Artis solat hajat untuk adik Sharlinie



Artis solat hajat untuk adik Sharlinie
23-02-2008 01:15:40 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ dan NURUL AIN HUSSAIN


SETELAH lebih sebulan kehilangan adik Sharlinie Mohd. Nashar, 5, usaha untuk mencarinya masih diteruskan.


Bukan sahaja pihak polis yang melakukan siasatan tentang kes yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia ini malah semua pihak termasuk rakan media turut menghulurkan bantuan agar meringankan beban pihak berkuasa dalam menyelesaikan masalah tersebut selepas kita dikejutkan dengan kematian mangsa culik, Nurin Jazlin Jazimin, 8, pada tahun lalu.


Kanak-kanak yang dikenali sebagai Nini itu dilaporkan hilang kira-kira pukul 11.30 pagi, 9 Januari lalu ketika bermain bersama kakaknya Sharliena, 8, di taman permainan yang jaraknya hanya 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya.


Stesen radio Suria FM semalam telah menganjurkan majlis bacaan Yassin dan solat hajat untuk adik Sharlinie di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail.


Kehadiran seramai 80 orang yang rata-ratanya terdiri daripada rakan artis menunjukkan mereka semua turut 'turun padang' untuk sama-sama memohon hajat kepada Tuhan agar adik Sharlinie segera dipulangkan ke pangkuan keluarganya.


Antara rakan artis yang hadir adalah pelakon Datin Nina Juren, Fazura, Betty Banafe, Erra Fazira, Diana Danielle, Sheila Rusli dan suami, Esma Daniel, pengacara Azwan Ali, penyanyi Hattan, Jamal Abdillah, Farah AF2, Mila AF5, dan Amylea AF3.


Turut hadir dalam majlis yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia Ustaz Mohamad Hadi Hj Ahmad Talhah itu ialah bapa adik Sharlinie, Mohd. Nashar, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin dan penyampai-penyampai Suria FM.


"Idea untuk membuat majlis solat hajat ini tercetus selepas beberapa rakan artis yang bercakap tentang Sharlinie.


"Kita bukan sahaja membuat majlis solat hajat tetapi turut melakukan kempen melalui stesen radio kami.


"Selepas kehilangan Sharlinie, kami masih membuat pengumuman tentang kehilangannya sekali dalam setiap jam di radio.


"Setakat ini belum ada perancangan lain selain majlis malam ini dan kempen sahaja sebagai usaha kami untuk membantu mencari Sharlinie.


"Kalau ada kelapangan kami akan memikirkan langkah lain untuk dilakukan nanti.


"Kami tak mahu usaha untuk mencari Sharlinie menjadi muram dan kalau boleh biarlah usaha tersebut diteruskan.


"Bagi saya, kita perlukan kerjasama daripada orang ramai juga untuk memudahkan pencarian Sharlinie.


"Kita tak boleh terlalu bergantung dengan pihak polis sahaja kerana mereka mempunyai had-had tertentu yang mampu dilakukan.


"Kita juga boleh menolong pihak polis dengan memberikan maklumat yang sahih tentang penculikan Sharlinie," beritahu Engku Emran.


Edaran poster-poster gambar Sharlinie dan lakaran wajah suspek turut membantu usaha pihak berkuasa menemui Sharlinie termasuk menawarkan ganjaran wang tunai kepada sesiapa yang berjaya menemui Sharlinie.


Kata Engku Emran, beliau berharap program ini memberi semangat kepada keluarga Sharlinie untuk terus berusaha mencari adik Sharlinie.


"Kita dah berikhtiar dengan melakukan majlis solat hajat maka tawakal kepada yang Maha Kuasa adalah jalan terbaik selain kerjasama semua pihak untuk meneruskan pencarian Sharlinie.


"Saya lihat respon daripada para artis pada malam ini menunjukkan keprihatinan mereka terhadap program sebegini. Tak susah nak jemput mereka.


"Mereka prihatin kerana rata-rata daripada mereka ada yang mempunyai anak dan cucu sekaligus berkongsi kesedihan dengan keluarga Sharlinie.


"Jadi terpulang kepada artis lain untuk melakukan majlis seperti ini lagi selepas ini," kata Engku Emran.


Suami kepada Erra Fazira ini turut menasihatkan kepada ibu bapa diluar sana agar belajar daripada pengalaman keluarga Nashar.


"Dukacita dikatakan masih ada ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka. Perkara sebegitu tak sepatutnya berlaku.


"Apa yang telah berlaku diharap dapat membuka mata kita.
"Mereka perlu memerhati gerak-geri dan waspada dengan anak-anak mereka. Mereka juga harus memantau orang-orang di luar sana.


"Jadi apabila berlaku perkara yang musykil, kita boleh terus bertindak secara rasional," akhiri Engku Emran.


Dalam pada itu, Mohd Nashar turut mengatakan yang beliau masih tidak putus asa untuk mencari Sharlinie dan percaya Sharlinie boleh dijumpai tidak lama lagi dengan selamat.
Rata-rata artis yang turut sama hadir dalam majlis solat hajat tersebut melahirkan kekesalan dan rasa sedih di atas kehilangan adik Sharlinie.


Antara yang sempat ditemui adalah juara Akademi Fantasia (AF) musim ke-5 Mila, menurutnya, perkara sebegini memang meninggalkan kesan yang mendalam bukan hanya kepada keluarga Encik Nashar malah mengakibatkan ibu bapa mula sedar dan merasa takut untuk membiarkan anak mereka bermain seorang diri.


"Tolonglah pulangkan adik Sharlinie, kesian pada keluarga dia," katanya dalam nada sedih.
"Ibu bapa akan lebih rasa waspada dan memantau anak mereka serta tidak membiarkan mereka bermain seorang diri.


"Perkara begini bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini terhadap kanak-kanak.


"Kasihanilah mereka, apa yang mereka tahu dengan usia yang masih mentah, tapi penculik yang tidak berhati perut ini bertindak mengikut hawa nafsu".


Sementara itu, seorang lagi bintang yang lahir daripada program realiti televisyen popular, AF musim ke-2 Farah turut memuji usaha Suria FM mengadakan majlis solat hajat sebagai usaha untuk mencari adik Sharlinie.


"Usaha sebegini memang bagus dan perlu diteruskan di masa-masa akan datang.
"Ia secara tidak langsung memberikan ruang kepada golongan artis untuk terlibat sama sebagai tanda sokongan.


"Walaupun saya sibuk, tapi jika ada jika ada kelapangan Insya-Allah saya akan hadir.
"Kita semua pasti ada adik dan bagi mereka yang ada anak sudah pasti dapat merasakan keperitan yang dilalui oleh Encik Nashar sekeluarga.


"Jadi dengan menghulurkan bantuan sekadar yang termampu apa salahnya.
"Dan kita semua mengharapkan agar Sharlinie dijumpai dengan selamat secepat mungkin," ujar Farah AF2.