Jangan Terlibat Kontroversi - KOSMO

HIBURAN

Jangan terlibat kontroversi - Ingatan kepada peserta OIAM musim baru


DARIPADA 12 peserta OIAM musim baru, enam merupakan penyanyi rakaman.


MAHU masuk gelanggang, ilmu perlu penuh di dada. Untuk itu, ia perlu diisi dengan pengetahuan dan bekalan pengalaman orang lama. Dan itu yang dilakukan para peserta musim baru One In A Million (OIAM).

Begitu memahami konsep memenangi habuan RM1 juta bukan mudah, masing-masing bertekad mengisi ilmu di dada.

Lantas sewaktu sesi pertemuan dengan bekas juara dan naib juara dua musim program realiti televisyen terbitan 8TV itu diadakan, 12 orang peserta yang baru ingin mengenal dunia itu tidak melepaskan peluang untuk mencuri tip terbaik bagi mengharungi cabaran yang bakal dilalui.

Peluang bertemu Suki, Faizal Tahir, Shila dan Ayu memberi para peserta suntikan semangat.

"Paling penting jangan terlibat dengan sebarang pertikaian.

"Percayalah, ia memang akan berlaku tapi jangan ambil pusing kerana yang penting adalah fokus terhadap pertandingan," kata Faizal Tahir memberi tip bagaimana dia berjaya melepasi halangan dalam OIAM yang lalu.

Suki pula, sebagai juara, berkata, dia selalu mengetepikan hal-hal remeh dan berusaha melakukan yang terbaik dalam setiap tugasan yang diberi.

Menjadi peserta bukan Melayu yang dikelilingi peserta-peserta Melayu juga tidak dianggap sebagai halangan. Sebaliknya dia mahu melihat kemampuan diri sendiri.

Katanya: "Dulu saya tidak bijak berdikari. Tapi dalam OIAM, semua hal kita perlu lakukan sendiri dan saya banyak meningkatkan kualiti diri melalui pertandingan ini."

Bagi Sheila yang ditanya tentang tip kepada peserta perempuan, anak gadis penyanyi dan pelakon N.D Lala itu memberitahu, setiap peserta perempuan harus berani keluar daripada kepompong. Jangan berasa selesa dengan imej dan jalur lagu yang kerap dibawa sejak sebelum pertandingan.

"Hanya dalam pertandingan inilah kita berpeluang membawa pelbagai jalur lagu dan bereksperimentasi dengan banyak benda," katanya dalam nada serius.

Teruja mengambil tip daripada empat bekas peserta itu, para peserta mempunyai strategi sendiri untuk menang. Mereka juga hanya ada satu matlamat iaitu mahu menjadi juara.

"Ya, kami semua bersahabat baik. Tapi dalam masa yang sama, kami juga harus fokus terhadap pertandingan," ujar Ayu yang juga berazam untuk mencuri tumpuan juri serta khalayak dengan sikap terbuka dan beraninya saat pertandingan bermula.

OIAM tahun ini membariskan 12 orang peserta dengan enam daripada mereka merupakan barisan artis sementara enam lagi ialah peserta biasa.

Bagi kumpulan artis yang diwakili Nine (vokalis Coco), Tomok (vokalis New Boyz), Amylea, Redzuan dan Pija, misalnya, mereka harus membuktikan kredibiliti diri sebaik mungkin berdasarkan status dan pengalaman yang telah diperoleh.

Bagi kumpulan peserta biasa pula, mereka harus bangkit memperlihatkan mereka mampu menjadi sebutir bintang dan menewaskan barisan artis seperti dua musim sebelum ini apabila nama-nama besar seperti Siti Sarah dan Dayang Nurfaizah tumpas sebelum melangkah ke final. - MALIAH SURIP

Sumber Dari

0 comments: