Perebutan RM1juta bermula




Rap Jumaat, 23 Januari 2009

BAHANG sambutan program realiti nyanyian yang menawarkan hadiah lumayan, One In A Million (OIAM) kian terasa. OIAM musim ketiga yang padat dengan aksi dan situasi mendebarkan disiarkan di 8TV setiap Jumaat jam 9.30 malam.


Musim ketiga One In A Million janjikan kejutan, saingan sengit

BAHANG sambutan program realiti nyanyian yang menawarkan hadiah lumayan, One In A Million (OIAM) kian terasa.

OIAM musim ketiga yang padat dengan aksi dan situasi mendebarkan disiarkan di 8TV setiap Jumaat jam 9.30 malam.

Peminat siri ini pastinya tidak mahu ketinggalan mengikuti perjalanannya selain aktiviti bakat nyanyian tempatan bermula daripada sesi uji bakat sehingga ke pusingan akhir.

Pengurus Besar Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim berkata, musim terbaru OIAM pastinya menjanjikan kejutan dan saingan sengit daripada peserta yang bertanding.

"Musim ketiga program ini pastinya lebih menghiburkan. Kami menjanjikan lebih banyak kejutan untuk semua penonton setia stesen televisyen ini.

"Penonton bukan saja dapat menyaksikan bakat baru, malah terpukau dengan kehebatan vokal peserta musim ini.

"Kami menjelajah ke lima bandar bagi mencari peserta yang bukan saja mempunyai vokal yang baik, bahkan mempunyai pakej lengkap sebagai penghibur. Kami percaya untuk musim baru ini kami berjaya menemui peserta yang pastinya akan memberikan cabaran getir bagi mereka yang bertanding.

"Kami menerima sambutan hangat di setiap lokasi uji bakat diadakan. Ini adalah petanda positif bahawa program realiti masih lagi relevan dan diminati masyarakat.


"Pihak juri juga mengalami kesukaran untuk memilih peserta yang layak ke peringkat Top 12," katanya.


Program berkenaan bermula dengan sesi uji bakat yang diadakan di Kuching, Sarawak diikuti Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Uji bakat di Kuching menyaksikan 502 peserta yang hadir manakala uji bakat di Kota Kinabalu dengan 537 penyertaan. Pulau Pinang dan Johor Bahru menyaksikan penyertaan yang tidak kurang hebatnya iaitu 515 dan 727. Tidak terkecuali Kuala Lumpur yang menjadi pilihan utama peserta dengan penyertaan melebihi 1,000 orang membanjiri Berjaya Times Square.

Episod seterusnya akan menyaksikan penyingkiran yang akan dilalui oleh peserta sebelum sampai ke pusingan Top 12. Pertarungan sengit peserta Top 12 akan berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral yang akan diadakan setiap minggu bermula penghujung Februari ini.

Persembahan secara langsung yang merangkumi 15 episod termasuk malam final akan menyaksikan persaingan peserta untuk merebut wang bernilai RM1 juta.

Seperti musim sebelumnya, seorang peserta bakal disingkirkan pada setiap minggu.

Saksikan juga siapa di antara 12 peserta berkenaan yang melangkah ke final yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei ini.

Peserta dinilai juri profesional seperti Paul Moss dan Syafinaz Selamat.

Di samping juri jemputan yang akan diundang ke studio bagi memeriahkan saingan itu.

Awal Ashaari dan Marion pula masih diberi kepercayaan sebagai pengacara OIAM untuk musim ini.

Untuk mengetahui laporan terkini One In A Million, sila layari www.8tv.com.my


sumber dari

0 comments: