang beliau berpeluang mengabulkan hasratnya dengan sokongan semua pihak.

Program ini ditaja oleh LADA, Langkawi Geopark dan penerbangan rasmi oleh Global Air.

"Langkawi Geopark ni dah lama wujud sejak sebelum zaman dinasour lagi. Orang luar pun tahu untuk menghargai Langkawi. Ada yang datang dari negara Arab, Australia Jepun dan banyak lagi tapi ramai lagi rakyat Malaysia yang belum sampai ke sini.

"Saya rasa sangat sedih, jadi saya berharap program ini dapat membawa peminat, artis dan rakan media untuk sama-sama datang sambil mempromosi Langkawi Geopark," ulas pemenang tempat ketiga program realiti Akademi Fantasia 3 ini.

Hakikatnya, pusat pembentukan Malaysia dan Asia Tenggara 550 juta tahun dahulu bermula di Langkawi Geopark.

Langkawi Geopark telah mendapat pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) sebagai geopark dunia ke 52 dan pertama seumpamanya di Asia Tenggara mengikut senarai Global Geopark Network UNESCO pada 1 Jun 2007.

Program Geopark Mempesona With Celebrities di Langkawi ini bermula 7 Mac nanti selama tiga hari.

Kepada yang berminat untuk menyertai program ini, boleh hubungi Iesya Shaina 012-3223805, email : iesya@amylea.com.my atau Lieda 016-3068265, email admin@amylea.com.my atau lawat laman web www.amylea.com.my dan boleh muat turun borang dan buku program .

Sumber : Mstar Online 26.01.2008

Mingguan Malaysia - 20.01.08 - Geopark Mempesona Bersama Selebriti



HIBURAN

Geopark mempesona bersama selebriti

KEHADIRAN selebriti pada Mac depan di Langkawi Geopark merupakan usaha mempromosi destinasi tersebut sebagai produk pelancongan unggul rantau Asia.

Malah, majlis yang ditaja oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Global Air tersebut merupakan majlis yang diusahakan oleh kumpulan peminat penyanyi kecil molek, Amylea AF3.
Amylea Fan Club selaku penyelaras acara menjadikan medium majlis ini untuk merapatkan hubungan semua pihak antara selebriti, media dan peminat.

Justeru itu, langkah menjadi penaja utama program ‘Geopark Mempesona With Celebrities’ dilihat sebagai kerjasama bijak antara Lada, media cetak dan elektronik serta selebriti untuk mempromosi Langkawi Geopark.

Dengan kerjasama antara Procam Actv8 dan Amylea FC selaku penyelaras acara dan syarikat Global Air Malaysia selaku penerbangan rasmi, program yang akan berlangsung selama tiga hari di Langkawi bermula 7 Mac nanti akan dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti menarik yang turut merapatkan semua yang terlibat dengan alam semula jadi yang memukau dunia di Langkawi Geopark.

Langkawi Geopark pertama yang diiktiraf di persada antarabangsa oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai taman geologi dunia ke-52 dan pertama seumpamanya di Asia Tenggara mengikut senarai ‘Global Geopark Network’ UNESCO pada 1 Jun 2007.

Ia dinilai berdasarkan keunggulan warisan geologinya yang membina landskap yang menakjubkan.

Di Langkawi, Geopark inilah pusat bermulanya pembentukan Malaysia dan Asia Tenggara 550 juta tahun dahulu.

Orang ramai yang berminat berhibur sambil menghayati keindahan alam semula jadi boleh menghubungi Amylea FC di talian 03-79544385 atau melayari laman web - www.amylea.com.my