Isnin Mac 30, 2009 - Mstar Online





Amylea menyanyi lagunya, Satu Dalam Sejuta pada OIAM minggu lepas

Dalam pada itu, Amylea mendapat pujian daripada Francissa and Syafinaz kecuali Moss yang berasa persembahannya barangkali membosankan malam itu.

Kedua-dua juri perempuan itu berasa Amylea mempunyai vokal yang unik dan Syafinaz berkata, Amylea semakin cantik dari sehari ke sehari.

Sementara itu, Nine, 27, gagal mengulangi persembahan cemerlang pada minggu sebelumnya sehingga Syafinaz menyifatkan suaranya seksi pada minggu tersebut.

Kali ini, Syafinaz berpendapat, nyanyian Nine itu hilang intonasi dan `terlalu mengganggu'.

Turut mengulas persembahan Nine, Moss memberitahu: "Voice disappears.... key song, intensity... something vocally missing".

Secara keseluruhannya, masing-masing telah cuba menjadikan lagu dendangan mereka dinyanyikan mengikut stail tersendiri. Mereka juga telah keluar dari kepompong yang selesa untuk mencetuskan kelainan dalam persembahan mereka.

Hanya Esther dan Tomok, menurut para juri, benar-benar mewarnai malam tersebut dengan persembahan vokal menarik, artistik dan kreatif.

Mengenai Esther yang berharap setanding penyanyi antarabangsa Mariah Carey suatu hari nanti, Syafinaz berkata, Esther memiliki kelebihan dan kebolehan mencantikkan lagu.

Mengenai Tomok, Moss berkata, "Taking risk is a strategy. You can mix and match brilliantly. Really. You can turn it 180 degree yet retain the melody".

Antara mereka berdua, Tomok diberikan imuniti, Fify tersingkir.

TIMBUL persoalan sama ada Aweera menyanyi atau hanya senandungkan lagu Enter Sandman dalam persembahannya di One In A Million (OIAM) minggu lepas sehingga juri Syafinaz mengakui dia lebih menghayati lagu band yang melatari penyanyi bergenre rock itu.

"Aweera tidak menyanyi tetapi menjerit-jerit. Saya lebih menghayati lagu band kat belakang," komen Syafinaz sejujur-jujurnya ketika ditanya hos mengenai persembahan penyanyi berusia 18 tahun itu.

Katanya, maklum balasnya mengenai pembawaan lagu itu adalah berbelah bagi walaupun ia jelas memiliki elemen rock sebanyak 80 peratus.

Cuba membaca minda penyanyi itu, Syafinaz terus bertanya, "Adakah Aweera memilih lagu tersebut kerana tidak perlu menyanyi?"

Ini ditambah pula pendapat ikhlas seorang juri tetap, Paul Moss bahawa Aweera sebenarnya lebih kepada `humming (senandung)' daripada menyanyi.

Memang benar, lebih kuat muzik daripada kumpulan sokongan berbanding kelantangan suara peserta OIAM itu sendiri. Amat mengecewakan lontaran vokal itu berakhir tidak sehebat aksi persembahannya terutama pada babak-babak awal.

Di awal persembahan, Aweera bertopi koboi sambil tangannya memegang gitar. Dia berseluarkan jeans serta memakai T-shirt berwarna hitam.

Gaya koboi tersebut jelas menepati imej rocker yang cuba ditonjolkan oleh Aweera kepada para penonton selama ini.

Dia memiliki segala-gala `ramuan serta resipi' penyanyi rocker di atas pentas. Boleh dikatakan pakejnya pada malam itu paling menyerlah berbanding peserta-peserta lain.

Kehadiran Aweera di pentas begitu terasa! Jika OIAM dinilai dari aspek aura penyanyi atas pentas, pada pendapat penulis, Aweera sudah mendapat skor sembilan daripada 10 markah.

Apabila tirai persembahan dibuka, Aweera bagai dirasuk roh penyanyi utama rock untuk kumpulan pemuzik antarabangsa Korn bernama Jonathan Davis.

Terkinja-kinja dan berpusing-pusing di setiap ceruk pentas. Rambutnya pula habis kusut-masai dek terayun-ayun ke kiri, kanan, atas dan bawah.

Juri undangan, Francissca Peter yang terhibur berkata: "He is so hot rocking. You are hot with or without guitar.. You run around the stage".

Terkenangkan Aweera mirip penyanyi antarabangsa itu yang menggegarkan konsert Festival Muzik Antarabangsa Sunburst Kuala Lumpur 2009, baru-baru ini.

Kenapa? Terlalu "bising" sehingga tidak dapat mendengar sepatah daripada lirik lagunya. Mungkin muzik kumpulannya terlalu tinggi sehinggakan menenggelamkan suaranya.

Selain itu, suara garaunya langsung tidak membantu kejelasan bunyi.

Ataupun, mungkin wartawan ini yang sememangnya bukan peminat lagu rock dikira gagal menghayati lagu nyanyian asal artis Metallica itu yang didendangkan rocker dari Perlis tersebut.

Itulah cubaan berani salah seorang peserta OIAM yang cuba mencari suara identiti milik mereka. Bukankah slogan OIAM ialah Find Your Own Voice?

Hakikatnya, Aweera seperti mana Rizu menyanyikan lagu bertajuk Naluri Lelaki yang dipopularkan Samson (Naluri Lelaki - Samson), Simon (Eternity - Robbie Williams), Amylea (Satu Dalam Sejuta - Amylea) dan Nine (Nakal - Gigi) telah melakukan yang terbaik pada Jumaat lalu tetapi "ada yang tak kena" dengan nyanyian mereka.

Rizu, 19, misalnya dengan vokal tinggi melampiaskan suara lelaki macho tetapi Moss menyifatkan pembawaan lagu Rizu sebagai `tiada klimaks, tiada ekspresi wajah, tiada ciri-ciri pada suara' dan tiada apa-apa secara total.

Penyanyi berasal dari Kuala Lumpur itu bagaimanapun mempunyai `wow' sendiri dan dilihat dapat berkomunikasi baik dengan penonton.

Sementara itu, Simon, 25, pula telah berusaha berhubung dengan audiens tetapi penampilannya tanpa gitar menyebabkan kelibatnya atas pentas sedikit kaku.

Penyanyi yang menjadikan Jon Bon Jovi sebagai idolanya itu sebenarnya cuba menyuntik faktor X (daya tarikan) pada setiap minggu dia bertanding di OIAM.

Sekelumit nasihat Syafinaz kepada Simon: "Kalau tak tonjolkan X-factors, macam wall paper sahaja. Biasa saja. Tapi Simon dah cuba".

Francissca Peter mengkehendaki Simon mengawal pentas untuk berjaya dalam pertandingan itu.

SOSEH SOSEH: Juri perlu profesional, peserta usah putus asa


Ketika menonton program realiti TV yang diadakan pada setiap minggu, SS tertarik untuk mendengar apa komen juri terhadap peserta. SS sebenarnya lebih suka jika ada juri yang berani beri kritikan pedas kepada peserta supaya ada perkembangan dan perubahan pada persembahan akan datang.

Program realiti One In A Million antara program yang hangat diperkatakan apabila ada peserta yang dinilai pada mata penonton berbakat, tetapi tersingkir jua akibat SMS penonton.

SS bukan mahu salahkan penonton yang sokong tanpa mengundi, tetapi SS ingin kongsi pandangan dengan penyanyi Amylea yang turut bertanding dalam program itu.

Sejak minggu pertama hingga kelima, SS lihat Amylea sebenarnya mempunyai bakat menyanyi dengan cara sendiri. Walaupun dia pernah ditegur pengkritik program itu kerana keliru antara konsep persembahan yang ingin ditonjolkan setiap minggu, dia tetap mempunyai kesungguhan untuk memberikan persembahan terbaik.

Namun, SS kasihan pula apabila nasib Amylea sering dikritik juri yang mencari kelemahannya. Minggu lalu, persembahan Amylea dengan lagu Jason Mraz, I'm Yours dikatakan seorang juri tidak mempunyai kelainan pada persembahan.

SS tertanya juga apa kelainan yang dimaksudkan juri itu kerana berbanding peserta lain, ada juga yang tidak beri kelainan, tetapi dapat pujian juri pula. SS bukan peminat fanatik Amylea tetapi SS cuba beri pandangan sepatutnya juri lebih tulus dalam beri kritikan.

Ada rakan SS berpandangan, juri ini seperti tidak suka dengan persembahan peserta yang nyanyi lagu Melayu walaupun berusaha menyampaikannya sebaik mungkin.

SS tidak tahu sama ada benar atau tidak kata rakan SS itu tetapi SS percaya juri mempunyai alasan sendiri dalam menentukan setiap keputusannya. SS harap juri lebih profesional dalam menilai bakat peserta dan peserta jangan putus asa beri persembahan terbaik yang mempunyai kelainan.

Harian Metro

oleh ahmadeLrafaei@hmetro.com

Giliran Amylea Mendapat Imuniti

by Li Ee Kee | Gua.com.my



Nyaris-nyaris disingkirkan dari pertandingan One In A Million, namun kesudahannya berakhir dengan begitu sempurna sekali buat anak kelahiran Alor Setar ini.

Dendangan lagu ciptaannya sendiri, “Akan Tiba” yang ditulis dan diterbitkan untuk Alif OIAM musim pertama, sambil memetik gitar yang lebih besar darinya, dirasakan Paul Moss dan Syafinaz sebagai persembahan yang paling menyerlah malam tadi, sekaligus menjadikan Amylea penerima imuniti untuk minggu ini.

Persembahan malam tadi adalah kali pertama Amylea memberanikan diri untuk tampil ke depan dengan memainkan gitarnya. Sebelum ini, dirasakan dirinya tidak mampu memainkan instrumen tersebut.

“I never thought I could play sebab jari saya sakit dan gitar itu sebenarnya berat dan dengan ketinggian saya, posisi gitar itu perlu diletakkan lebih rendah dari biasa.”

Bukan seorang yang mudah mengalah, Amylea telah menghabiskan masa setiap hari untuk melatih dirinya memegang dan memainkan gitar walaupun jari dan bahunya sakit. Tetapi nampaknya, kesakitan itu berbaloi juga akhirnya.

Bila diumumkan bersama Ayu dan Pija sebagai berada di Bottom 3, Tuhan saja yang tahu apa yang dirasainya. Namun, Amylea melihatnya sebagai rangsangan untuk berusaha dengan lebih kuat lagi.

Ketika di Akademi Fantasia dulu, Amylea juga sering mendapati dirinya di tangga bawah.

“Masa itu, Amylea masih ada berusaha tetapi tanpa ilmu. Di sini, Amylea usaha dengan ilmu. Dan kali ini, tekanannya lebih tinggi bila berada di Bottom 3.”

Sumber : GUA.COM.MY

Komen kasar tapi jujur

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my



Kesilapan sama masih dilakukan, misalnya pemilihan lagu tidak tepat dan di luar kemampuan vokal mereka termasuk masalah nyanyian sumbang. Malah difahamkan, ramai peserta kurang sihat mungkin disebabkan perubahan cuaca.

Berasa hampa dengan keadaan itu, akhirnya perkataan 'menyalak' terpacul dari mulut juri tetap wanita, One In A Million (OIAM) musim ke-3, Syafinaz Selamat, sewaktu memberi komen terhadap persembahan Aweera, yang membawakan lagu She's Gone dipopularkan Steel Heart.

Dalam program yang disiarkan secara langsung di 8TV dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu, Syafinaz mengatakan rock gergaji elektrik Aweera tidak berfungsi.

"Saya tahu matlamat anda mahu menyanyi nada paling tinggi tetapi apa yang anda lakukan bukan menyanyi, menjerit pun tidak, mungkin menyalak!" katanya.

Meskipun kenyataan Syafinaz ada benarnya berdasarkan persembahan Aweera yang sumbang, namun segelintir penonton terutama peminat Aweera beranggapan kenyataan yang dilemparkan itu agak kasar dan keterlaluan.

Sejurus selepas Syafinaz menyebut perkataan itu, penonton di studio saling berpandangan dan terkejut. Bahkan laman online OIAM mula dihujani pelbagai kritikan serta komen daripada penonton dan peminat.

Menjelaskan hal ini, Syafinaz yang ditemui pada majlis sidang media sejurus selepas konsert berakhir berkata, komen itu dibuat bukan secara membabi buta sebaliknya perlu jujur kerana itulah yang dirasakan ketika menyaksikan persembahan Aweera.

"Saya minta maaf pada mereka yang tersinggung. Komen pada malam ini mungkin agak kasar bagi sesetengah pihak yang mendengarnya. Apa yang dikatakan itu bukan kerana mahu menjatuhkan mereka atau ada perasaan dengki. Sedikit pun tidak malah kerana sayangkan setiap peserta, saya harus jujur kerana tahu mereka ada potensi.

"Minggu lepas, kami dapat maklum balas penonton yang memuji kumpulan peserta kali ini yang semuanya boleh menyanyi. Alih-alih minggu ini mereka tidak buat dengan baik.

"Menyalak, kenyataan itu kerana saya tidak jangkakan persembahan peserta yang bagus minggu lalu akan seteruk ini. Minggu lepas kami (juri) puji macam nak rak, minggu ini persembahan mereka mengecewakan," katanya.


Syafinaz yang juga Pensyarah Vokal dan Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, turut diminta menjelaskan punca yang mendorong 'kegagalan' persembahan peserta malam itu.

"Sama ada peserta lelaki atau perempuan, kebanyakannya membuat pilihan lagu tidak tepat, tidak menarik, tidak relevan dan tidak melambangkan diri mereka serta di luar kemampuan vokal mereka.

"Saya tidak faham kenapa harus lakukan perkara yang kita tidak mampu. Masalah ini ada kaitan dengan aduan yang kami dengar dari pihak Aubrey Suwito yang maklumkan ada peserta lebih gemar meminta pandangan keluarga sehingga membelakangkan peranan pengarah muzik.

"Saya percaya OIAM menyediakan tenaga pengajar yang terbaik dan berpengalaman malah ilmu daripada mereka inilah yang sepatutnya peserta rebut. Namun, apabila pandangan pengarah muzik sendiri tak mahu dengar, maka timbullah masalah seperti kita saksikan di pentas.

"Bukan tidak boleh minta pandangan keluarga. Kalau ibu bapa berpengalaman luas dalam bidang muzik macam juri jemputan, Salamiah Hassan, tidak mengapalah. Peserta tidak boleh leka kerana ini adalah pertandingan. Setiap kali menyanyi pemilihan lagu kena tepat," katanya.

Aweera atau nama sebenarnya, Nasharul Aweera Noriyissham, 18, ketika ditanya apakah perasaannya tatkala mendengar komen Syafinaz yang menyamakan nyanyian seperti menyalak, mengakui dirinya tidak sihat sejak dua hari lalu.

"Mulanya diserang demam sehingga kerongkong saya berdarah. Mengenai komen itu, saya tidak tahu nak kata macam mana," katanya dengan wajah penuh kecewa.

Bagaimanapun, Syafinaz sudah mengingatkan peserta sejak minggu lepas lagi supaya menjaga kesihatan mereka. Katanya, ini pertandingan takkan setiap kali perlu beri alasan sakit dan peserta harus tahu peminat tidak mahu dengar alasan.

Sementara itu seorang lagi juri tetap, Paul Moss, berkata, persembahan minggu ini dan sebelumnya tidak banyak beza kerana masih ada menyanyi sumbang, tetapi ada beberapa peserta berjaya dengan persembahan mereka walaupun terpaksa mengambil risiko.

"Saya suka persembahan Fify malam ini yang membawa penonton melihat sudut berbeza yang ada pada dirinya. Pilihan lagu yang tepat disuntik idea muzik menarik sehinggalah penampilannya malam ini bertentangan personaliti Fify yang sebenar.

"Selepas ini, saya juga mahu melihat lebih ramai peserta mempertaruhkan lagu mereka sendiri sebagaimana dilakukan Amylea. Tindakan itu cukup bijak sekali gus menonjolkan kebolehan lain yang dimiliki mereka," katanya.

Amylea yang juga Bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) turut merampas imuniti daripada teman sebiliknya, Esther yang muncul sebagai peserta pertama menerima kelebihan itu pada konsert pertama dan secara automatik menyelamatkannya daripada sebarang penyingkiran.

"Sewaktu pengacara mengumumkan nama berada di 'bottom 3' seawal rancangan tadi saya berasa agak tertekan dan sedih kerana saya enggan pulang. Justeru apabila diberikan imuniti ini saya rasa lega walaupun tidak menjangkakan sama sekali," katanya.

Jika ia malam paling menggembirakan Amylea, namun sebaliknya buat Nurhidayu Md Tekhary (Ayu), 20, yang berasal dari Muar, Johor apabila diumumkan pengacara, Awal dan Marion Counter sebagai peserta yang tidak berkesempatan meneruskan perjuangan minggu itu.

Belum pun sempat mengembalikan kepercayaan penonton di konsert minggu kedua menerusi persembahannya dengan lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi (Mulan Jameela), Ayu terlebih dulu disingkirkan, gara-gara kegagalan persembahannya minggu lalu menerusi lagu Matahari (Agnes Monica).

Ayu bukan hanya agal menambat undian penonton bahkan, Paul Moss sendiri meramalkan namanya salah seorang daripada empat peserta yang akan pulang malam itu.

"Saya sudah jangka akan tersingkir dan akuinya persembahan minggu lalu tidak memuaskan. Saya sudah bersedia walaupun tidak nafikan kecewa dan sedih tetapi tidaklah mahu menangis sampai pengsan.

"Tersingkir bukan titik noktah perjuangan saya, banyak peluang yang terbentang dan kita kena rajin mencarinya. Rancangan saya selepas ini adalah bergerak bersama band saya," katanya.

Daripada 11 peserta yang meneruskan perjuangan, hanya tiga berjaya memberi persembahan membanggakan. Selain mengambil risiko keluar dari zon selesa mereka pada malam bertemakan 'Memori Tercipta' itu yang turut menampilkan penyanyi senior, Salamiah Hassan sebagai juri jemputan.

Mereka adalah Fify yang menyampaikan lagu Tidak Tercapai Akalmu dipopularkan Elyana, Simon (Knocking On Heavens Door/Guns N' Roses) dan Amylea dengan lagu ciptaannya sendiri, Akan Tiba dipopularkan oleh Alif (OIAM musim pertama).

Diselubungi perasaan sedih akibat penyingkiran Ayu, persembahan pemenang imuniti minggu lepas, Esther yang membawakan lagu Mengenangmu (Kerispatih) terganggu sekali gus menyebabkan persembahan kurang mendapat pujian berbanding sebelumnya.

Nine yang juga vokalis kumpulan Coco turut menghampakan juri serta peminat menerusi lagu yang dipertaruhkan, Berita Dari Rantau (Alleycats). Peserta lain, Anith (Rindu/Hetty Koes Endang), Rizu (My Way/Frank Sinatra), Han (Getaran Jiwa/P Ramlee), Tomok (Rahsia Pohon Cemara/Exist) dan Pija (Since You've Been Gone/Kelly Clarkson) yang menampilkan persembahan cukup makan.

SUMBER

'Macam anjing menyalak'

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


JURI kecewa dengan persembahan pelajar terutama dari segi pemilihan lagu.


BARU minggu kedua ditayangkan kepada penonton, program realiti One In A Million sudah mula mencipta kontroversi apabila salah seorang juri, Syafinaz Selamat melemparkan kritikan yang agak keras kepada seorang peserta iaitu Aweera.

Sebaik saja peserta yang berasal dari Perlis itu selesai menyanyikan lagu She’s Gone, Syafinaz mengkritik cara nyanyiannya itu seperti anjing menyalak.


Selama ini, baik Syafinaz ataupun Paul Moss, mereka sudah berdepan dengan pelbagai ragam dan kerenah peserta sama ada sewaktu sesi uji bakat ataupun pertandingan sebenar.

Mereka juga mungkin sudah lali dengan corak nyanyian yang berbeza-beza tapi malam itu penyanyi yang pernah popular dengan lagi Ingin Bersamamu naik hantu dan meradang sehingga terlanjur mengeluarkan komen yang kurang enak didengar penonton serta boleh melemahkan semangat peserta.

Difahamkan, akibat kritikan spontan itu, Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham terduduk. Walaupun sewaktu sidang media kemudian, Aweera hanya memberikan alasan kurang sihat kerana demam dan tekak berdarah yang menyebabkan persembahannya kurang memuaskan, namun daripada raut wajahnya yang murung itu jelas menunjukkan dia sebenarnya terluka dengan kritikan keras itu.

Mengulas lanjut kata-kata pedasnya itu, Syafinaz berkata, dia tidak berniat untuk menyakitkan hati peserta berkenaan apabila menyamakan nyanyiannya seperti salakan namun sebagai orang yang berpengalaman dalam bidang nyanyian, teknik yang digunakan Aweera adalah salah dan nyanyiannya memang menyakitkan telinga.

“Kalau dalam bahasa Inggeris barking, dalam Bahasa Melayu, maksudnya menyalak. Itulah yang saya dapat rasakan nyanyian Aweera malam ini. Awal-awal nyanyian lagi sudah sumbang. Banyak masalah pitching.

“Saya minta maaf andai kritikan itu agak kasar tapi kalau kita tak cakap dengan cara begitu, mereka ini sudah hendak faham. Terus terang, saya tak puas hati dengan persembahan kebanyakan persembahan peserta malam ini,” tegas Syafinaz dalam nada kecewa.

Tegasnya, kelemahan paling ketara di kalangan peserta kali ini adalah kebanyakan dari mereka masih menghadapi masalah untuk memilih lagu.

“Macam minggu ini, walaupun tema yang diketengahkan adalah memori tercipta di mana setiap dari mereka perlu menyanyikan lagu yang mampu mengembalikan nostalgia dalam diri mereka tetapi biarlah lagu itu bersesuaian dan mampu mencabar kebolehan mereka.

“Ini tidak, mereka lebih senang merujuk ibu dan bapa mereka mengenai lagu apakah yang ingin dinyanyikan berbanding merujuknya kepada pengarah muzik iaitu Aubrey Suwito. Aubrey sendiri meluahkan kepada kami mengenai kedegilan mereka ini,” luah juri tinggi lampai ini.

Begitupun, pendapat Syafinaz itu disangkal Nine, peserta yang sudah dua kali mendapat komen yang serupa iaitu tidak mampu membuat pilihan lagu dengan baik.

“Apabila juri memberikan komen sedemikian, kami sendiri keliru sebenarnya. Kami hanya menyanyikan lagu yang bertepatan dengan tema yang diberi dan kebetulan lagu yang kami pilih itu mempunyai memori tersendiri jadi lagu itulah yang kami nyanyikan,” jelas Nine yang disifatkan Syafinaz sebagai sering berada dalam zon selamat dan tidak berani mencabar kemampuan diri sendiri.

Mengenai ada cadangan daripada penonton yang meminta supaya menghapuskan sistem imuniti, kedua-dua juri nyata tidak bersetuju dengan perkara itu.

“Dalam program ini, biasanya kita hanya boleh memberi komen tetapi keputusan dibuat penonton. Jadi dengan adanya imuniti ini, secara tidak langsung kita menunjukkan kepada mereka siapakah peserta yang terbaik berdasarkan penilaian juri sendiri,” jelasnya sambil memberitahu hanya seorang peserta yang menunjukkan persembahan terbaik saja yang layak dianugerahkan dengan imuniti.

Ayu peserta pertama tersingkir

PAUL Moss menyifatkan penyanyi dari Muar, Johor ini sebagai seorang yang mempunyai potensi besar dalam bidang nyanyian. Namun, apabila jari menjadi juri, malam Jumaat lalu menyaksikan Nurhidayu Md Tekhary atau Ayu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada program realiti itu apabila undian SMS dan talian tetap penonton tidak memihak padanya.

Nampaknya lagu Matahari nyanyiannya masih belum dapat menambat hati peminat walaupun dia berusaha sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik.

“Saya akur dengan keputusan ini. Walau apapun, perjuangan akan diteruskan dan saya percaya rezeki itu ada di mana-mana,”ujar Ayu yang kelihatan cukup tenang.

Selain Ayu, berada di tempat tiga ke bawah seperti yang diumumkan pengacara Awal Ashaari dan Marion Caunter adalah Amylea dan Pija.

Pada acara yang dipancarkan secara langsung menerusi saluran 8TV itu, penyingkiran Ayu sekali gus memberi peluang kepada 11 lagi peserta yang tinggal untuk misi bergelar juara OIAM 3. Mereka adalah Pija, Tomok, Han, Rizu, Nine, Amylea, Simon, Esther, Aweera, Anith dan Fify.

Jika minggu lalu Esther diberikan imuniti sebagai habuan persembahannya yang berjaya memikat hati juri, namun kali ini, keistimewaan itu menjadi milik Amylea, yang memukau penonton dengan persembahan bersahaja dan memetik gitar ketika menyampaikan lagu ciptaannya sendiri berjudul Akan Tiba.

SUMBER

OIAM: Prestasi merudum

Hiburan »
Isnin Mac 2, 2009
Oleh WAHIDA ASRANI

Syafinaz anggap peserta 'menyalak'

PADA episod pembukaan minggu lepas, peserta-peserta One In A Million musim kedua (OIAM) menerima pujian cukup hebat daripada dua juri tetap program itu, Syafinaz Selamat dan Paul Moss. Tetapi entah mengapa, Jumaat lalu, prestasi hampir kesemua peserta nampaknya jatuh 'merudum' dan ternyata cukup menghampakan pihak juri.

Tidak tahu di mana silapnya, namun tema 'memori tercipta' yang dipilih dimana setiap peserta perlu menyanyikan lagu yang mampu mengimbau semula memori indah masing-masing nampaknya mengundang 'tragedi' terhadap beberapa peserta.


Lebih memeranjatkan apabila Syafinaz turut mengeluarkan perkataan 'menyalak' terhadap salah seorang peserta iaitu Aweera yang gagal menyampaikan lagu She's Gone dendangan Steel Heart dengan baik.

"Itu bukan menyanyi...menjerit pun bukan. Ia kedengaran seperti menyalak," komen Syafinaz sebaik peserta yang berimejkan rock itu selesai melakukan persembahannya.


Mungkin kedengaran agak kasar, apatah lagi peserta itu dikatakan kurang sihat dan mengalami pendarahan tekak, namun Syafinaz yang ditemui sejurus berakhirnya persembahan minggu kedua OIAM yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam itu, akui perkataan tersebut terpacul gara-gara cukup kecewa melihat rata-rata persembahan yang gagal dilakukan dengan baik.

"Bukan hanya Aweera, tetapi saya amat kecewa dengan kebanyakan peserta malam ini. Minggu lepas kami memuji mereka bagai nak rak, tetapi minggu ini saya tidak faham kenapa prestasi menurun?


"Saya akui, mungkin kritikan saya agak kasar terhadap Aweera. Tetapi sejujurnya, saya lihat dia bukan menyanyi, tetapi memang seperti menyalak. Saya minta maaf jika ada yang tersinggung, tetapi itulah yang saya rasa.

"Saya sedar perlunya cakap berlapik, tetapi adakalanya orang tidak faham apa yang kita cuba sampaikan. Saya harap ini akan dapat mencabar peserta agar terus berusaha untuk memberikan yang terbaik.


"Ini adalah pertandingan. Kamu tidak boleh beri alasan kepada penonton bahawa kamu sedang sakit. Saya faham manusia memang akan sakit, tetapi kamu kena ingat yang kamu sedang menyertai pertandingan, jadi kenalah jaga kesihatan," kata Syafinaz dalam nada kecewa.

Sebelas peserta yang masih kekal telah menyampaikan lagu yang mempunyai kenangan tersendiri di dalam hidup mereka. Norhidayu Md.Tekhary atau Ayu bagaimanapun gagal menyertai 11 rakannya itu setelah diumumkan tersingkir di awal program kerana gagal meraih undian secukupnya daripada penonton berdasarkan persembahannya pada minggu lalu.


Turut berada di tiga tangga terbawah pada awal program itu ialah Amylea dan Pija.


Amylea menerima imuniti pada minggu ini daripada pihak juri

Namun, Amylea bangkit pada persembahan baru-baru ini setelah terselamat daripada penyingkiran menerusi lagu ciptaannya sendiri, Akan Datang yang mana naib juara Akademi Fantasia musim ketiga ini turut menerima imuniti daripada juri tetap serta seorang juri jemputan iaitu penyanyi Salamiah Hassan.


Imuniti itu secara automatik melayakkan Amylea untuk terus beraksi di minggu seterusnya serta tidak perlu melalui proses undian daripada penonton.

Selain Amylea, turut menampilkan persembahan yang baik ialah Simon, Esther dan Fify. Masing-masing menyampaikan lagu Knocking On Heavens Door, Mengenangmu dan Tak Tercapai Akalmu.


Turut memberikan persembahan yang tidak menghampakan ialah Han, Rizu, Anith, Tomok dan Pija. Tetapi tidak seperti minggu lalu, peserta-peserta ini kurang menyerlah gara-gara lagu yang dilihat kurang sesuai dibawakan oleh mereka meskipun masing-masing tidak dinafikan mempunyai mutu vokal yang cukup hebat.

Aweera dan vokalis kumpulan Coco, Nine nampaknya gagal mempamerkan persembahan yang baik pada malam itu. Aweera, peserta yang mengenengahkan genre rock ini seperti hilang 'punca' tatkala menyampaikan lagu She's Gone.


Apa yang jelas kedengaran hanyalah 'jeritan' rock, tetapi nampaknya masih tidak 'menjadi' sehingga membuatkan Syafinaz meluahkan perkataan 'menyalak', sebagai menjelaskan cara nyanyiannya itu.

Begitu juga yang terjadi pada Nine yang dilihat terus mempamerkan persembahan yang menghampakan sejak minggu lalu. Dari segi vokal, Nine tidak menghadapi banyak masalah, tetapi minggu ini, persembahan peserta ini semakin 'teruk', lebih-lebih lagi dengan pemilihan lagunya yang dianggap juri adalah salah.


Mengulas lanjut tentang penurunan prestasi peserta minggu ini, kata Syafinaz, selain kesilapan memilih lagu yang tidak relevan, menarik, tepat dan tidak melambangkan identiti masing-masing, ia juga dilihat berpunca dari sikap sesetengah peserta yang lebih gemar merujuk kepada keluarga masing-masing dalam pemilihan lagu, berbanding pemuzik-pemuzik profesional program itu.

"Dari 'feedback' yang saya dapat, ramai peserta lebih suka merujuk kepada keluarga mereka.


"Tidak salah untuk mereka berbuat demikian, tetapi di dalam program ini kita mempunyai pemuzik yang bagus seperti Aubrey Suwito yang mana mereka lebih tahu untuk cari halatuju peserta-peserta ini," luah Syafinaz.

Dia bagaimanapun menyangkal bahawa tema lagu minggu ini yang menjadi punca utama membawa kepada kemerosotan prestasi peserta.


"Saya rasa tidak ada masalah dengan tema yang diletakkan minggu ini asalkan mereka pandai memilih lagu. Sebenarnya, lagu yang mereka pilih itu perlulah melambangkan diri masing-masing.

"Memang benar lagu yang mereka sampaikan itu mungkin ada memori tersendiri. Tetapi sepanjang 18 hingga 20 tahun mereka hidup, takkan hanya itu saja lagu yang ada memberikan memori kepada mereka? Pasti ada banyak lagi memori dan sepatutnya lagu itu dapat disesuaikan dengan diri mereka," kata Syafinaz lagi.


Disebabkan persembahan rata-rata peserta yang kurang memberangsangkan minggu ini, ada juga pihak yang merasakan sistem imuniti patut dihapuskan, berdasarkan komen yang diberikan oleh penonton secara online. Namun, idea itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Paul Moss.

"Setakat ini, saya rasa masih ada peserta yang layak untuk menerima imuniti. Jadi, saya rasakan sistem imuniti ini tidak patut dihapuskan," kata Paul.


Syafinaz bagaimanapun tidak menafikan, imuniti mungkin tidak akan diberikan jika persembahan peserta pada minggu-minggu seterusnya masih di tahap yang tidak memuaskan.

"Tidak mustahil pada minggu tertentu kita tidak berikan imuniti, andai kata tiada peserta pun yang mempamerkan persembahan yang bagus," tutur Syafinaz.

Sumber