UTUSAN 27 APRIL 2007


Karyawan bawa artis ke Karnival Gegar

Freddie Fernandez (tengah) bersama sebahagian artis yang akan menjayakan Karnival Gegar di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang pada 28 dan 29 April ini.

PERSATUAN Karyawan Malaysia (Karyawan) bukan setakat membela kebajikan ahli-ahlinya tetapi turut membantu kerajaan dalam mempromosikan sektor pelancongan.

Persatuan itu misalnya akan bekerjasama dengan RTM bagi menjayakan Karnival Gegar Tahun Melawat Malaysia ‘07 (TMM 2007) yang akan bermula di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang mulai esok dan lusa (28 dan 29 April).

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, artis-artis di bawah naungannya akan mengadakan persembahan di karnival itu selain berkempen bagi mempromosikan lagi program tersebut.

“Karnival ini juga merupakan peluang terbaik buat artis-artis untuk bertemu dengan para peminat mereka,” katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Antara artis yang akan mengadakan persembahan pada karnival itu ialah Mawi, Amylea, Saleem Iklim, Mas Idayu dan Man Kidal.