Amylea Dedah Rahsia Angka Tiga - BH30Nov2007

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Impian miliki album solo menjadi nyata, harap lebih berjaya dalam bidang seni tahun depan.

ANGKA tiga barangkali tidak mempunyai sebarang maksud kepada orang lain, tetapi bagi gadis yang berasal dari Kedah ini, angka tiga tersirat makna kepada kerjaya seninya.

Ia bermula kerana dia menyertai Akademi Fantasia 3 (AF3), dan kemudian dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga. Kini, selepas tiga tahun impian untuk memiliki album solo direalisasikan.

Justeru, gadis dengan imej berambut kerinting ini menganggap angka tiga memberi makna yang cukup mendalam kepada kariernya.

Ramai yang sudah tidak sabar menantikan kehadiran albumnya. Setahun demi setahun, penantian itu berlalu begitu saja. Jika peminat tidak sabar menantikan album Amylea, tuan empunya badan lebih-lebih lagi teruja untuk melihat impian yang dipendam selama ini menjadi kenyataan.

Ditanya padanya, tidakkah dia merasakan terlalu lama mengambil masa untuk tampil dengan album solo, pandangan gadis berusia 21 tahun ini pula ternyata berbeza. Cepat atau lambat tidak menjadi persoalan kerana yang penting hasrat untuk melihat albumnya dilahirkan terlaksana biar lewat sekali pun.

Baginya dia masih belum terlambat sedangkan seniornya yang terlebih dulu menyertai AF pun masih ada yang belum memiliki album. Jadi kenapa perlu dia terburu-buru.

"Bagi saya belum terlambat biarpun sudah tiga tahun AF3 berlalu. Banyak hikmahnya di sebalik semua itu, sama ada dari segi lagu mahu pun kepada vokal saya.

"Berapa lama seseorang penyanyi itu mengambil masa untuk melahirkan album bukanlah satu masalah. Selama dua tahun setengah, saya mempelajari banyak perkara terutamanya cara menyanyi dengan betul. Banyak juga pengalaman baru yang saya kutip dalam jangka waktu itu," katanya mengenai Selepas 3 yang kini tinggal 30 peratus lagi hampir ke titik penamat.

Membariskan komposer tersohor untuk buah tangan sulungnya, kata pemilik nama Amyelia Azizan ini, Maestro memberi kelonggaran kepadanya bukan saja dari sudut pemilihan komposer tetapi lagu dan kulit album. Dia turut diberi peluang mencorakkan Selepas 3.

"Saya meletakkan 110 peratus kesungguhan untuk album ini. Saya juga berasa bangga kerana Maestro percaya keputusan yang saya berikan. Daripada rakaman dan fotografi, mereka percaya kepada saya serta memberikan kebebasan kepada saya," katanya yang sudah pun mempertaruhkan single Andai ciptaan penyanyi Hazami.

Selain Hazami, Selepas 3 juga membariskan Pacai, Afdlin Shauki, Azlan Abu Hassan dan tidak ketinggalan Joe Flizow. Album itu nanti bakal memuatkan lapan buah lagu yang akan menyelitkan sebuah lagu berbahasa Inggeris yang turut dirakamkan dalam bahasa Melayu.

Selain ingin impian untuk melihat kehadiran albumnya, gadis cekal ini juga bercita-cita untuk menghasilkan sebuah klip video. Gadis yang pernah menimba pengalaman menyanyi di kelab malam ini menganggap album sulung yang bakal diluncurkan tidak lama lagi sebagai bayinya.

Katanya lagi, 2007 banyak membantunya. Justeru, dia amat berharap tahun 2008 yang menjelang tidak lama lagi pula akan memberi lebih rahmat terhadap kerjayanya sebagai seorang anak seni.

PROFIL: Amylea Azizan
Tarikh Lahir: 26 November 1986
Usia: 21 Tahun
Tinggi: 149 sentimeter
Asal: Langkawi, Kedah