Amylea balas budi warga Langkawi!




Amylea balas budi warga Langkawi!
26-01-2008 11:32:23 AM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

INILAH masanya penyanyi Amylea Azizan yang dibesarkan di Langkawi untuk membalas dan membuktikan kepada warga Pulau Lagenda itu dengan membawa sekumpulan kecil peminat-peminat rangkaian kelab peminat artis tanah air, rakan-rakan artis dan media bersantai sambil beriadah di sana dalam bulan Mac ini.

Program yang dinamakan Geopark Mempesona With Celebrities ini dianjurkan oleh kelab peminat penyanyi kecil molek ini, AFC Event and Management dibantu oleh ProcamActive8.

Kesinambungan dari Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Kedah 2008, mereka juga berhasrat untuk mengeratkan silaturahim sesama rakan-rakan artis dan ahli kelab yang lain disamping mendekatkan lagi antara peminat dan artis berkenaan.

Selain Amylea, antara 20 orang artis yang turut menyertai program selama tiga hari dua malam ini adalah penyanyi Fazli Zainal, Mila AF5, Noni AF5 dan pelakon Datuk Aziz Sattar.

Menurut Amylea, setakat ini beliau hanya menerima persetujuan daripada beberapa orang rakan artis yang ingin turut serta dalam program ini.

"Penyertaan tidak terhad kepada mana-mana artis dan kelab peminat. Kelab peminat yang artisnya tidak turut serta boleh juga mengikuti.

"Yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM450 seorang di mana mereka akan ditempat di sebuah hotel lengkap dengan makan dan minum termasuk goody bag.

"Penyertaan hanya dibuka kepada 80 orang yang mendaftar. Jadi, siapa
cepat, dia dapat," kata Amylea.

Bercerita tentang aktiviti yang bakal dijalankan nanti, Amylea menyatakan banyak program menarik yang telah diatur melibatkan artis dan peminat yang dinamakan Acara Splash With Celebrities seperti pukul bantal, panjat tiang licin, bola sepak pantai dan rakit pelampung bagi kategori lelaki.

Manakala wanita pula berpeluang menyertai acara tarik tali, rakit pelampung, bola jaring dan memancing daun cempedak.

Terdapat juga tiga kategori terbuka iaitu istana pasir bertemakan Langkawi Geopark, sampan tradisional (tarik tali sampan) dan tarian limbo rock.

"Banyak acara sebenarnya. Yang paling utama adalah program Geopark Tour With Celebrities di mana semua artis serta ahli kelab peminat yang terlibat akan dibawa melawat tempat-tempat yang berkaitan dengan Langkawi Geopark.

"Artis-artis yang terlibat akan dijadikan IKON dalam media elektronik kepada tempat-tempat yang melibatkan Langkawi Geopark.

"Cadangan tempat untuk dilawati adalah The Manchinchang Cambrian Geoforest Park (Kereta Kabel Langkawi), The Kilim Karst Geoforest Park (Sungai Kilim), The Dayang Bunting Marble Geoforest Park (Pulau Dayang Bunting) dan Pulau Tuba.

"Pada hari pertama, majlis makan malam perasmian akan dihadiri oleh Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dato' Kamarulzaman Abd. Ghani, Pengarah Urusan Global Air, dan wakil penaja," ujar peminat Alicia Keys dan Afdlin Shauki ini.

Bukan itu sahaja, pada malam kedua mereka akan menyertai makan malam Geopark Celebrities Back To School di mana artis dan peminat dikehendaki mengikut tema memakai pakaian seragam sekolah.

"Antara persembahan yang dijangka menarik perhatian semua adalah tiru gaya artis oleh peminat, sketsa bertemakan Langkawi Geopark dan berbalas pantun secara spontan," tambah Amylea yang bakal muncul menyanyikan lagu tema Akulah Cinderella dalam drama rantaian slot Lestari Sindarela terbitan Radius One bermula 5 Februari ini.

Apabila ditanyakan motif beliau ingin membuat program sedemikian, lantas beliau menyatakan keinginan itu sudah terbit sejak tiga tahun lalu cuma baru sekarang beliau berpeluang mengabulkan hasratnya dengan sokongan semua pihak.

Program ini ditaja oleh LADA, Langkawi Geopark dan penerbangan rasmi oleh Global Air.

"Langkawi Geopark ni dah lama wujud sejak sebelum zaman dinasour lagi. Orang luar pun tahu untuk menghargai Langkawi. Ada yang datang dari negara Arab, Australia Jepun dan banyak lagi tapi ramai lagi rakyat Malaysia yang belum sampai ke sini.

"Saya rasa sangat sedih, jadi saya berharap program ini dapat membawa peminat, artis dan rakan media untuk sama-sama datang sambil mempromosi Langkawi Geopark," ulas pemenang tempat ketiga program realiti Akademi Fantasia 3 ini.

Hakikatnya, pusat pembentukan Malaysia dan Asia Tenggara 550 juta tahun dahulu bermula di Langkawi Geopark.

Langkawi Geopark telah mendapat pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) sebagai geopark dunia ke 52 dan pertama seumpamanya di Asia Tenggara mengikut senarai Global Geopark Network UNESCO pada 1 Jun 2007.

Program Geopark Mempesona With Celebrities di Langkawi ini bermula 7 Mac nanti selama tiga hari.

Kepada yang berminat untuk menyertai program ini, boleh hubungi Iesya Shaina 012-3223805, email : iesya@amylea.com.my atau Lieda 016-3068265, email admin@amylea.com.my atau lawat laman web www.amylea.com.my dan boleh muat turun borang dan buku program .

Sumber : Mstar Online 26.01.2008

0 comments: